2
1 Aku bunga mawar di Saron,
bunga bakung di lembah gunung.
Lelaki
2 Seperti bunga bakung antara semak berduri,
demikianlah sayangku antara puteri.
Wanita
3 Bagaikan pokok epal antara pokok-pokok hutan,
demikianlah sayangku antara kaum lelaki.
Aku suka bernaung di bawahnya,
buah-buahnya manis rasanya.
4 Dia membawa aku ke dewan pesta,
pandangannya padaku penuh cinta.
5 Kuatkanlah aku dengan kismis,
segarkanlah aku dengan epal,
kerana aku sakit asmara.
6 Tangan kirinya menopang kepalaku,
tangan kanannya membelai aku.
7 Berjanjilah,
hai puteri-puteri Yerusalem,
demi rusa dan kijang di padang
bahawa kamu tidak akan mengganggu cinta kami.
Nyanyian Kedua
Wanita
8 Aku mendengar suara kekasihku.
Dia lari kepadaku melalui bukit dan gunung.
9 Kekasihku seperti kijang;
dia seperti anak rusa.
Di balik tembok dia berdiri,
dengan matanya dia menatap,
dan mengintip dari kisi-kisi tingkap.
10 Kekasihku berkata-kata kepadaku.
Lelaki
Marilah, hai sayangku,
marilah jelitaku, marilah.
11 Musim sejuk sudah berlalu;
hujan pun sudah berhenti.
12 Bunga di padang sudah mekar.
Inilah masanya untuk menyanyi;
bunyi tekukur terdengar di padang.
13 Buah ara mula masak;
pokok anggur semerbak harum bunganya.
Marilah, hai sayangku,
marilah jelitaku, marilah.
14 Engkau seperti burung merpati
yang bersembunyi di celah-celah bukit batu.
Biarlah kulihat wajahmu yang cantik itu,
biarlah kudengar suaramu yang merdu.
15 Tangkaplah rubah-rubah yang kecil itu,
rubah yang merosakkan ladang anggur,
kerana pokok anggur kita sedang berbunga.
Wanita
16 Kekasihku kepunyaanku,
dan aku kepunyaannya.
Dia menggembala dombanya di tengah-tengah bunga bakung
17 sehingga angin fajar bertiup dan kegelapan pun hilang.
Kembalilah, hai sayangku,
seperti kijang,
seperti anak rusa di pergunungan Beter.