6
Isa memberi lima ribu orang makanan
Setelah itu Isa pergi ke seberang Laut Galilea yang juga dipanggil Tiberias. Ramai orang mengikut-Nya setelah melihat mukjizat-Nya menyembuhkan orang sakit. Isa mendaki sebuah bukit lalu duduk di situ bersama para pengikut-Nya. Pada masa itu perayaan Paska orang Yahudi hampir tiba.
Apabila Isa memandang sekeliling dan melihat ramai orang datang ke arah-Nya, Dia berkata kepada Filipus, ‘Dari manakah dapat kita beli makanan untuk semua mereka ini?’ (Sebenarnya Isa bertanya itu untuk menduga Filipus sahaja kerana Dia tahu apa yang akan dilakukan-Nya.)
Filipus menjawab, ‘Roti yang berharga dua ratus keping wang perak pun tidak cukup, meskipun jika dibahagi secebis seorang.’
Seorang lagi pengikut Isa bernama Andreas, saudara Simon Petrus, berkata kepada-Nya, ‘Ada seorang budak di sini yang mempunyai lima buku roti barli dan dua ekor ikan. Tetapi tidak mungkin akan cukup untuk orang seramai ini!’
10 Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Ajaklah mereka duduk.’ (Di situ ada banyak rumput.) Mereka itu pun duduk, kira-kira lima ribu orang lelaki semuanya. 11 Isa mengambil roti itu lalu mengucap syukur kepada Allah. Selepas itu Dia memecah-mecahkan roti itu antara orang ramai itu. Kemudian Dia membahagi-bahagikan ikan itu pula. Semuanya makan sepuas-puasnya.
12 Setelah kenyang semuanya, Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Kumpulkanlah baki makanan, jangan ada yang terbuang.’ 13 Lalu mereka mengumpulkannya dan mengisi dua belas bakul baki makanan daripada lima buku roti barli yang dimakan oleh orang ramai itu.
14 Apabila mereka melihat mukjizat yang dilakukan oleh Isa itu, mereka pun berkata, ‘Memang Dialah Nabi yang dinanti-nantikan datang ke dunia!’ 15 Isa tahu bahawa mereka hendak datang dan memaksa-Nya menjadi raja. Oleh itu Dia beredar sekali lagi ke bukit seorang diri.
Isa berjalan di atas air
16 Setelah senja hari, para pengikut Isa turun ke tasik. 17 Mereka menaiki perahu menyeberangi tasik itu ke Kapernaum. Hari sudah gelap namun Isa belum pulang mendapatkan mereka. 18 Ketika itu tasik mulai bergelombang kerana angin bertiup kencang. 19 Setelah para pengikut Isa berkayuh tiga atau tiga setengah batu, mereka terpandang Dia berjalan di atas air ke arah perahu mereka, lalu mereka pun ketakutan. 20 Tetapi Isa berkata kepada mereka, ‘Jangan takut, Aku Isa!’ 21 Barulah mereka mahu menyambut-Nya naik ke perahu. Pada saat itu juga tibalah perahu itu ke tempat yang dituju.
22 Pada keesokan harinya, orang ramai yang berada di seberang tasik sedar bahawa di situ hanya ada sebuah perahu dan Isa tidak menaiki perahu itu. Mereka tahu bahawa para pengikut Isa telah bertolak menaiki perahu itu tanpa-Nya. 23 Kemudian, beberapa buah perahu dari Tiberias berlabuh dekat tempat orang ramai makan roti selepas Junjungan mengucap syukur. 24 Apabila mereka tidak melihat Isa atau para pengikut-Nya, mereka pun menaiki perahu-perahu itu menuju ke Kapernaum untuk mencari Isa.
Roti Hidup
25 Ketika mereka bertemu dengan Isa di seberang tasik, mereka bertanya kepada-Nya, ‘Tuan Guru, bilakah Engkau sampai ke mari?’
26 Isa menjawab, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kamu mencari-Ku bukan kerana kamu telah melihat tanda-tanda mukjizat, tetapi kerana kamu telah dapat makan sehingga kenyang. 27 Janganlah berusaha mendapatkan makanan yang boleh basi. Berusahalah mendapatkan makanan yang dapat bertahan sampai hidup kekal. Itulah makanan yang akan diberikan kepada-Mu oleh Putera Insan, kerana Allah Bapa telah melantik-Nya.’
28 Mereka bertanya kepada-Nya, ‘Apakah yang mesti kami buat untuk melaksanakan pekerjaan yang dikehendaki Allah?’
29 Isa berkata, ‘Inilah pekerjaan yang dikehendaki Allah iaitu supaya kamu percaya kepada Dia yang diutus-Nya.’
30 Mereka bertanya kepada-Nya, ‘Apakah tanda ajaib yang dapat Kautunjukkan supaya kami melihatnya lalu percaya kepada-Mu? Apakah yang dapat Kaulakukan? 31 Nenek moyang kami makan manna di gurun, sebagaimana tersurat di dalam Kitab Suci: “Dia memberikan roti dari syurga untuk dimakan oleh mereka.” ’
32 Lalu Isa berkata, ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, bukanlah Musa yang memberimu roti dari syurga tetapi Bapa-Ku yang memberimu roti sebenar dari syurga. 33 Roti yang diberikan oleh Allah ialah Dia yang turun dari syurga dan memberi hidup kepada manusia di dunia.’
34 Kemudian mereka berkata, ‘Junjungan, berilah kami roti itu selalu.’
35 Isa berkata kepada mereka, ‘Akulah Roti Hidup itu. Sesiapa yang datang kepada-Ku tidak akan lapar lagi, dan sesiapa yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga lagi. 36 Telah Kukatakan kepadamu, bahawa kamu telah melihat-Ku, namun tidak percaya kepada-Ku. 37 Semua yang diberikan kepada-Ku oleh Bapa akan datang kepada-Ku. Aku tidak akan menolak seorang pun yang datang kepada-Ku. 38 Aku turun dari syurga bukanlah untuk melakukan kehendak-Ku sendiri tetapi kehendak Dia yang mengutus-Ku. 39 Inilah kehendak Dia yang mengutus-Ku: Daripada semua yang diberi kepada-Ku, tiada seorang pun yang keciciran tetapi akan Kubangkitkan kesemuanya pada hari akhir. 40 Demikianlah kehendak Bapa-Ku iaitu setiap orang yang melihat Putera-Nya dan percaya kepada-Nya akan mendapat hidup yang kekal, dan Aku akan membangkitkannya pada hari akhir.’
41 Orang Yahudi di situ mula merungut sesama sendiri menentang Isa kerana kata-katanya, ‘Akulah roti yang turun dari syurga.’ 42 Mereka berkata, ‘Bukankah Dia Isa, anak Yusuf, dan ibu bapa-Nya kita kenal? Bagaimana Dia boleh mengaku, “Aku turun dari syurga”?’
43 Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Janganlah merungut sesama sendiri. 44 Tiada seorang pun yang dapat datang kepada-Ku kecuali didorongkan oleh Bapa yang mengutus-Ku dan Aku akan membangkitkannya pada hari akhir. 45 Ada tersurat di dalam tulisan para nabi: “Semua manusia akan diajar oleh Allah.” Dengan demikian, seorang yang mendengar dan belajar daripada Bapa akan datang kepada-Ku.’ 46 Tidak seorang pun pernah melihat Bapa. Hanya Dia yang datang daripada Allah telah melihat Bapa. 47 Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, orang yang percaya mendapat hidup yang kekal. 48 Akulah roti hidup. 49 Nenek moyangmu makan manna di gurun, tetapi mereka mati juga. 50 Inilah roti yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini tidak akan mati. 51 Akulah Roti Hidup yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini akan hidup kekal. Roti yang akan Kuberikan untuk hidup manusia di dunia ini adalah tubuh-Ku.’
52 Orang Yahudi yang mendengar kata-kata ini mula bertengkar sesama sendiri
‘Bagaimanakah mungkin orang ini memberikan tubuh-Nya untuk kita makan?’
53 Isa berkata kepada mereka, ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, jika kamu tidak makan tubuh Putera Insan dan minum darah-Nya, kamu tidak mempunyai hidup dalam dirimu. 54 Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku mendapat hidup yang kekal, maka Aku akan membangkitkannya pada hari akhir. 55 Tubuh-Ku inilah makanan yang sebenar. Darah-Ku inilah minuman yang sebenar. 56 Apabila seorang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku, maka dia tetap di dalam-Ku dan Aku di dalamnya. 57 Seperti Bapa yang hidup mengutus Aku, dan Aku hidup kerana Bapa hidup. Demikianlah juga, orang yang makan tubuh-Ku akan hidup kerana Aku hidup. 58 Inilah roti yang turun dari syurga, bukan seperti roti yang dimakan oleh nenek moyangmu, yang kemudiannya mati juga walaupun telah memakannya. Sebaliknya, sesiapa yang makan roti ini akan hidup kekal.’ 59 Demikianlah kata-kata Isa ketika mengajar di saumaah di Kapernaum.
Kata-kata untuk pengikut Isa
60 Antara para pengikut yang mendengar kata-kata-Nya itu, ramai yang berkata, ‘Ajaran ini terlalu susah difahami. Siapakah yang dapat menerimanya?’
61 Isa tahu tanpa diberitahu akan rungutan para pengikut-Nya. Lalu Dia berkata kepada mereka, ‘Adakah perkara ini menyebabkan kamu enggan percaya?’ 62 Bagaimana nanti kalau kamu melihat Putera Insan naik semula ke tempat asal-Nya? 63 Hanya Roh Suci memberi hidup. Tubuh tidak ada faedahnya. Apa yang Kukatakan kepadamu ini datang daripada Roh Suci dan memberi hidup. 64 Sungguhpun begitu, sebilangan daripadamu tidak percaya.’ (Isa mengetahui dari mulanya siapa yang enggan percaya dan siapa yang akan mengkhianati-Nya.) 65 Isa berkata lagi, ‘Maka itulah sebabnya Aku berkata kepadamu, tiada seorang pun dapat datang kepada-Ku kecuali dengan keredaan Allah.’
Pengakuan Petrus
66 Selepas itu, ramai pengikut Isa menjauhkan diri dan tidak lagi mengikut-Nya.
67 Oleh yang demikian, Isa bertanya kepada pengikut-Nya yang dua belas itu, ‘Adakah kamu juga akan meninggalkan-Ku?’
68 Simon Petrus berkata kepada Isa, ‘Junjungan, kepada siapa lagi akan kami pergi? Engkaulah yang memiliki kata-kata hidup yang kekal. 69 Kami percaya sepenuh hati bahawa Engkaulah Yang Suci daripada Allah.’
70 Isa berkata, ‘Tidakkah kamu dua belas orang ini Kupilih, tetapi seorang daripadamu adalah iblis?’ 71 Yang dimaksudkan oleh Isa ialah Yudas anak Simon Iskariot. Meskipun Yudas salah seorang pengikut Isa yang dua belas itu, dia akan mengkhianati-Nya.