26
Doa Orang yang Tidak Bersalah
1 Mazmur Daud.
Berilah aku keadilan, ya TUHAN,
kerana aku melakukan yang benar,
dan aku percaya kepada-Mu dengan sepenuhnya.
2 Periksalah aku, ya TUHAN, dan ujilah aku,
selidiklah keinginanku dan fikiranku.
3 Kasih-Mu membimbing aku;
kesetiaan-Mu sentiasa memimpin aku.
4 Aku tidak bergaul dengan orang yang tidak berguna;
aku tidak berhubungan dengan orang yang berpura-pura.
5 Aku membenci pergaulan dengan orang jahat,
dan aku menjauhkan diri daripada penjahat.
6 Ya TUHAN, aku membasuh tanganku tanda tidak bersalah,
dan aku mengelilingi mazbah-Mu untuk menyembah Engkau.
7 Aku menyanyikan sebuah mazmur
dan memberitakan segala perbuatan-Mu yang ajaib itu.
8 Ya TUHAN, aku mengasihi Rumah kediaman-Mu,
tempat yang penuh dengan kemuliaan-Mu.
9 Janganlah musnahkan aku bersama-sama orang berdosa;
lindungilah aku daripada nasib pembunuh,
10 iaitu orang yang sentiasa melakukan kejahatan
dan selalu sedia menerima rasuah.
11 Tetapi aku hidup dengan tulus hati;
kasihanilah dan selamatkanlah aku.
12 Aku selamat daripada segala bahaya;
aku akan memuji TUHAN dalam perhimpunan umat-Nya.