3
Malam demi malam, di katilku,
aku mimpikan kekasihku;
aku mencari dia tetapi tidak menemuinya.
Aku mengelilingi kota,
melalui semua jalan dan lorong.
Aku mencari jantung hatiku,
aku mencari dia,
tetapi tidak menemuinya.
Peronda-peronda kota nampak aku.
Aku bertanya kepada mereka,
“Adakah kamu menemui kekasihku?”
Sebaik sahaja aku meninggalkan mereka,
aku menemui kekasihku.
Aku memeluk dia dan tidak mahu melepaskannya,
sehingga aku membawanya pulang ke rumah ibuku,
ke bilik ibu yang melahirkan aku.
Berjanjilah,
hai puteri-puteri Yerusalem,
demi rusa dan kijang di padang,
bahawa kamu tidak akan mengganggu cinta kami.
Nyanyian Ketiga
Wanita
Apakah yang datang dari padang gurun, seperti kepulan asap?
Harumnya seperti kemenyan dan mur yang dijual oleh pedagang.
Lihat, itu tandu Raja Salomo,
dikelilingi enam puluh orang askar, pahlawan-pahlawan terbaik di Israel.
Semuanya handal menggunakan pedang,
dan berpengalaman dalam perang.
Masing-masing bersenjatakan pedang,
siap menghadapi serangan pada waktu malam.
Raja Salomo membuat sebuah tandu bagi dirinya
daripada kayu yang paling bermutu.
10 Tiangnya dibuat daripada perak,
dan sandarannya daripada emas.
Tempat duduknya beralas kain berwarna ungu,
yang disulam dengan senang hati oleh puteri-puteri Yerusalem.
11 Keluarlah, hai puteri-puteri Sion,
lihatlah Raja Salomo.
Baginda memakai mahkota yang dipasang bondanya,
pada hari pernikahan baginda,
pada hari baginda bersukacita.