14
Isa menghiburkan hati para pengikut
1 ‘Janganlah kamu bimbang. Percayalah kepada Allah dan percayalah juga kepada-Ku. 2 Di dalam rumah Bapa-Ku ada banyak tempat tinggal. Jika hal ini tidak benar, tidaklah Kukatakan kepadamu. Aku akan pergi menyediakan tempat untukmu. 3 Jika Aku pergi dan menyediakan tempat untukmu, Aku akan pulang dan membawamu ke tempat-Ku, supaya di tempat Aku berada di situ juga kamu berada. 4 Kamu tahu jalan ke tempat Aku pergi.’
5 Tomas berkata kepada Isa, ‘Junjungan, kami tidak tahu ke mana Engkau pergi, bagaimana kami mungkin tahu jalan ke sana?’
6 Isa menjawab, ‘Akulah jalan, kebenaran dan hidup. Tidak seorang pun datang kepada Bapa kecuali melalui-Ku. 7 Dengan mengenal-Ku, kamu mengenal Bapa-Ku juga. Mulai sekarang kamu mengenal-Nya, malah sudahpun melihat-Nya.’
Keesaan dengan Bapa
8 Filipus berkata kepada Isa, ‘Junjungan, tunjukkanlah Bapa kepada kami, supaya puaslah hati kami.’
9 Isa menjawab, ‘Sekian lama aku bersama kamu semua, belum lagi kau kenal Aku, Filipus? Sesiapa yang telah melihat-Ku, telah melihat Bapa. Mengapa kamu berkata, “Tunjukkanlah Bapa kepada kami?” 10 Filipus, tidakkah kamu percaya bahawa Aku di dalam Bapa, dan Bapa di dalam-Ku? Segala yang Kukatakan kepadamu bukanlah daripada-Ku, tetapi daripada Bapa yang tinggal di dalam-Ku yang melakukan semua pekerjaan itu. 11 Percayalah kepada-Ku, bahawa Aku di dalam Bapa, dan Bapa di dalam-Ku. Kalaupun kamu tidak percaya akan apa yang Kukatakan, percayalah kepada-Ku kerana apa yang telah Kulakukan. 12 Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, sesiapa yang percaya kepada-Ku akan melakukan apa yang Kulakukan, malah pekerjaan lebih besar lagi, kerana Aku pergi kepada Bapa. 13 Apa sahaja yang kamu minta dengan nama-Ku, Aku akan melakukannya supaya kemuliaan Bapa ternyata melalui Putera-Nya. 14 Apa sahaja yang kamu minta daripada-Ku dengan nama-Ku akan Kulakukan.
Isa menjanjikan Roh Kebenaran
15 ‘Jika kamu mengasihi-Ku, kamu akan mematuhi perintah-perintah-Ku. 16 Aku akan memohon kepada Bapa dan Bapa akan mengurniaimu Penolong yang akan menyertaimu selama-lamanya. 17 Penolong itu Roh Kebenaran. Dunia tidak dapat menerima-Nya kerana tidak dapat melihat atau mengenal-Nya. Tetapi kamu mengenal-Nya kerana Dia tetap dalammu dan akan ada dalam dirimu. 18 Aku tidak akan meninggalkanmu seperti anak yatim piatu. Aku akan datang lagi mendapatkanmu. 19 Tidak lama lagi, dunia tidak akan melihat-Ku lagi, tetapi kamu akan melihat-Ku. Oleh sebab aku hidup, kamu juga akan hidup. 20 Setelah tiba hari itu, kamu akan tahu bahawa Aku di dalam Bapa, kamu di dalam-Ku, dan Aku juga di dalammu. 21 Sesiapa yang menerima dan mematuhi perintah-perintah-Ku, mengasihi-Ku. Sesiapa yang mengasihi-Ku akan dikasihi oleh Bapa-Ku, dan Aku juga akan mengasihinya serta memperlihatkan diri-Ku kepadanya.’
22 Yudas (bukan Yudas Iskariot) berkata kepada Isa, ‘Junjungan, mengapa Engkau memperlihatkan diri kepada kami tetapi tidak kepada dunia?’
23 Isa menjawab, ‘Sesiapa yang mengasihi-Ku akan menurut ajaran-Ku. Bapa-Ku akan mengasihinya. Dan Kami akan datang kepadanya serta tinggal bersamanya. 24 Orang yang tidak mengasihi-Ku tidak menurut ajaran-Ku, pada hal ajaran itu bukan daripada-Ku, tetapi daripada Bapa yang mengutus-Ku.
25 ‘Aku memberitahumu semua ini ketika Aku masih tinggal bersamamu. 26 Namun, Penolong, iaitu Roh Suci yang akan diutus Allah dalam nama-Ku, akan mengajarmu segala-galanya dan mengingatkanmu tentang apa yang telah Kukatakan kepadamu. 27 Sejahtera Kutinggalkan bagimu. Sejahtera-Ku sendiri Kuberikan kepadamu. Apa yang Kuberikan kepadamu bukan seperti yang disogokkan oleh dunia. Usah risau dan janganlah takut.
28 ‘Kamu telah mendengar Aku berkata, “Aku akan pergi, tetapi Aku akan datang lagi mendapatkanmu.” Sekiranya kamu mengasihi-Ku, kamu akan gembira bahawa Aku pergi kepada Bapa kerana Bapa lebih besar daripada-Ku. 29 Semua ini Kukatakan kepadamu sebelum terjadi, supaya ketika berlaku nanti, kamu akan percaya kepada-Ku. 30 Aku tidak dapat bercakap lama lagi denganmu, kerana sudah tiba waktunya pemerintah dunia ini datang. Sebenarnya dia tidak berkuasa ke atas diri-Ku. 31 Namun, Aku menjalankan semua perintah Bapa, supaya dunia tahu bahawa Aku mengasihi Bapa.
‘Bangkitlah, marilah kita beredar dari sini.