18
Paulus di Korintus
Seterusnya, Paulus berangkat dari Atena ke Korintus. Apabila tiba di situ, dia bertemu dengan seorang Yahudi bernama Akwila, yang lahir di kota Pontus. Dia baru datang dari Itali dengan isterinya Priskila, kerana Klaudius telah menitahkan semua orang Yahudi keluar dari Rom. Paulus pergi menemui mereka lalu tinggal dan bekerja bersama mereka kerana mata pencarian mereka sama iaitu sebagai tukang khemah. Pada setiap hari Sabat, Paulus berhujah di saumaah untuk meyakinkan orang Yahudi dan juga orang Yunani menjadi pengikut Isa.
Setelah Silas dan Timotius sampai di situ dari Makedonia, Paulus menumpukan masa kepada usaha menyampaikan firman Allah serta memberikan kesaksian kepada orang Yahudi bahawa Isa itulah al-Masih. Akan tetapi mereka menentang dan mencelanya; maka Paulus mengebaskan debu daripada pakaiannya lalu berkata, ‘Jika kamu musnah, kamu sendirilah yang bertanggungjawab, aku tidak salah, aku bersih. Dari sekarang aku hendak pergi kepada orang bangsa asing.’
Paulus pun berpindah ke rumah Titus Yustus, seorang yang menyembah Allah; rumahnya bersebelahan dengan saumaah. Krispus, ketua saumaah itu, serta seisi rumahnya, percaya kepada Junjungan Isa; ramai lagi orang Korintus turut mendengar dan percaya lalu diimadkan.
Pada suatu malam Tuhan berfirman kepada Paulus dalam satu penglihatan, ‘Jangan takut, berkata-katalah terus dan jangan berhenti, 10 kerana Aku menyertaimu. Tiada seorang pun akan dapat mencederakanmu, kerana ramai orang di kota ini umat-Ku.’ 11 Paulus tinggal di situ setahun setengah sambil menyebarkan firman Allah kepada orang di situ.
12 Semasa Galio menjadi pemerintah negeri Akhaya, orang Yahudi bangkit dengan sehati melawan Paulus lalu membawanya ke muka keadilan. 13 Mereka berkata, ‘Orang ini cuba mempengaruhi orang ramai supaya menyembah Allah dengan cara yang bercanggah dengan hukum Taurat.’
14 Apabila Paulus hendak menjawab, Galio berkata, ‘Hai orang Yahudi, jikalau perkara ini tentang kesalahan atau jenayah, patutlah aku bersabar mendengarnya; 15 tetapi jikalau pertikaianmu tentang perkataan, nama dan hukummu hendaklah kamu menyelesaikannya sendiri; aku tidak mahu mengadili perkara yang demikian.’ 16 Lalu Galio mengusir mereka keluar dari tempat pengadilan itu. 17 Kemudian mereka menangkap Sostenes, ketua saumaah, lalu memukulnya di hadapan tempat pengadilan itu, tetapi Galio tidak menghiraukannya.
Paulus kembali ke Antiokhia
18 Paulus tinggal dengan para pengikut Isa di Korintus beberapa hari lagi. Selepas itu dia meninggalkan mereka lalu belayar bersama Priskila dan Akwila ke Siria. Sebelum bertolak, Paulus mencukur rambutnya di Kengkrea sebagai menunaikan nazarnya. 19 Apabila mereka sampai di Efesus, Paulus meninggalkan Priskila dan Akwila di situ. Dia masuk seorang ke saumaah lalu berbincang dengan orang Yahudi. 20 Ketika mereka memintanya tinggal lebih lama lagi di sana, dia menolak permintaan itu 21 lalu bermohon diri sambil berkata, ‘Insya-Allah, aku akan kembali bertemu denganmu.’ Selepas itu dia belayar meninggalkan Efesus. 22 Setelah sampai di Kaisarea, dia naik memberi salam kepada jemaah, lalu turun ke Antiokhia.
23 Di sana dia tinggal beberapa lama, kemudian berangkat melawat seluruh daerah Galatia dan Frigia serta mengukuhkan iman para pengikut Isa di situ.
Apolos di Efesus
24 Pada masa itu seorang Yahudi bernama Apolos, yang lahir di Iskandaria, pandai berpidato dan amat memahami Kitab Suci, datang ke Efesus. 25 Dia telah diajar tentang jalan Tuhan, dan dengan bersungguh-sungguh dia berkata-kata dan mengajarkan ajaran Isa dengan betul, walaupun dia hanya mengetahui pengimadan Yahya. 26 Dia mula bercakap dengan berani di saumaah. Priskila dan Akwila mendengar dia bercakap lalu membawanya ke tempat tinggal mereka dan menerangkan jalan Allah kepadanya dengan lebih betul lagi.
27 Apabila dia hendak menyeberang ke Akhaya, para pengikut Isa di Efesus membantunya dengan menulis surat kepada saudara-saudara seiman di Akhaya, supaya mereka menyambut Apolos. Setibanya di Akhaya, dia banyak menolong orang yang dengan kasih kurnia Allah telah beriman. 28 Dengan wibawa yang penuh Apolos mengalahkan orang Yahudi dalam perbahasan di hadapan orang ramai. Dengan memetik ayat-ayat Kitab Suci, dia membuktikan bahawa Isa itu al-Masih.