Perayaan Paska yang Kedua
9
1 TUHAN berfirman kepada Musa di Gurun Sinai pada bulan pertama, dalam tahun kedua selepas umat Israel meninggalkan Mesir. TUHAN berfirman,
2-3 “Umat Israel harus merayakan Paska mulai saat matahari terbenam pada hari keempat belas bulan ini, dan menurut semua peraturan yang sudah ditetapkan bagi perayaan ini.”
4 Maka Musa menyuruh umat Israel merayakan Paska.
5 Mereka merayakannya pada hari keempat belas bulan satu, pada waktu senja di Gurun Sinai. Mereka melakukan segala sesuatu tepat seperti perintah TUHAN kepada Musa.
6 Tetapi ada beberapa orang di kalangan mereka yang najis kerana sudah menyentuh mayat. Oleh sebab itu mereka tidak dapat merayakan Paska pada hari itu. Mereka pergi bertemu dengan Musa dan Harun,
7 lalu berkata, “Kami najis kerana menyentuh mayat, tetapi mengapakah kami dilarang mempersembahkan korban untuk TUHAN bersama-sama orang Israel lain?”
8 Musa menjawab, “Tunggulah sehingga aku menerima petunjuk daripada TUHAN.”
9 TUHAN menyuruh Musa
10 memberitahu umat Israel, “Apabila ada seseorang di kalangan kamu atau keturunan kamu yang najis kerana menyentuh mayat, atau dalam perjalanan jauh, tetapi masih mahu merayakan Paska,
11 dia boleh merayakannya satu bulan kemudian, pada waktu senja hari keempat belas bulan kedua. Dia harus merayakannya dengan memakan domba Paska dan roti tanpa ragi serta sayuran pahit.
12 Dia tidak boleh meninggalkan sisa makanan itu sehingga keesokan pagi, dan dia tidak boleh mematahkan satu tulang pun daripada binatang itu. Dia harus merayakan Paska menurut semua peraturannya.
13 Seseorang yang tidak najis dan bukan dalam perjalanan jauh, tetapi tidak merayakan Paska, tidak lagi dianggap anggota umat-Ku kerana dia tidak mempersembahkan korban kepada-Ku pada waktu yang ditetapkan. Dia mesti menanggung akibat dosanya.
14 Jika ada seorang asing yang tinggal di kalangan kamu yang mahu merayakan Paska, dia harus merayakannya menurut semua peraturan. Hukum yang sama berlaku bagi setiap orang, baik orang Israel mahupun orang asing.”
Awan yang Bercahaya
(Kel 40.34-38)
15-16 Pada hari Khemah TUHAN dipasang, awan datang menutupi Khemah itu. Pada waktu malam awan itu kelihatan seperti api.
17 Tiap-tiap kali awan itu naik, umat Israel menggulung khemah lalu berangkat. Di mana sahaja awan itu turun, di tempat itulah mereka memasang khemah.
18 Dengan perintah TUHAN, umat itu menggulung khemah, dan dengan perintah-Nya juga mereka memasang khemah. Selama awan itu berada di atas Khemah TUHAN, mereka tetap tinggal di tempat itu.
19 Jika awan itu lama berada di atas Khemah TUHAN, mereka taat kepada TUHAN dan tidak berpindah.
20 Ada kalanya awan itu berada di atas Khemah TUHAN selama beberapa hari sahaja. Bagaimana pun, hanya perintah TUHAN yang menentukan sama ada mereka tinggal di satu tempat ataupun berpindah.
21 Ada kalanya awan itu berada di atas Khemah TUHAN hanya dari petang sampai pagi, dan mereka berangkat sebaik sahaja awan itu naik. Bila-bila sahaja awan itu naik, mereka berangkat.
22 Jika awan itu berada di atas Khemah TUHAN selama dua hari, satu bulan, satu tahun, atau lebih lama daripada itu, selama itulah mereka tinggal di tempat itu. Tetapi apabila awan itu naik, mereka berangkat.
23 Mereka tinggal di satu tempat dan berpindah ke tempat lain menurut perintah TUHAN yang disampaikan-Nya melalui Musa.