10
Ibarat tentang seorang gembala yang baik
‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, jika seseorang memasuki kandang domba dengan cara lain, bukan melalui pintu, orang itu pencuri dan perompak. Orang yang masuk melalui pintu ialah gembala domba. Penjaga kandang membuka pintu untuknya, dan kawanan domba itu mendengar suaranya. Dia memanggil nama setiap dombanya. Gembala itu pun memimpin domba-domba itu keluar. Setelah semua domba keluar, gembala itu berjalan di hadapan dan domba-domba mengikutnya kerana mengenal suaranya. Kawanan domba itu tidak akan mengikut orang lain, malah akan lari daripadanya, kerana tidak mengenal suaranya.’ Isa bercerita secara kiasan, tetapi mereka tidak faham akan maksud-Nya.
Oleh yang demikian, Isa berkata, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Akulah pintu bagi kawanan domba itu. Orang yang datang sebelumku adalah pencuri dan perompak, tetapi kawanan domba tidak mengikut suara mereka. Akulah pintu. Sesiapa yang masuk melalui-Ku akan diselamatkan. Dia boleh keluar masuk, dan dia akan dapat mencari padang rumput. 10 Pencuri datang untuk mencuri, membunuh dan membinasakan. Tetapi Aku datang supaya manusia mempunyai hidup yang berlimpah-limpah.
11 ‘Akulah gembala yang baik, yang mengorbankan nyawa untuk kawanan dombanya. 12 Orang upahan yang bukan gembala atau pemilik kawanan domba itu akan lari apabila melihat serigala datang. Maka serigala menerkam domba itu dan menyebabkannya lari bertempiaran. 13 Orang upahan itu lari kerana dia bekerja semata-mata untuk mendapat upah. Dia tidak peduli akan kawanan domba itu.
14 ‘Akulah gembala yang baik. Aku mengenal domba-domba-Ku dan domba-domba-Ku mengenal-Ku, 15 sebagaimana Bapa mengenal-Ku, dan Aku mengenal-Nya. Aku mengorbankan nyawa-Ku untuk domba-domba-Ku. 16 Ada domba-domba lain diluar kawanan ini yang Kumiliki. Mereka juga mesti Kupimpin, dan mereka akan mengikut suara-Ku. Kesemuanya akan menjadi satu kawanan dengan satu gembala. 17 Bapa mengasihi-Ku kerana Aku sanggup menyerahkan nyawa-Ku agar dapat mengambilnya semula nanti. 18 Sesiapapun tidak dapat meragut nyawa-Ku. Aku menyerahkannya dengan rela. Aku berkuasa menyerahkan nyawa-Ku dan berkuasa mengambilnya semula. Inilah tugas yang Kuterima daripada Bapa-Ku.’
19 Setelah mendengar kata-kata Isa, orang Yahudi berselisih pendapat lagi. 20 Sebilangan besar berkata, ‘Dia dirasuk roh iblis! Dia tidak siuman! Mengapa kamu mendengar katanya?’
21 Namun, ada yang berkata, ‘Orang yang dirasuk roh iblis tidak akan dapat bercakap begini. Dan bagaimanakah roh iblis dapat mencelikkan orang buta?’
Isa ditolak orang Israel
22 Di Baitulmaqdis, Perayaan Pentahbisan sedang disambut. 23 Ketika itu musim sejuk, dan Isa sedang berjalan di serambi Sulaiman di dalam rumah ibadat. 24 Orang Yahudi pun berkumpul di sekeliling-Nya lalu berkata, ‘Sampai bilakah Engkau membiarkan kami bertanya-tanya? Katakanlah dengan jelas: Adakah Engkau ini al-Masih?’
25 Isa menjawab, ‘Aku sudahpun mengatakannya kepada kamu, tetapi kamu tidak mahu percaya. Segala yang Kulakukan dengan kuasa Bapa-Ku memberi kesaksian tentang diri-Ku. 26 Kamu tidak percaya kerana kamu bukan kawanan domba-Ku. 27 Domba-domba-Ku mendengar suara-Ku. Aku mengenal mereka dan mereka mengikut-Ku. 28 Aku memberi mereka hidup yang kekal. Mereka tidak akan binasa. Tiada siapa dapat merampas mereka daripada tangan-Ku. 29 Bapa-Ku yang mengurniakan mereka kepada-Ku lebih besar daripada siapapun. Tiada siapa dapat merampas mereka daripada Bapa. 30 Bapa dan Aku adalah satu.’
31 Selepas itu orang Yahudi yang hadir pun memungut batu sekali lagi untuk merejam Isa. 32 Tetapi Isa berkata kepada mereka, ‘Aku telah banyak melakukan perbuatan baik yang diserahkan Bapa kepada-Ku. Perbuatan manakah yang mendorong kamu merejam-Ku?’
33 Orang Yahudi itu menjawab, ‘Kami hendak merejam Kamu bukan kerana perbuatan-Mu yang baik, tetapi kerana Kamu mengkufuri Allah. Kamu hanyalah seorang manusia, tetapi Kamu menganggap diri-Mu Allah!’
34 Isa berkata kepada mereka, ‘Tidakkah tersurat di dalam hukum Taurat kamu: Allah berfirman, “Kamu ilahi”? 35 Jika Allah menyebut orang sebagai “ilahi” kerana firman Allah ditujukan kepada mereka, (apa yang tersurat di dalam kitab itu tidak dapat dibatalkan) 36 bagaimana dengan Dia yang telah disucikan dan diutus ke dunia oleh Bapa? Wajarkah kamu katakan Aku mengkufuri Allah kerana Aku berkata, “Aku Putera Allah”? 37 Andainya Aku tidak melakukan kehendak Bapa, janganlah percaya kepada-Ku. 38 Tetapi jika Aku melakukannya, percayalah kepada apa yang Kulakukan, kalaupun kamu tidak percaya kepada-Ku. Dengan demikian akan fahamlah kamu bahawa Bapa di dalam Aku dan Aku di dalam Bapa.’ 39 Mereka mencuba lagi menangkap Isa, tetapi Isa dapat melepaskan diri dari tangan mereka.
40 Isa kembali ke seberang Sungai Yordan lalu tinggal di tempat Yahya mengimadkan orang dahulu. 41 Ramai orang datang kepada Isa. Mereka berkata, ‘Yahya tidak melakukan mukjizat, namun kata-katanya tentang orang ini semuanya benar.’ 42 Ramai orang di kawasan itu percaya kepada Isa.