16
Timotius menyertai Paulus dan Silas
1 Paulus meneruskan perjalanan ke Derbe dan dari situ ke Listra. Di situ ada seorang pengikut Isa bernama Timotius, ibunya orang Yahudi yang percaya kepada Isa tetapi bapanya orang Yunani. 2 Timotius dipandang tinggi oleh para pengikut Isa di Listra dan di Ikonium. 3 Paulus hendak membawa Timotius bersamanya. Dia pun menyunatkan Timotius kerana semua orang Yahudi di daerah itu tahu bapanya orang Yunani. 4 Di setiap kota yang dikunjungi, mereka menyampaikan peraturan yang telah ditetapkan oleh para rasul dan ketua-ketua di Baitulmaqdis kepada jemaah di situ untuk dipatuhi. 5 Dengan demikian setiap jemaah semakin teguh imannya dan setiap hari bilangan mereka meningkat.
Paulus melihat suatu penglihatan
6 Mereka menjelajahi pula Frigia dan Galatia, kerana Roh Suci melarang mereka menyampaikan firman Allah di Asia. 7 Setelah sampai di sempadan Misia, mereka mencuba masuk ke Bitinia, tetapi dilarang oleh Roh Isa. 8 Oleh itu mereka terus ke Troas melalui Misia. 9 Pada malam itu Paulus mendapat suatu penglihatan: seorang Makedonia berdiri di hadapannya sambil memohon, ‘Marilah ke Makedonia menolong kami.’ 10 Setelah Paulus melihat penglihatan itu, kami pun hendak segera bertolak ke Makedonia, kerana pada hemat kami Allah memerintahkan kami menyampaikan berita baik kepada orang di situ.
Paulus di Filipi
11 Oleh yang demikian, kami belayar dari Troas terus ke Samotrake dan esoknya ke Neapolis; 12 dan dari situ ke Filipi, sebuah kota di Makedonia, yang termasuk jajahan Empayar Rom; kami tinggal beberapa hari di situ.
13 Pada hari Sabat kami pergi ke luar pintu gerbang kota ke tepi sungai, kerana di situ kami jangka ada tempat orang berdoa. Kami duduk bercakap dengan perempuan yang berhimpun di situ. 14 Salah seorang yang mendengar kami bercakap ialah seorang perempuan bernama Lidia, yang berjual kain ungu dan berasal dari Tiatira. Dia penyembah Allah. Tuhan membukakan hatinya lalu dia menerima segala yang dikatakan oleh Paulus. 15 Setelah dia dan seisi rumahnya diimadkan, dia berkata, ‘Jika pada hemat kamu, aku ini benar-benar percaya akan Junjungan, marilah tinggal di rumahku.’ Demikian dia bersungguh-sungguh mengajak kami ke rumahnya.
Paulus dan Silas di penjara
16 Di tempat orang berdoa itu juga ada seorang hamba perempuan yang dirasuk roh penilik; dia membawa keuntungan yang besar kepada tuan-tuannya dengan tilikannya itu. 17 Hamba perempuan itu mengikut Paulus dan kami sambil berseru-seru, ‘Orang ini hamba Allah Yang Maha Tinggi; mereka memberitahu kamu bagaimana Allah dapat menyelamatkan kamu!’ 18 Demikianlah dilakukannya selama beberapa hari. Akhirnya Paulus gusar dan berpaling sambil berkata kepada roh itu, ‘Dengan nama Isa al-Masih aku perintahkan kamu keluar daripadanya!’ Roh itu pun keluar serta-merta.
19 Apabila tuan-tuan budak perempuan itu sedar bahawa sumber keuntungan mereka telah dihapuskan, mereka menangkap Paulus dan Silas lalu menyeret mereka ke hadapan pihak berkuasa di medan kota. 20 Mereka menghadapkan Paulus dan Silas kepada pegawai-pegawai kerajaan Rom dan berkata, ‘Mereka berdua ini membuat kacau di kota kita. Mereka orang Yahudi 21 dan mereka menyebarkan ajaran yang tidak patut kita terima atau ikut kerana kita ini orang Rom.’
22 Orang ramai pun bangkit menentang Paulus dan Silas. Pegawai-pegawai melucutkan pakaian kedua-duanya dan mengarahkan supaya mereka disebat. 23 Setelah disebat beberapa kali, kedua-duanya dimasukkan ke dalam penjara; ketua penjara itu diberi arahan mengawal mereka dengan ketat. 24 Oleh itu, ketua penjara memasukkan Paulus dan Silas ke bahagian penjara yang di dalam sekali serta membelenggu kaki mereka.
25 Namun demikian, pada waktu tengah malam Paulus dan Silas berdoa dan memuji Allah. Sekalian yang terpenjara itu mendengar doa dan pujian mereka. 26 Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang besar, sehingga bergoncang asas penjara itu. Serta-merta semua pintu penjara terbuka dan belenggu semua orang yang terpenjara itu terlucut. 27 Apabila ketua penjara terjaga daripada tidur dan melihat semua pintu penjara itu terbuka, dia menghunus pedang hendak membunuh diri, kerana sangkanya semua orang yang terpenjara telah lepas lari. 28 Akan tetapi Paulus berseru dengan lantang, ‘Jangan apa-apakan dirimu, kami semua ada di sini.’
29 Ketua penjara meminta pelita lalu berlari masuk serta sujud dengan gementar di hadapan Paulus dan Silas. 30 Kemudian dia membawa mereka keluar lalu berkata, ‘Tuan-tuan, apakah yang patut aku lakukan supaya diselamatkan?’
31 Mereka menjawab, ‘Percayalah kepada Junjungan Isa, dan kamu akan diselamatkan, kamu dan seisi rumahmu.’ 32 Mereka pun menyampaikan firman Tuhan kepadanya dan seisi rumahnya. 33 Pada malam itu juga ketua penjara membasuhkan luka-luka Paulus dan Silas. Dia dan seisi rumahnya diimadkan. 34 Selepas itu dia membawa Paulus dan Silas naik ke rumahnya serta menghidangkan makanan untuk mereka dengan amat sukacita kerana dia sekeluarga telah percaya kepada Allah.
35 Setelah hari siang, pegawai-pegawai kerajaan Rom menghantar anggota polis untuk menyampaikan perintah membebaskan Paulus dan Silas. 36 Ketua penjara memberitahu mereka tentang perintah itu, ‘Pegawai-pegawai menyuruh tuan-tuan dibebaskan. Oleh itu keluarlah dan pergilah dengan sejahtera.’
37 Akan tetapi Paulus berkata, ‘Mereka telah menyebat kami di hadapan orang ramai tanpa menyiasat, sungguhpun kami orang Rom. Mereka telah memasukkan kami ke dalam penjara. Sekarang mereka hendak membebaskan kami senyap-senyap? Tidak boleh begitu! Hendaklah mereka sendiri datang membawa kami keluar.’
38 Kata-kata Paulus itu disampaikan oleh anggota polis kepada pegawai-pegawai itu. Apabila mendengar bahawa Paulus dan Silas orang Rom, pegawai-pegawai itu pun takut 39 lalu datang memujuk mereka, membawa mereka keluar dan meminta mereka meninggalkan kota itu. 40 Paulus dan Silas keluar dari penjara lalu pergi ke rumah Lidia. Setelah bertemu dengan pengikut-pengikut Isa di situ dan menetapkan hati mereka, Paulus dan Silas pun meneruskan perjalanan.