14
Wanita yang bijak membina rumah tangganya, tetapi wanita yang bodoh meruntuhkan rumah tangganya sendiri.
Orang yang jujur akan takut dan hormat kepada TUHAN, tetapi orang yang curang menghina Dia.
Orang bodoh yang sombong terhukum oleh kata-kata mereka, tetapi kata-kata orang bijak melindungi mereka.
Tanpa lembu untuk membajak tanah, gudang menjadi kosong; tetapi dengan kekuatan lembu, gudang menjadi penuh.m
Saksi yang jujur sentiasa mengatakan yang benar, tetapi saksi yang tidak jujur selalu berdusta.
Orang sombong tidak akan menjadi bijak, tetapi orang cerdas belajar dengan mudah.
Jauhkanlah diri daripada orang bodoh; mereka tidak dapat mengajarkan apa-apa.
Orang yang bijak tahu apa yang harus dilakukannya; orang yang bodoh tertipu oleh kebodohannya sendiri.
Orang bodoh tidak peduli sama ada dosa mereka diampunkan atau tidak, tetapi orang baik mahu dosa mereka diampunkan.
10 Suka duka seseorang dirasakannya sendiri; tiada sesiapa dapat ikut merasakannya.
11 Rumah orang baik tetap kukuh, tetapi rumah orang jahat akan roboh.
12 Jalan yang disangka baik itu akhirnya menuju maut. +
13 Ketawa mungkin dapat menyembunyikan kesedihan, tetapi apabila kegembiraan berakhir, kesedihan tetap ada.
14 Orang jahat akan menerima akibat kejahatan mereka, tetapi orang baik akan menerima ganjaran untuk kebaikan mereka.
15 Orang bodoh percaya kepada apa-apa sahaja, tetapi orang bijak melangkah dengan hati-hati.
16 Orang bijak berhati-hati dan menjauhi kejahatan, tetapi orang bodoh tidak berhati-hati dan bertindak tanpa berfikir dahulu.
17 Orang yang lekas marah bertindak dengan bodoh; orang bijak sentiasa bersikap tenang.n
18 Orang yang tidak berpengetahuan mengalami akibat kebodohan, tetapi orang yang pandai akan bertambah pengetahuan.
19 Orang jahat akan tunduk kepada orang yang lurus hati untuk memohon belas kasihan.
20 Orang miskin tidak disukai bahkan oleh jiran mereka sendiri, tetapi orang kaya mempunyai banyak kawan.
21 Orang yang mengasihani orang miskin akan berbahagia; orang yang menghina orang lain berbuat dosa.
22 Orang yang berbuat baik akan dipercayai dan dihormati, tetapi orang yang berbuat jahat melakukan kesalahan.
23 Setiap usaha menghasilkan keuntungan; bercakap kosong membuat orang jatuh miskin.
24 Orang bijak dipuji kerana kebijaksanaan mereka, tetapi orang bodoh terkenal kerana kebodohan mereka.
25 Saksi yang jujur menyelamatkan orang, tetapi saksi yang berdusta mengkhianati orang.
26 Hormat dan takut kepada TUHAN memberi seseorang serta keluarganya keyakinan dan keselamatan.
27 Jika hendak menjauhkan diri daripada maut, hormatlah dan takutlah kepada TUHAN kerana Dia sumber kehidupan.
28 Kebesaran raja bergantung kepada bilangan rakyatnya; tanpa rakyat, raja bukan apa-apa.
29 Orang yang bertenang itu bijak, tetapi orang yang cepat marah itu bodoh.
30 Hati yang tenang menyihatkan badan, tetapi iri hati bagaikan penyakit barah yang menjadikan tulang reput.
31 Sesiapa yang menindas orang miskin, menghina Pencipta mereka; sesiapa yang baik terhadap orang miskin, menghormati Allah.
32 Orang jahat binasa kerana kejahatan mereka sendiri; orang baik terlindung kerana ketulusan mereka.
33 Hikmat terdapat pada fikiran orang bijak; orang bodoh sama sekali tidak mengenal hikmat.
34 Keadilan meninggikan martabat bangsa, tetapi dosa mendatangkan hinaan kepada bangsa.
35 Raja berkenan kepada pegawai yang cekap tetapi menghukum orang yang gagal menjalankan tugas.
m 14:4 gudang menjadi kosong...penuh; atau sedikit gandum dapat ditanam, tetapi dengan lembu banyak lagi gandum dapat ditanam. + 14:12 Ams 16.25 n 14:17 Menurut sebuah terjemahan kuno: tenang; Naskhah Ibrani: dibenci.