51
Doa Minta Ampun
1 Untuk pemimpin koir. Mazmur Raja Daud
2 setelah baginda ditegur oleh Nabi Natan kerana berzina dengan Batsyeba.
3 Kasihanilah aku, ya Allah, kerana kasih-Mu;
hapuskanlah dosa-dosaku, kerana belas kasihan-Mu sungguh besar.
4 Basuhlah aku daripada segala kejahatanku,
dan bersihkanlah aku daripada dosaku.
5 Aku mengakui kesalahanku;
aku sentiasa sedar akan dosaku.
6 Aku telah berdosa terhadap-Mu - terhadap-Mu sahaja,
dan aku melakukan perkara yang Engkau anggap jahat.
Maka patutlah Engkau menghakimi aku;
adillah Engkau ketika menghukum aku.
7 Aku jahat sejak aku dilahirkan;
aku berdosa sejak aku dalam kandungan.
8 Engkau menghendaki ketulusan hati;
penuhkanlah batinku dengan kebijaksanaan-Mu.
9 Sucikanlah aku, maka aku akan menjadi bersih;
basuhlah aku, lalu aku akan menjadi lebih putih daripada salji.
10 Biarlah aku mendengar suara kesukaan dan kegembiraan,
agar aku yang Engkau hancurkan dan remukkan,
akan menjadi gembira semula.
11 Palingkanlah wajah-Mu daripada dosaku,
dan hapuskanlah segala kejahatanku.
12 Ya Allah, ciptalah hati yang murni bagiku,
baharuilah batinku agar menjadi teguh.
13 Janganlah buang aku daripada hadirat-Mu;
janganlah ambil Roh-Mu yang suci daripadaku.
14 Buatlah aku gembira lagi kerana penyelamatan daripada-Mu,
dan berilah aku hati yang rela mentaati-Mu.
15 Maka aku akan mengajarkan perintah-Mu kepada orang berdosa,
dan mereka akan kembali kepada-Mu.
16 Ya Allah, lepaskanlah aku daripada maut, dan selamatkanlah aku,
lalu dengan sukacita aku akan memberitakan keadilan-Mu.
17 Tolonglah aku berkata-kata,
ya Tuhan,
lalu aku akan memberi Engkau pujian.
18 Engkau tidak mahu korban yang dipersembahkan;
jika aku mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati-Mu,
Engkau pun tidak berkenan.
19 Persembahanku adalah hati yang hancur, ya Allah;
hati yang remuk dan sesal, akan Engkau terima.
20 Tunjukkanlah kebaikan-Mu kepada Sion, ya Allah,
binalah tembok-tembok Yerusalem semula.
21 Maka Engkau akan berkenan dengan persembahan yang layak,
serta korban-korban yang kami bakar;
di atas mazbah-Mu, lembu jantan akan dipersembahkan.