83
Doa Minta Pertolongan Melawan Musuh
1 Mazmur Asaf. Sebuah lagu.
2 Ya Allah, janganlah membisu;
janganlah diam sahaja!
3 Lihatlah! Musuh-Mu memberontak,
dan orang yang membenci Engkau melawan.
4 Mereka membuat rancangan licik melawan umat-Mu;
mereka berkomplot menentang orang yang Engkau lindungi.
5 Kata mereka, “Mari kita binasakan bangsa mereka,
supaya Israel dilupakan selama-lamanya!”
6 Mereka bersetuju dengan sebulat suara
untuk bergabung menentang Engkau:
7 orang Edom dan orang Ismael,
orang Moab dan orang Hagri;
8 orang Gebal, orang Amon, dan orang Amalek,
orang Filistin dan orang Tirus.
9 Orang Asyur pun turut serta,
mereka sekutu yang kuat bagi orang Amon dan orang Moab, keturunan Lot.
10 Perlakukanlah mereka seperti Engkau telah memperlakukan orang Midian,
dan Sisera serta Yabin di Sungai Kisyon.
11 Engkau mengalahkan mereka di Endor,
dan mayat mereka membusuk di tanah.
12 Perlakukanlah pemimpin mereka
seperti Engkau memperlakukan Oreb dan Zeeb;
kalahkanlah semua pemerintah mereka
seperti Engkau mengalahkan Zebah dan Salmuna,
13 yang mengatakan, “Kami akan merampas tanah milik Allah.”
14 Ya Allah, hamburkanlah mereka seperti debu,
seperti sekam yang ditiup angin.
15 Seperti api membakar hutan,
dan nyala api menghanguskan bukit-bukit,
16 kejarlah mereka dengan badai-Mu,
dan gerunkanlah mereka dengan ribut-Mu.
17 Permalukanlah mereka, ya TUHAN,
supaya mereka mengakui kekuasaan-Mu.
18 Biarlah mereka dikalahkan dan ketakutan selama-lamanya;
biarlah mereka mati dalam kehinaan!
19 Biarlah mereka tahu bahawa hanya Engkaulah TUHAN,
Yang Maha Tinggi di seluruh bumi!