Peraturan tentang Orang Najis
5
1 TUHAN berfirman kepada Musa,
2 “Perintahlah umat Israel untuk mengeluarkan semua orang berikut dari perkhemahan: setiap orang yang menghidap penyakit kulit yang mengerikan, atau penyakit kelamin, dan juga setiap orang yang najis kerana menyentuh mayat.
3 Suruhlah semua orang yang najis keluar supaya mereka tidak menajiskan perkhemahan, tempat Aku tinggal bersama-sama umat-Ku.”
4 Umat Israel menjalankan perintah itu, lalu mengeluarkan semua orang seperti itu dari perkhemahan.
Ganti Rugi
5 TUHAN memberi Musa
6 peraturan berikut untuk umat Israel. Apabila seseorang tidak setia kepada TUHAN dan berbuat salah terhadap orang lain,
7 orang itu mesti mengaku dosanya dan membayar ganti rugi penuh, ditambah dengan dua puluh peratus, kepada orang yang dirugikan itu.
8 Tetapi jika orang yang dirugikan itu sudah meninggal dan tidak mempunyai saudara dekat yang boleh menerima bayaran ganti rugi, bayaran itu harus diberikan kepada TUHAN dan menjadi milik imam. Pembayaran ganti rugi itu adalah tambahan kepada domba jantan yang biasa diberikan untuk upacara penyucian bagi orang yang bersalah.
9 Demikian juga halnya dengan setiap sumbangan khas yang dipersembahkan oleh umat Israel kepada TUHAN; sumbangan itu menjadi milik imam yang menerimanya.
10 Apa yang dipersembahkan seseorang kepada TUHAN, menjadi milik orang itu sendiri. Hanya apa yang diserahkannya kepada seorang imam, menjadi milik imam itu.
Peraturan tentang Suami yang Mencurigai Isterinya
11 TUHAN memerintah Musa
12-14 untuk memberikan peraturan ini kepada umat Israel. Mungkin seorang lelaki mencurigai isterinya; suami itu menyangka bahawa isterinya tidak setia kepadanya dan isterinya mencemarkan diri kerana bersetubuh dengan lelaki lain. Tetapi suami itu tidak pasti kerana perbuatan itu dilakukan dengan sembunyi-sembunyi dan tidak ada saksi, dan isterinya tidak tertangkap basah; atau mungkin seorang suami curiga, walaupun isterinya tetap setia kepadanya.
15 Dalam kedua-dua hal itu, suami harus membawa isterinya kepada imam. Suami itu harus membawa persembahan yang ditetapkan: satu kilogram tepung barli, tetapi tidak dicampuri minyak zaitun ataupun kemenyan kerana persembahan itu daripada suami yang curiga, dan diberikan untuk menyatakan hal yang sebenar.
16 Imam akan menyuruh perempuan itu maju dan berdiri di hadapan mazbah.
17 Imam akan menuang air suci ke dalam sebuah mangkuk tembikar, lalu memasukkan sedikit tanah dari lantai Khemah TUHAN ke dalam mangkuk itu untuk membuat airnya pahit.
18 Kemudian imam menguraikan rambut perempuan itu, lalu meletakkan persembahan tepung ke dalam tangan perempuan itu. Imam akan memegang mangkuk yang berisi air pahit yang mendatangkan kutuk.
19 Kemudian imam akan mengucapkan sumpah dan menyuruh perempuan itu menyetujuinya. Imam akan berkata, “Jika engkau tidak berzina, engkau tidak akan kena kutuk yang didatangkan air ini.
20 Tetapi jika engkau sudah berzina,
21 biarlah TUHAN menjadikan namamu suatu kutuk antara bangsamu. Kemaluanmu akan mengecut dan perutmu mengembung.
22 Air yang mendatangkan kutuk ini akan masuk ke dalam perutmu, dan menjadikannya kembung serta mengecutkan kemaluanmu.”
Perempuan itu harus menjawab, “Saya setuju, biarlah TUHAN berbuat begitu.”
23 Selepas itu imam harus menuliskan kutuk itu lalu memadamkannya dengan air pahit di dalam mangkuk itu.
24 Sebelum imam menyuruh perempuan itu minum air yang akan mendatangkan rasa sakit,
25 imam harus mengambil persembahan tepung dari tangan perempuan itu, lalu mengunjukkannya untuk dipersembahkan kepada TUHAN, kemudian meletakkannya di atas mazbah.
26 Selepas itu imam harus mengambil segenggam tepung itu sebagai tanda bahawa semuanya dipersembahkan, lalu membakarnya di atas mazbah. Akhirnya, imam harus menyuruh perempuan itu minum air itu.
27 Jika perempuan itu sudah berzina, air itu akan menyebabkan dia sakit sekali; perutnya akan mengembung dan kemaluannya mengecut. Namanya akan menjadi kutuk antara bangsanya.
28 Tetapi jika dia tidak bersalah, dia tidak akan kena kutuk dan masih dapat beranak.
29-30 Itulah peraturannya apabila seorang lelaki cemburu dan curiga bahawa isterinya sudah berzina. Perempuan itu harus disuruh berdiri di hadapan mazbah dan imam harus melakukan upacara itu.
31 Suami itu tidak bersalah; jika isteri itu bersalah, dia mesti menanggung akibatnya.