26
Sebagaimana salji tidak sepatutnya turun pada musim panas atau hujan pada musim menuai, demikian juga pujian tidak sepatutnya diberikan kepada orang bodoh.
Seperti burung terbang dan melayang-layang di udara, begitu juga kutukan tidak boleh kena pada orang yang tidak bersalah.
Kuda harus dicambuk, keldai harus dikekang, dan orang bodoh harus dipukul.
Orang yang menjawab pertanyaan yang bukan-bukan, menjadi sebodoh orang yang bertanya.
Pertanyaan yang bodoh harus diberikan jawapan yang bodoh juga, supaya si penanya sedar bahawa dia tidak sepandai yang disangkanya.
Mengutus orang bodoh untuk menyampaikan pesan sama dengan mematahkan kaki sendiri dan mencari kecelakaan.
Seperti orang lumpuh tidak dapat menggunakan kaki, demikian juga orang bodoh tidak dapat menggunakan peribahasa.
Memuji orang yang bodoh sia-sia sahaja, seperti batu yang diikat pada lastik.
Orang bodoh yang cuba mengutip peribahasa bagaikan orang mabuk yang cuba mengeluarkan duri dari tangannya.
10 Sesiapa yang mengupah orang bodoh akan menyusahkan semua orang.
11 Orang bodoh yang mengulangi kebodohan mereka bagaikan anjing yang menjilat semula muntahnya. +
12 Sebodoh-bodohnya orang, tidaklah sebodoh orang yang menyangka dirinya bijak, padahal tidak.
13 Orang malas tidak suka keluar dari rumah. Dia berkata bahawa dia akan diterkam oleh singa jika dia keluar.
14 Seperti pintu yang berayun pada engselnya, demikianlah orang malas membalik-balikkan badan di atas tempat tidur.
15 Ada orang yang begitu malas sehingga tidak mahu makan sendiri.
16 Si pemalas menganggap dirinya lebih pandai daripada tujuh orang yang dapat menjawab dengan tepat.
17 Melibatkan diri dalam pertengkaran orang lain bagaikan menangkap anjing pada telinganya.
18-19 Orang yang menipu orang lain, lalu berkata bahawa dia hanya bergurau bagaikan orang gila yang bermain dengan senjata yang berbahaya.
20 Tanpa kayu, api padam; tanpa umpatan, pertengkaran pun berhenti.
21 Seperti arang dan kayu membuat api tetap menyala, begitu juga orang yang suka bergaduh menyebabkan pertengkaran.
22 Umpatan sangat enak rasanya; orang suka menelannya.
23 Bagaikan periuk tanah yang disepuh perak, begitulah orang yang bermulut manis tetapi berhati jahat.
24 Si pembenci manis kata-katanya, tetapi hatinya penuh tipu daya. 25 Meskipun dia ramah, jangan percaya kepadanya, kerana hatinya penuh dengan kebencian. 26 Dia mungkin dapat menyembunyikan kebenciannya, tetapi perbuatannya yang jahat itu akan nyata.
27 Orang yang memasang perangkap bagi orang lain akan terjerat oleh perangkapnya sendiri. Orang yang menggulingkan batu akan ditimpa oleh batu itu juga.
28 Membohongi orang sama dengan membencinya. Mulut manis yang tidak tulus mendatangkan kemusnahan.
+ 26:11 2 Ptr 2.22