Peraturan tentang Orang Nazir
6
1 TUHAN menyuruh Musa
2 memberikan peraturan ini kepada umat Israel. Apabila seorang lelaki atau perempuan bernazar untuk mengekhaskan diri bagi TUHAN sebagai orang Nazir,
3 dia tidak boleh minum wain dan minuman keras. Dia tidak boleh minum minuman apa pun yang dibuat daripada buah anggur, dan tidak boleh makan buah anggur segar ataupun kismis.
4 Selama dia orang Nazir, dia tidak boleh makan apa pun yang berasal daripada pokok anggur, sama ada biji ataupun kulit buah anggur.
5 Selama dia orang Nazir, dia tidak boleh menggunting rambutnya ataupun bercukur. Dia terikat oleh nazarnya sampai selesai masa dia mengekhaskan diri bagi TUHAN. Oleh itu dia mesti membiarkan rambut dan janggutnya tumbuh panjang.
6-7 Rambutnya adalah tanda bahawa dia mengekhaskan diri bagi Allah. Oleh itu dia tidak boleh menajiskan diri dengan menghampiri mayat, sekalipun mayat bapanya, ibunya, abangnya, atau kakaknya.
8 Selama dia orang Nazir, dia adalah orang yang khas untuk TUHAN.
9 Jika rambut orang Nazir menjadi najis kerana dia di sisi seorang yang tiba-tiba meninggal, orang Nazir itu harus menunggu selama tujuh hari, lalu mencukur rambut dan janggutnya. Dengan demikian dia menjadi suci.
10 Pada hari kelapan, dia harus membawa dua ekor burung tekukur atau dua ekor burung merpati kepada imam di pintu Khemah TUHAN.
11 Imam itu akan mempersembahkan seekor burung sebagai korban untuk mengampunkan dosa, dan seekor lagi sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Imam akan melakukan upacara penyucian untuk orang itu kerana dia telah menghampiri mayat. Pada hari itu juga, orang itu harus mengekhaskan rambutnya semula kepada TUHAN,
12 dan membaharui nazarnya kepada TUHAN sebagai orang Nazir selama masa yang ditentukan. Jangka waktu yang lampau itu tidak dihitung lagi kerana rambutnya yang sudah dikhaskan telah menjadi najis. Sebagai korban untuk membayar ganti rugi, orang itu harus mempersembahkan seekor anak domba yang berumur satu tahun.
13 Apabila seorang Nazir menyelesaikan nazarnya, dia harus melakukan upacara yang berikut. Dia harus pergi ke pintu Khemah TUHAN
14 dan mempersembahkan tiga ekor binatang yang tidak ada cacat kepada TUHAN: seekor anak domba jantan yang berumur satu tahun bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN,
15 Dia juga harus mempersembahkan satu bakul roti tanpa ragi: roti tebal yang dicampuri minyak zaitun, dan roti tipis yang disapu dengan minyak zaitun. Dia juga harus mempersembahkan korban untuk mengucap syukur dan korban wain, sebagaimana yang sudah ditetapkan.
16 Imam harus mempersembahkan semua itu kepada TUHAN, dan juga korban untuk mengampunkan dosa dan korban untuk menyenangkan hati TUHAN.
17 Dia akan mempersembahkan domba jantan itu kepada TUHAN sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN,
18 Orang Nazir itu harus mencukur rambutnya di pintu Khemah TUHAN, lalu melemparkan rambutnya itu ke dalam api yang sedang membakar korban untuk memohon berkat TUHAN.
19 Selepas itu, imam akan mengambil kaki depan domba jantan yang sudah direbus, seketul roti tebal dan seketul roti tipis dari bakul itu, lalu meletakkan semuanya ke dalam tangan orang Nazir itu.
20 Kemudian imam itu harus mempersembahkan semuanya sebagai persembahan khas kepada TUHAN. Semua persembahan itu suci dan menjadi milik imam, bersama dengan dada dan paha domba jantan yang menurut peraturan, sudah sememangnya milik imam. Selepas itu, orang itu bukan orang Nazir lagi, dan dia boleh minum wain.
21 Itulah peraturan untuk orang Nazir. Tetapi jika seorang Nazir berjanji untuk memberikan persembahan yang lebih daripada syarat-syarat nazarnya, dia mesti memenuhi semua janjinya itu.
Ucapan Berkat
22 TUHAN memerintahkan Musa untuk
23 memberitahu Harun dan anak-anak lelakinya supaya mengucapkan kata-kata ini apabila mereka memberkati umat Israel:
24 Semoga TUHAN memberkati dan memelihara kamu.
25 Semoga TUHAN baik hati dan murah hati terhadap kamu.
26 Semoga TUHAN berkenan kepada kamu dan memberi kamu kesejahteraan.
27 TUHAN berfirman, “Jika mereka mengucapkan nama-Ku sebagai berkat kepada umat Israel, Aku akan memberkati umat Israel.”