Beberapa Kata Hikmat Lain daripada Raja Salomo
25
1 Inilah beberapa kata hikmat lain daripada Raja Salomo yang disalin oleh pegawai-pegawai di istana Raja Hizkia, raja Yehuda.
2 Kita memuliakan Allah kerana apa yang dirahsiakan-Nya. Kita menghormati raja kerana apa yang diterangkan baginda.
3 Kamu tidak dapat menyelami fikiran raja. Fikiran raja lebih tinggi daripada fikiran kita, setinggi langit dan sedalam laut.
4 Bersihkanlah perak daripada sanganya, barulah yang indah dapat dibentuk oleh tukang perak.
5 Jauhkanlah penasihat yang jahat daripada raja, lalu raja akan memerintah dengan adil.
6 Apabila menghadap raja, jangan cuba berlagak seperti orang besar dan berpura-pura pandai.
7 Lebih baik dipersilakan ke tempat yang lebih terhormat daripada disuruh memberikan tempat kamu kepada orang yang lebih berpangkat.
8 Jangan tergesa-gesa membawa perkara ke mahkamah, kerana jika kemudian kamu terbukti salah, apa lagi yang dapat kamu buat?
9 Jika kamu berselisih faham dengan jiran kamu, selesaikanlah perkara itu antara kamu sendiri, dan jangan buka rahsia orang lain.
10 Jika kamu membuka rahsia orang lain, kamu akan dicap sebagai orang yang bocor mulut, dan nama kamu tercemar seumur hidup.
11 Kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya bagaikan buah emas di dalam pinggan perak.
12 Amaran yang diberikan oleh orang bijak kepada orang yang suka menerimanya adalah lebih berharga daripada cincin emas atau barang kemas.
13 Utusan yang boleh dipercayai, menyegarkan hati orang yang mengutusnya, seperti air minum yang sejuk pada musim panas.
14 Orang yang tidak menepati janjinya bagaikan awan dan angin yang tidak membawa hujan.
15 Kesabaran yang disertai kata-kata lembut dapat meyakinkan para penguasa dan menghancurkan segala tentangan.
16 Jangan makan madu banyak-banyak, nanti kamu muntah pula.
17 Jangan lawat jiran kamu terlalu sering, nanti dia bosan lalu membenci kamu.
18 Membuat tuduhan palsu bagaikan menyerang dengan pedang, belantan, atau anak panah yang tajam.
19 Mengharapkan seorang yang tidak dapat dipercayai pada masa kesusahan bagaikan menggigit dengan gigi yang goyah atau berjalan dengan kaki yang tempang.
20 Menyanyikan lagu bagi orang yang sedih bagaikan menanggalkan pakaiannya pada hari yang sejuk, atau membubuhkan cuka pada luka.
21 Jika musuh kamu lapar, berilah mereka makan; jika mereka dahaga, berilah mereka minum.
22 Perbuatan kamu akan memalukan mereka, dan TUHAN akan membalas kebaikan kamu.
23 Umpatan pasti mendatangkan kemarahan seperti angin utara pasti membawa hujan.
24 Tinggal di bumbung rumah lebih baik daripada tinggal di dalam rumah bersama-sama isteri yang suka bertengkar.
25 Menerima berita baik dari tempat yang jauh bagaikan minum air sejuk ketika haus.
26 Orang baik yang mengalah kepada orang jahat bagaikan mata air yang dikeruhkan atau perigi yang dicemarkan.
27 Makan madu berlebih-lebih tidak baik; mengharapkan pujian yang berlebih-lebih pun tidak baik.
28 Seorang yang tidak dapat mengawal diri bagaikan kota yang tidak berkubu dan mudah diserang musuh.