Mati terhadap Dosa dan Hidup Bersatu dengan Kristus
6
Jika demikian, apakah yang harus kita katakan? Haruskah kita terus-menerus berbuat dosa supaya rahmat Allah semakin bertambah? Tentu tidak! Dosa tidak lagi berkuasa atas kita. Oleh itu bagaimanakah kita dapat terus-menerus melakukan dosa dalam hidup kita? Tidakkah kamu tahu bahawa pada masa kita dibaptis, kita dipersatukan dengan Kristus Yesus? Hal ini bererti kita dipersatukan dengan kematian-Nya. Dengan baptisan itu, kita dikubur dengan Kristus dan ikut mati bersama-sama Dia, supaya sebagaimana Kristus dibangkitkan daripada kematian oleh kuasa Bapa yang mulia, kita pun dapat mengamalkan hidup yang baru. +
Jika kita sudah dipersatukan dengan Kristus kerana kita ikut mati dengan Dia, maka kita akan dipersatukan dengan Dia juga kerana kita ikut dihidupkan semula seperti Dia. Kita tahu bahawa tabiat kita yang lama sudah disalibkan bersama-sama Kristus, supaya kuasa tabiat kita yang berdosa itu dimusnahkan, dan kita tidak akan diperhamba oleh dosa lagi. Hal itu demikian, kerana apabila seseorang mati, dia dibebaskan daripada kuasa dosa. Jika kita sudah mati bersama-sama Kristus, kita percaya bahawa kita pun akan hidup bersama-sama Dia. Hal itu demikian, kerana kita tahu bahawa Kristus sudah dibangkitkan daripada kematian. Dia tidak akan mati lagi; kematian tidak berkuasa atas-Nya lagi. 10 Kematian Kristus itu kematian terhadap dosa. Perkara itu berlaku satu kali sahaja untuk selama-lamanya. Tetapi hidup-Nya sekarang adalah hidup bagi Allah. 11 Kamu juga harus menganggap diri kamu mati terhadap dosa, tetapi hidup erat dengan Allah melalui Kristus Yesus.
12 Janganlah biarkan dosa menguasai hidup kamu yang fana, supaya kamu tidak mengikut keinginan hati yang jahat. 13 Janganlah serahkan sebarang anggota tubuh kamu kepada kuasa dosa untuk digunakan bagi tujuan yang jahat. Sebaliknya, serahkanlah diri kamu kepada Allah sebagai orang yang dahulunya mati, tetapi sekarang telah dihidupkan oleh Allah. Serahkanlah segenap diri kamu kepada Allah supaya Allah boleh menggunakan kamu untuk melakukan kehendak-Nya.u 14 Dosa tidak boleh menguasai kamu, kerana kamu tidak lagi hidup di bawah Taurat, tetapi hidup di bawah rahmat Allah.
Hamba kepada Kehendak Allah
15 Apakah kesimpulannya sekarang? Bolehkah kita berdosa, kerana kita sekarang hidup di bawah rahmat Allah dan tidak di bawah kuasa Taurat? Tentu tidak! 16 Tentu kamu tahu bahawa jika kamu menghambakan diri kepada seseorang untuk melakukan kehendaknya, maka kamu menjadi hamba orang yang kamu taati: sama ada hamba kepada dosa yang mengakibatkan kematian, atau hamba kepada Allah yang dapat menjadikan kamu berbaik semula dengan Allah. 17 Tetapi bersyukurlah kepada Allah! Dahulu kamu diperhamba oleh dosa, tetapi sekarang dengan sepenuh hati kamu mentaati ajaran benar yang sudah diberikan kepada kamu. 18 Kamu sudah dibebaskan daripada dosa, lalu menjadi hamba kepada kehendak Allah. 19 Kerana kamu susah memahami sesuatu, aku menggunakan contoh perhambaan. Dahulu kamu menyerahkan segenap diri kamu sebagai hamba kepada hal-hal keji dan jahat untuk tujuan yang jahat. Demikian juga sekarang kamu harus menyerahkan segenap diri sebagai hamba kepada kehendak Allah untuk tujuan-tujuan-Nya yang khas.
20 Pada waktu kamu diperhamba oleh dosa, kamu tidak dikuasai oleh kehendak Allah.v 21 Tetapi apakah faedah yang kamu terima daripada perbuatan yang sekarang menyebabkan kamu berasa malu? Perbuatan-perbuatan itu hanya mengakibatkan kematian! 22 Tetapi sekarang kamu sudah dibebaskan daripada dosa, dan menjadi hamba Allah. Faedahnya berupa kehidupan yang diabdikan kepada Allah dan hal ini menghasilkan hidup sejati dan kekal. 23 Kematian adalah upah dosa, tetapi hidup sejati dan kekal bersama-sama Kristus Yesus Tuhan kita adalah anugerah Allah.
+ 6:4 Kol 2.12 u 6:13 Allah boleh menggunakan kamu untuk melakukan kehendak-Nya; Harfiah: senjata-senjata kebenaran. v 6:20 kehendak Allah; Harfiah: kebenaran.