32
Pengakuan dan Pengampunan
1 Mazmur Daud. Sajak.
Berbahagialah orang
yang dosa mereka telah diampunkan,
yang kesalahan mereka telah dimaafkan.
2 Berbahagialah orang
yang tidak dituduh oleh TUHAN kerana kejahatan mereka,
dan yang tidak suka menipu.
3 Ketika aku tidak mengakui dosaku,
aku letih kerana menangis sepanjang hari.
4 Siang malam Engkau menghukum aku, ya TUHAN;
tenagaku habis seperti embun diserap terik matahari.
5 Kemudian aku mengakui dosaku kepada-Mu;
aku tidak menyembunyikan perbuatanku yang salah.
Aku mengambil keputusan untuk mengakui dosaku kepada-Mu,
dan Engkau mengampunkan segala kesalahanku.
6 Oleh itu semua umat-Mu yang setia
haruslah berdoa kepada-Mu pada masa kesusahan;
apabila banjir kesusahan melanda,
mereka tidak ditimpanya.
7 Engkaulah tempat persembunyianku,
Engkau akan menyelamatkan aku daripada kesusahanku.
Aku bersorak memuji-Mu,
kerana Engkau menyelamatkan dan melindungi aku.
8 TUHAN berfirman,
“Aku akan menunjukkan jalan yang harus kauikuti.
Engkau akan Kubimbing dan Kunasihati.
9 Janganlah bodoh seperti kuda atau baghal,
yang mesti dikawal dengan tali dan kekang supaya menurut.”
10 Orang jahat pasti menderita,
tetapi orang yang berharap kepada TUHAN
dilindungi oleh kasih-Nya.
11 Bergembiralah dan bersukacitalah, hai orang yang salih,
kerana segala perbuatan TUHAN.
Bersoraklah dan bersukacitalah, hai semua orang yang tulus hati.