11
Kematian dan kebangkitan Lazarus
Pada suatu ketika, seorang lelaki bernama Lazarus jatuh sakit. Dia tinggal di Baitani bersama dua orang saudara perempuannya bernama Maryam dan Marta. Maryamlah, yang saudaranya Lazarus sedang sakit, merupakan seorang perempuan yang dahulu pernah menuangkan minyak wangi ke kaki Junjungan dan menyapunya dengan rambutnya. Kedua-dua beradik perempuan itu mengirim khabar kepada Isa, ‘Junjungan, dia yang Kaukasihi itu sakit.’
Apabila menerima berita itu, Isa berkata, ‘Sakit Lazarus tidak akan membawa maut. Hal ini berlaku untuk memuliakan Allah. Disebabkan kejadian ini Putera Allah akan dimuliakan.’ Isa mengasihi Marta, Maryam dan Lazarus. Tetapi apabila Dia mendapat berita Lazarus sakit, Dia sengaja tinggal di tempat itu dua hari lagi.
Kemudian Dia berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Marilah kita pulang ke Yudea.’
Para pengikut-Nya menjawab, ‘Tuan Guru, bukankah orang Yahudi di situ baru saja hendak merejam-Mu? Sekarang Engkau hendak pulang ke situ?’
Isa berkata, ‘Bukankah waktu siang dua belas jam lamanya? Orang yang berjalan pada waktu siang tidak akan tersandung kakinya, kerana masih ada cahaya di dunia ini. 10 Tetapi jika dia berjalan pada waktu malam, kakinya akan tersandung kerana sudah tiada cahaya lagi.’
11 Kemudian Isa menambah, ‘Sahabat kita Lazarus sedang tidur. Aku akan pergi membangunkannya.’
12 Para pengikut Isa berkata, ‘Junjungan, sekiranya Lazarus tidur, dia akan sembuh.’ 13 Yang dimaksudkan oleh Isa ialah Lazarus sudah meninggal dunia, tetapi para pengikut-Nya mengambil erti tidur yang biasa.
14 Oleh itu, Isa berkata kepada mereka dengan jelas, ‘Lazarus sudah meninggal. 15 Tetapi, untuk kebaikanmu, Aku bersyukur Aku tidak bersamanya ketika itu. Dengan demikian kamu akan percaya kepada-Ku. Marilah kita pergi kepadanya.’
16 Tomas yang disebut Didimus berkata kepada pengikut Isa yang lain. ‘Ya, marilah kita pergi juga supaya kita mati bersama-Nya!’
17 Ketika Isa sampai, Dia mendapati Lazarus sudah empat hari di dalam makam. 18 Baitani terletak kira-kira dua batu daripada Baitulmaqdis. 19 Oleh itu ramai orang Yahudi datang melawat Maryam dan Marta untuk melipurkan hati mereka yang duka kerana kematian Lazarus. 20 Apabila Marta mendengar Isa datang, dia terus pergi untuk menyambut-Nya, manakala Maryam tinggal di rumah.
21 Marta berkata kepada Isa, ‘Ya Junjungan, kalaulah Junjungan ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup! 22 Aku tahu, sekarang pun apa saja permintaan Junjungan akan dikabulkan Allah.’
23 Isa berkata kepada Marta, ‘Saudaramu akan hidup kembali.’
24 Marta menjawab, ‘Aku tahu Lazarus akan hidup kembali pada hari akhir.’
25 Isa berkata kepada Marta, ‘Akulah kebangkitan dan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati. 26 Orang hidup yang percaya kepada-Ku tidak akan mati selama-lamanya. Percayakah kamu?’
27 Marta menjawab, ‘Ya Junjungan, aku percaya bahawa Junjungan adalah al-Masih, Putera Allah, yang diutus oleh Allah, dan yang akan datang ke dunia ini.’
28 Setelah itu, Marta pergi memanggil saudaranya Maryam dan berbisik kepadanya, ‘Guru ada di sini. Dia memanggilmu.’ 29 Maryam pun segera bangun lalu pergi untuk berjumpa Isa. 30 (Pada waktu itu Isa belum sampai di kampung mereka. Dia masih di tempat Marta menyambut-Nya.) 31 Apabila orang Yahudi yang ada di rumah Maryam untuk melipurkan hatinya itu melihat dia segera bangun lalu keluar, mereka pun mengikutnya kerana menyangka dia hendak ke makam Lazarus untuk menangisinya.
32 Setelah Maryam melihat Isa, dia berlutut di kaki-Nya lalu berkata, ‘Junjungan, kalaulah Engkau ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup!’
33 Ketika melihat Maryam menangis dan semua orang Yahudi yang bersamanya, turut mengalirkan air mata, Isa sungguh hiba dan terharu. 34 Dia bertanya kepada mereka, ‘Di manakah kamu letakkan dia?’
Mereka menjawab, ‘Marilah lihat, Ya Junjungan.’
35 Isa menangis.
36 Semua orang Yahudi yang hadir berkata, ‘Lihatlah! Dia sungguh kasih akan Lazarus.’
37 Namun, ada yang berkata, ‘Dia dapat mencelikkan orang buta. Tidakkah Dia dapat mengelakkan kematian Lazarus?’
38 Isa yang masih terharu pergi ke makam Lazarus, iaitu sebuah gua yang ditutup dengan batu besar. 39 Isa berkata, ‘Alihkan batu itu.’
Tetapi Marta berkata, ‘Junjungan, sudah empat hari dia dimakamkan, tentu berbau.’
40 Isa berkata kepada Marta, ‘Bukankah sudah Kukatakan kepadamu, kalau kamu percaya, kamu dapat melihat kemuliaan Allah?’
41 Mereka mengalihkan batu itu. Isa menengadah ke langit lalu berkata, ‘Ya Bapa, Aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau mendengar permintaan-Ku. 42 Aku tahu Engkau memang sentiasa mendengar permintaan-Ku. Aku menyebutnya untuk kebaikan semua orang di sini, supaya mereka percaya Engkau mengutus-Ku.’
43 Selepas itu, Isa berseru lantang, ‘Lazarus, keluar!’ 44 Lazarus pun keluar. Tangan dan kakinya masih berbalut kain kafan, mukanya masih dilitupi kain penutup muka.
Isa berkata kepada orang ramai di situ, ‘Lucutkan kain kafannya dan lepaskan dia.’
45 Sebilangan besar orang yang datang melawat Maryam dan melihat apa yang dilakukan oleh Isa terus percaya kepada-Nya. 46 Namun, ada yang pulang mendapatkan orang Farisi dan melaporkan hal itu.
Pakatan untuk membunuh Isa
47 Oleh yang demikian, orang Farisi dan ketua imam mengadakan mesyuarat Majlis Agama.
Mereka berkata, ‘Apakah yang patut kita buat? Lihatlah, orang itu banyak melakukan mukjizat! 48 Jika kita biarkan Dia terus melakukannya, semua orang akan percaya kepada-Nya. Nanti orang Rom akan datang memusnahkan kedudukan dan bangsa kita!’
49 Salah seorang daripada mereka bernama Kayafas, seorang imam besar pada tahun itu, berkata pula, ‘Kamu semua tidak tahu suatu apapun. 50 Kamu tidak faham bahawa lebih baik satu orang mati untuk bangsa kita, daripada seluruh bangsa kita dimusnahkan?’
51 Kayafas bukanlah melahirkan pendapatnya sendiri. Sebagai imam besar tahun itu, dia bernubuat bahawa Isa akan mati untuk bangsa Yahudi. 52 Sebenarnya Isa mati bukan untuk bangsa Yahudi sahaja, tetapi untuk menyatukan seluruh anak Allah yang berselerak di merata-rata tempat. 53 Sejak hari itu, orang Yahudi berpakat hendak membunuh Isa.
54 Isa tidak lagi pergi ke sana ke mari secara terbuka di antara orang Yahudi. Dia pergi ke bandar bernama Efraim dekat gurun, dan menetap di sana bersama para pengikut-Nya.
55 Menjelang perayaan Paska, ramai orang Yahudi dari kampung pergi ke Baitulmaqdis untuk menjalani upacara bersuci sebelum perayaan itu. 56 Mereka mencari Isa. Ketika di rumah ibadat, mereka bertanya sesama sendiri, ‘Bagaimana fikiranmu? Datangkah Dia ke perayaan ini?’ 57 Ketua imam dan orang Farisi telah mengeluarkan perintah bahawa sesiapa yang tahu di mana Isa berada mesti melaporkannya supaya Dia dapat ditangkap.