Tabut Perjanjian Dirampas oleh Orang Filistin
4
1 Setiap kali Samuel berkata-kata, semua orang Israel mendengarkan dia.
Pada masa itu orang Filistin mengumpulkan tentera mereka untuk menyerang Israel. Oleh itu tentera Israel pun maju ke medan peperangan. Tentera Israel berkhemah di Eben-Haezer, dan tentera Filistin berkhemah di Afek.
2 Tentera Filistin menyerang tentera Israel, dan setelah bertempur dengan sengit, tentera Israel kalah. Kira-kira 4,000 orang Israel dibunuh oleh tentera Filistin di medan peperangan.
3 Apabila tentera Israel yang masih hidup pulang ke perkhemahan, para pemimpin Israel berkata, “Mengapakah TUHAN membiarkan tentera Filistin mengalahkan kita hari ini? Marilah kita membawa Tabut Perjanjian TUHAN dari Silo, supaya Dia akan menyertai kita dan menyelamatkan kita daripada musuh.”
4 Oleh itu mereka mengutus orang ke Silo untuk mengambil Tabut Perjanjian TUHAN Yang Maha Kuasa, yang bertakhta di atas kerub. Kedua-dua orang anak Eli, iaitu Hofni dan Pinehas pun datang bersama-sama Tabut Perjanjian itu.
5 Apabila Tabut Perjanjian itu sampai di perkhemahan, tentera Israel bersorak dengan sangat kuat kerana gembira, sehingga bumi bergoncang.
6 Tentera Filistin juga mendengar bunyi sorak itu lalu berkata, “Mengapakah orang Ibrani itu bersorak-sorak?” Tetapi selepas mereka mengetahui bahawa Tabut Perjanjian TUHAN sudah tiba di perkhemahan orang Ibrani,
7 mereka menjadi takut. Mereka berkata, “Ada dewa datang ke perkhemahan mereka! Celakalah kita! Belum pernah kita mengalami perkara seperti ini!
8 Siapakah yang dapat menyelamatkan kita daripada dewa-dewa yang kuat itu? Dewa-dewa itulah yang telah membinasakan orang Mesir di padang gurun dahulu.
9 Jangan takut, hai tentera Filistin! Berperanglah seperti lelaki! Jika tidak, kita akan menjadi hamba orang Ibrani seperti mereka dahulu menjadi hamba kita. Oleh itu berperanglah dengan gagah berani!”
10 Tentera Filistin berperang dengan sekuat tenaga, lalu mereka mengalahkan tentera Israel. Tentera Israel lari ke khemah masing-masing kerana mereka kalah teruk; sebanyak 30,000 orang askar Israel terbunuh.
11 Tabut Perjanjian Allah dirampas oleh musuh, dan kedua-dua orang anak Eli, Hofni dan Pinehas terbunuh.
Eli Meninggal
12 Seorang daripada suku Benyamin lari dari medan peperangan lalu pergi ke Silo. Dia tiba di Silo pada hari itu juga. Dia sudah mengoyak-ngoyakkan pakaiannya dan menaruh tanah di atas kepala sebagai tanda berdukacita.
13 Eli, yang sangat cemas memikirkan keselamatan Tabut Perjanjian itu sedang duduk di atas kerusi di tepi jalan, sambil termenung. Apabila orang itu menyebarkan berita kekalahan Israel di seluruh kota, semua orang menangis dengan kuat.
14 Eli mendengar keriuhan itu, lalu bertanya, “Keriuhan apakah itu?” Sementara itu orang tadi berlari kepada Eli dan menyampaikan berita buruk itu.
15 Pada masa itu Eli sudah berumur sembilan puluh lapan tahun dan dia hampir buta.
16 Orang itu berkata kepada Eli, “Saya lari dari medan peperangan hari ini dan baru saja sampai.”
Eli bertanya kepadanya, “Apa khabar, hai anakku?”
17 Pembawa khabar itu menjawab, “Tentera Israel lari daripada tentera Filistin. Kita mengalami kekalahan yang teruk sekali. Banyak orang terbunuh, termasuk kedua-dua orang anak tuan, Hofni dan Pinehas. Tabut Perjanjian Allah juga dirampas musuh!”
18 Apabila orang itu menyebut tentang Tabut Perjanjian, Eli jatuh terlentang dari kerusinya, di tepi pintu gerbang. Dia sangat tua dan gemuk, sehingga apabila dia jatuh lehernya patah. Ketika itu juga dia meninggal. Dia menjadi pemimpin Israel selama empat puluh tahun.
Balu Pinehas Meninggal
19 Pada masa itu, menantu Eli, iaitu isteri Pinehas, sedang mengandung dan telah hampir masanya untuk bersalin. Apabila dia mendengar bahawa Tabut Perjanjian Allah sudah dirampas dan bapa mentuanya serta suaminya sudah meninggal, tiba-tiba dia berasa sakit beranak, lalu tidak lama kemudian dia bersalin.
20 Apabila dia sudah hampir meninggal, wanita-wanita yang menolong dia berkata kepadanya, “Tabahlah! Anakmu lelaki!” Namun dia tidak menjawab atau memperhatikan mereka.
21 Dia menamakan anak itu Ikabod. Katanya, “Israel sudah kehilangan kemuliaan Allah.” Dia berkata demikian kerana Tabut Perjanjian sudah dirampas dan bapa mentuanya serta suaminya sudah meninggal.
22 Dia berkata, “Kemuliaan Allah sudah meninggalkan Israel, kerana Tabut Perjanjian Allah sudah dirampas.”