8
Perempuan yang berzina
Akan tetapi Isa pergi ke Bukit Zaitun. Pada keesokan harinya, pagi-pagi lagi Dia masuk ke rumah ibadat. Semua orang di situ datang kepada-Nya. Dia duduk lalu mengajar mereka. Guru Taurat dan orang Farisi membawa kepada Isa seorang perempuan yang didapati berzina. Mereka membuat perempuan itu berdiri di hadapan semua orang di situ. Mereka berkata kepada Isa, ‘Tuan Guru, perempuan ini ditangkap ketika berzina.’ Di dalam hukum Taurat, Musa memberi perintah supaya perempuan demikian direjam sampai mati. Bagaimanakah pendapat-Mu?’ Mereka bertanya demikian untuk menduga Isa supaya mempunyai alasan untuk menuduh-Nya.
Tetapi Isa tunduk menulis di tanah dengan jari-Nya. Mereka tetap mengulangi pertanyaan itu. Oleh yang demikian, Isa meluruskan badan-Nya lalu berkata kepada mereka, ‘Sesiapa di antaramu yang tidak berdosa, hendaklah dia yang pertama merejam batu kepadanya.’ Kemudian Isa tunduk menulis semula di tanah.
Setelah mendengar kata-kata Isa, seorang demi seorang, bermula dengan yang tertua, beredar dari situ. Akhirnya hanya Isa dan perempuan itu yang tinggal. 10 Isa meluruskan badan-Nya lalu berkata kepada perempuan itu, ‘Di manakah mereka? Tidak adakah orang yang mengutukmu?’
11 Perempuan itu menjawab, ‘Tidak ada, Junjungan.’
Isa berkata, ‘Aku pun tidak menghukummu. Pergilah, jangan berbuat dosa lagi.’
Isa cahaya dunia
12 Isa berkata lagi kepada mereka, ‘Akulah cahaya dunia. Orang yang mengikut-Ku tidak akan berjalan dalam kegelapan tetapi akan mempunyai cahaya hidup.’
13 Lalu orang Farisi yang hadir berkata kepada Isa, ‘Kamu memberikan kesaksian tentang diri-Mu sendiri. Kesaksian-Mu tidak sah.’
14 Isa menjawab, ‘Walaupun Aku memberi kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesaksian-Ku benar, kerana Aku tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi, sedangkan kamu tidak tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi. 15 Kamu menghakimi orang mengikut ukuran manusia. Aku tidak menghakimi sesiapapun. 16 Tetapi sekiranya Aku menghakimi, penghakiman-Ku adil, kerana Aku tidak menghakimi sendirian. Bapa yang mengutus-Ku menghakimi bersama-sama-Ku. 17 Ada tersurat di dalam hukum Taurat kamu: Kesaksian dua orang adalah sah. 18 Aku memberi kesaksian tentang diri-Ku. Bapa yang mengutus-Ku juga memberi kesaksian tentang diri-Ku.’
19 Oleh itu mereka bertanya, ‘Di manakah Bapa-Mu itu?’
Isa menjawab, ‘Kamu tidak mengenal-Ku atau Bapa-Ku. Kalaulah kamu mengenal-Ku, tentu kamu mengenal Bapa-Ku juga.’ 20 Isa mengatakan segala ini di perbendaharaan ketika mengajar di rumah ibadat. Tetapi tiada seorang pun menangkap-Nya, kerana saat-Nya belum sampai.
21 Isa berkata lagi kepada mereka, ‘Aku akan pergi dan kamu akan mencari-Ku, tetapi kamu akan mati dalam dosamu. Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.’
22 Lalu orang Yahudi berkata, ‘Adakah Dia hendak membunuh diri?’ Kerana Dia berkata, ‘Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.’
23 Isa berkata, ‘Kamu datang dari bawah; Aku datang dari atas. Kamu berasal dari dunia; Aku tidak berasal dari dunia. 24 Itulah maka Kukatakan kepadamu, kamu akan mati dalam dosamu. Memanglah kamu akan mati dalam dosamu jika kamu tidak percaya bahawa Akulah Dia yang Kukatakan.’
25 ‘Siapa Kamu ini?’ tanya mereka.
Isa menjawab, ‘Akulah Dia yang telah Kukatakan kepadamu dari mula lagi. 26 Ada banyak lagi yang perlu Kukatakan dan Kuadili tentangmu. Tetapi Dia yang mengutus-Ku dapat dipercayai. Aku menyampaikan kepada dunia apa yang Kudengar daripada-Nya.’
27 Mereka tidak faham bahawa selama ini Isa bercakap tentang Bapa. 28 Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Apabila kamu meninggikan Putera Insan, barulah kamu tahu bahawa Akulah Dia yang Kukatakan, dan Aku tidak pernah melakukan sesuatu menurut kehendak-Ku. Aku hanya mengatakan apa yang diajarkan oleh Bapa. 29 Dia yang mengutus-Ku ada di sisi-Ku. Dia tidak pernah membiarkan Aku keseorangan, kerana Aku sentiasa melakukan apa yang diredai-Nya.’ 30 Setelah mendengar kata-kata Isa, ramai orang percaya kepada-Nya.
Kebenaran yang membebaskanmu
31 Isa berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepada-Nya, ‘Kalau kamu mengikut ajaran-Ku, kamu pengikut-Ku yang sejati. 32 Maka kamu akan mengenal kebenaran dan kebenaran akan membebaskanmu.’
33 Mereka berkata, ‘Kami keturunan Ibrahim. Kami belum pernah diperhambakan. Apakah maksud kata-kata-Mu, “Kamu akan dibebaskan”?’
34 Isa berkata kepada mereka, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang melakukan dosa menjadi hamba kepada dosa. 35 Seorang hamba tidak mempunyai kedudukan kekal dalam sebuah keluarga, tidak seperti seorang anak yang selama-lamanya anggota keluarga itu. 36 Dengan demikian, jika Putera membebaskanmu, kamu akan bebas sepenuhnya. 37 Aku tahu kamu keturunan Ibrahim, tetapi kamu ingin membunuh-Ku kerana kata-kata-Ku tidak mendapat tempat dalam dirimu. 38 Aku menyampaikan apa yang dinyatakan oleh Bapa-Ku. Demikian juga kamu melakukan apa yang disampaikan oleh bapamu.’
39 Mereka menjawab, ‘Bapa kami Ibrahim.’
Tetapi Isa berkata, ‘Sekiranya kamu benar-benar anak Ibrahim, tentu kamu lakukan apa yang telah dilakukan oleh Ibrahim. 40 Aku hanya memberitahumu apa yang difirmankan Allah kepada-Ku, tetapi kamu hendak membunuh-Ku. Ini bukanlah perlakuan Ibrahim! 41 Kamu melakukan apa yang dilakukan oleh bapamu.’
Mereka menjawab, ‘Kami bukan anak luar nikah. Bapa kami satu, iaitu Allah.’
42 Isa berkata kepada mereka, ‘Kalaulah benar Allah Bapamu, tentu kamu mengasihi-Ku, kerana Aku datang daripada-Nya, bukan dengan kehendak-Ku sendiri, tetapi diutus-Nya. 43 Mengapa kamu tidak mengerti kata-kata-Ku? Kerana kamu enggan mendengar kata-kata-Ku. 44 Bapamu Iblis dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih cenderung menurut kehendak bapamu. Dari mulanya lagi, Iblis pembunuh. Dia tidak menyokong kebenaran, kerana dalam dirinya tidak ada kebenaran. Apabila dia berdusta, dia bercakap dari sifat tabiinya sendiri, kerana dia pendusta dan bapa segala dusta. 45 Sebaliknya aku menyampaikan kebenaran, maka itulah kamu tidak mahu percaya kepada-Ku. 46 ‘Siapakah antaramu yang dapat membuktikan Aku berdosa? Jika Aku berkata benar, mengapa kamu tidak mempercayai-Ku? 47 Orang yang daripada Allah mendengar firman Allah. Kamu tidak mendengarnya, kerana kamu bukan daripada Allah.’
48 Orang Yahudi berkata, ‘Tidakkah benar kami katakan, Kamu ini orang Samaria dan dirasuk roh iblis?’
49 Isa menjawab, ‘Aku tidak dirasuk roh iblis. Aku memuliakan Bapa-Ku, tetapi kamu menghina-Ku. 50 Aku tidak mencari kemuliaan untuk diri-Ku, tetapi Dia yang mencarinya untuk-Ku, dan Dia akan menghakimi. 51 Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, sesiapa yang menurut kata-Ku tidak akan mati.’
52 Orang Yahudi berkata kepada-Nya, ‘Sekarang tahulah kami bahawa Kamu dirasuk roh iblis! Ibrahim sudah mati, begitu juga nabi-nabi. Tetapi Kamu berkata, “Sesiapa yang menurut kata-Ku tidak akan mati.” 53 Adakah Kamu lebih besar daripada bapa kami Ibrahim yang sudah mati? Nabi-nabi juga sudah mati. Kamu sangka Kamu ini siapa?’
54 Isa menjawab, ‘Sekiranya Aku memuliakan diri-Ku, kemuliaan itu tidak bererti. Bapa-Ku yang memuliakan Aku. Kamu mengatakan Dia itu Tuhanmu. 55 Namun, kamu tidak mengenal-Nya, tetapi Aku mengenal-Nya. Sekiranya Kukatakan Aku tidak mengenal-Nya, jadilah Aku pendusta sepertimu. Aku mengenal-Nya dan taat akan firman-Nya. 56 Bapamu Ibrahim bersukacita melihat hari-Ku. Dia melihatnya dan bergembira.’
57 Orang Yahudi berkata kepada-Nya, ‘Usia-Mu belum sampai lima puluh tahun. Bagaimana Kamu mungkin berjumpa dengan Ibrahim?’
58 Isa berkata kepada mereka, ‘Apa yang Kukatakan ini benar, sebelum Ibrahim dilahirkan Aku sudah ada.’ 59 Setelah itu mereka memungut batu untuk merejam Isa, tetapi Isa menyembunyikan diri-Nya lalu meninggalkan rumah ibadat.