39
Pengakuan Orang yang Menderita
Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Untuk Yedutun.
Aku berkata, “Aku akan berhati-hati dengan perbuatanku,
dan tidak akan berdosa dengan lidahku.
Aku tidak akan berkata apa-apa
selama orang jahat berada di sisiku.”
Aku diam membatu, tidak berkata sepatah pun,
walaupun tentang perkara yang baik.
Tetapi penderitaanku bertambah berat,
dan hatiku penuh kecemasan.
Semakin aku berfikir, semakin susah hatiku;
lalu aku bertanya,
“Ya TUHAN, beritahulah aku masa kematianku
supaya aku tahu betapa singkatnya hidupku.”
Betapa pendeknya umurku Engkau tentukan!
Bagi Engkau, seumur hidupku tidak bererti apa-apa.
Sesungguhnya hidup setiap orang seperti hembusan nafas,
hidup mereka berlalu seperti bayangan.
Segala perbuatan mereka sia-sia;
mereka mengumpulkan harta,
tetapi tidak tahu siapa akan mewarisinya.
Apakah yang boleh aku harapkan, ya Tuhan?
Aku berharap kepada-Mu.
Selamatkanlah aku daripada segala dosaku,
dan jangan biarkan aku menjadi ejekan orang dungu.
10 Aku diam dan tidak membuka mulutku,
kerana inilah perbuatan-Mu.
11 Janganlah hukum aku lagi,
aku hampir mati kerana pukulan-Mu.
12 Engkau menghukum dosa manusia dengan teguran-Mu,
dan seperti gegat, Engkau memusnahkan kesukaan mereka.
Sesungguhnya hidup setiap orang seperti hembusan nafas sahaja.
13 Dengarlah doaku, ya TUHAN,
dan sambutlah rayuanku;
janganlah diam ketika aku menangis.
Aku menjadi tetamu-Mu hanya untuk sementara,
seperti nenek moyangku.
14 Janganlah ganggu aku supaya aku dapat sedikit kebahagiaan,
sebelum aku meninggal dan tiada lagi.