52
Hukuman terhadap Orang Jahat
1 Untuk pemimpin koir. Sajak Daud,
2 pada masa Doeg, orang Edom itu menghadap Raja Saul dan memberitahu baginda bahawa Daud sudah pergi ke rumah Abimelekh.
3 Hai orang gagah, mengapa engkau membanggakan kejahatanmu
terhadap orang yang dikasihi Allah?
4 Sepanjang hari engkau merancang kehancuran orang;
mulutmu setajam pisau cukur,
dan dusta sentiasa engkau karang.
5 Engkau lebih mencintai kejahatan daripada kebaikan,
dan lebih menyukai fitnah daripada kebenaran.
6 Engkau suka menyakiti hati orang dengan kata-kata.
Engkau pendusta!
7 Oleh itu, Allah akan memusnahkan engkau selama-lamanya;
Dia akan menangkap dan menarik engkau dari rumah;
Dia akan melenyapkan engkau dari dunia orang hidup.
8 Orang salih akan melihat perbuatan ini dan berasa takut;
mereka akan mentertawakan engkau, dan berkata,
9 “Lihat, inilah orang yang tidak berlindung kepada Allah,
tetapi yakin akan kekayaannya yang berlimpah,
dan mencari perlindungan dalam jenayah.”
10 Tetapi aku umpama pokok zaitun yang tumbuh di Rumah Allah;
aku bergantung kepada kasih-Nya selama-lamanya.
11 Ya Allah, aku akan sentiasa bersyukur kepada-Mu,
kerana segala perbuatan-Mu;
di tengah-tengah umat-Mu,
aku akan memberitakan kebaikan-Mu.