142
Doa Minta Tolong
1 Sajak Daud, ketika dia berada di dalam gua.
2 Aku berseru kepada TUHAN,
aku merayu kepada-Nya meminta bantuan.
3 Aku mengemukakan segala aduanku kepada-Nya;
aku memberitahukan segala kesusahanku kepada-Nya.
4 Apabila aku putus asa,
Dia tahu apa yang harus aku lakukan.
Di jalan yang harus aku tempuh,
musuhku telah memasang perangkap untukku.
5 Aku melihat ke sampingku,
tiada sesiapa pun yang dapat menolong aku;
tiada seorang pun yang melindungi aku.
Tiada seorang pun yang mempedulikan aku.
6 Ya TUHAN, aku berseru minta tolong kepada-Mu,
Engkaulah pelindungku,
Engkau sahaja yang aku perlukan dalam hidup ini.
7 Dengarlah seruanku minta tolong,
kerana aku tidak berdaya.
Selamatkanlah aku daripada musuhku;
mereka terlalu kuat bagiku.
8 Lepaskanlah aku daripada kesusahan,
maka dalam perhimpunan umat-Mu, aku akan memuji-Mu,
kerana Engkau telah berbuat baik kepadaku.