13
Kasih
1 Kalaupun aku dapat bertutur dalam semua lidah manusia, malah bahasa malaikat juga, tetapi tidak mempunyai kasih, maka aku tak ubah seperti gong tembaga atau genta yang berbunyi. 2 Kalaupun aku diberi kurnia untuk bernubuat, dan mengetahui semua rahsia serta ilmu, malah memiliki kekuatan iman yang dapat mengalih gunung-ganang, tetapi tidak mempunyai kasih, maka aku langsung tidak bererti. 3 Begitu juga, kalaupun aku memberikan segala milikku untuk memberi makan kepada orang miskin, atau menyerahkan tubuhku untuk dibakar, tetapi tidak mempunyai kasih, maka aku langsung tidak berguna.
4 Kasih bersifat penyabar dan penyayang. Kasih tidak iri hati, tidak membanggakan diri, dan tidak angkuh. 5 Kasih tidak berkelakuan biadab, tidak memburu kepentingan sendiri, tidak cepat meradang, tidak memperhitungkan kesalahan orang lain. 6 Kasih tidak gembira dengan kejahatan, tetapi gembira meraikan kebenaran. 7 Kasih tahan menderita segala-galanya, percaya akan segala-galanya, berharap akan segala-galanya, terus-menerus menanggung segala-galanya.
8 Kasih tidak akan luput. Nubuat-nubuat akan berakhir, bahasa-bahasa akan berhenti, dan ilmu pengetahuan akan lenyap 9 kerana pengetahuan dan nubuat kita tidak sempurna. 10 Setelah yang sempurna datang, maka yang tidak sempurna akan disingkirkan. 11 Pada zaman kanak-kanak, aku bercakap secara kanak-kanak, mengerti secara kanak-kanak. Tetapi setelah aku dewasa, segala sifat kanak-kanak itu kutinggalkan. 12 Sekarang kita hanya melihat samar-samar melalui cermin, tetapi akan tiba saatnya kita melihat dengan jelas berpandang muka. Demikianlah, sekarang aku hanya mengetahui sebahagian, tetapi akan tiba masanya aku mengetahui sepenuhnya, sebagaimana aku diketahui.
13 Hanya tiga yang tinggal: iman, harapan dan kasih. Antara ketiga-tiga ini, yang paling utama ialah kasih.