143
Doa Minta Tolong
1 Mazmur Daud.
Ya TUHAN, dengarlah doaku,
terimalah rayuanku!
Engkau baik dan setia,
oleh itu jawablah aku!
2 Janganlah hakimi aku, hamba-Mu;
tiada seorang pun yang tidak bersalah di hadapan-Mu.
3 Musuhku telah memburu aku,
dan mengalahkan aku.
Dia memasukkan aku ke dalam penjara yang gelap,
dan aku ini seperti orang yang sudah lama mati.
4 Oleh itu aku putus asa,
aku tidak berdaya.
5 Aku mengingatkan masa yang lalu;
aku memikirkan segala yang telah Engkau lakukan,
aku mengenangkan segala perbuatan-Mu.
6 Aku berdoa dengan menghulurkan tangan kepada-Mu;
aku memerlukan Engkau seperti tanah kering memerlukan hujan.
7 Jawablah aku segera, ya TUHAN,
aku putus harapan.
Jangan sembunyikan diri-Mu daripadaku,
supaya aku tidak menjadi seperti orang yang sudah turun ke alam maut.
8 Setiap pagi ingatkanlah aku tentang kasih-Mu,
kerana aku berharap kepada-Mu.
Aku berdoa kepada-Mu;
tunjukkanlah aku jalan yang harus aku tempuh.
9 Aku datang hendak berlindung kepada-Mu,
ya TUHAN, selamatkanlah aku daripada musuhku.
10 Engkaulah Allahku;
ajarlah aku melakukan kehendak-Mu.
Berbuat baiklah kepadaku,
dan pimpinlah aku ke jalan yang selamat.
11 Selamatkanlah aku, ya TUHAN, menurut firman-Mu;
selamatkanlah aku daripada kesusahan kerana Engkau baik.
12 Bunuhlah musuhku kerana Engkau mengasihi aku;
binasakanlah semua penindasku, kerana aku ini hamba-Mu.