Tempat Setiap Suku dalam Perkhemahan
2
1 TUHAN memberikan petunjuk berikut kepada Musa dan Harun.
2 Pada masa orang Israel berkhemah, setiap orang harus berkhemah di bawah panji kumpulannya, dan di bawah lambang puaknya. Khemah-khemah harus dipasang di sekeliling Khemah TUHAN tetapi tidak terlalu dekat.
3-9 Di bahagian timur, orang di bawah panji kumpulan Yehuda harus berkhemah menurut kelompok mereka, dengan pemimpin masing-masing:
Suku | Pemimpin | Bilangan Orang |
Yehuda | Nahason anak Aminadab | 74,600 |
Isakhar | Netaneel anak Zuar | 54,400 |
Zebulon | Eliab anak Helon | 57,400 |
Jumlah: | | 186,400 |
Kumpulan Yehuda adalah kumpulan pertama yang berangkat.
10-16 Di bahagian selatan, orang di bawah panji kumpulan Ruben harus berkhemah menurut kelompok mereka, dengan pemimpin masing-masing:
Suku | Pemimpin | Bilangan Orang |
Ruben | Elizur anak Syedeur | 46,500 |
Simeon | Selumiel anak Zurisyadai | 59,300 |
Gad | Elyasaf anak Rehuel | 45,650 |
Jumlah: | | 151,450 |
Kumpulan Ruben adalah kumpulan kedua yang berangkat.
17 Sesudah itu, orang Lewi yang memikul Khemah TUHAN harus berjalan di antara dua kumpulan yang pertama dan dua kumpulan yang terakhir. Tiap-tiap kumpulan harus berjalan menurut susunan semasa berkhemah; masing-masing pada tempatnya dan di bawah panjinya.
18-24 Di bahagian barat, orang di bawah panji kumpulan Efraim harus berkhemah menurut kelompok mereka, dengan pemimpin masing-masing:
Suku | Pemimpin | Bilangan Orang |
Efraim | Elisama anak Amihud | 40,500 |
Manasye | Gamaliel anak Pedazur | 32,200 |
Benyamin | Abidan anak Gideoni | 35,400 |
Jumlah: | | 108,100 |
Kumpulan Efraim adalah kumpulan ketiga yang harus berangkat.
25-31 Di bahagian utara, orang di bawah panji kumpulan Dan harus berkhemah menurut kelompok mereka, dengan pemimpin masing-masing:
Suku | Pemimpin | Bilangan Orang |
Dan | Ahiezer anak Amisyadai | 62,700 |
Asyer | Pagiel anak Okhran | 41,500 |
Naftali | Ahira anak Enan | 53,400 |
Jumlah: | | 157,600 |
Kumpulan Dan adalah kumpulan terakhir yang berangkat.
32 Jumlah orang Israel yang didaftarkan di dalam kumpulan-kumpulan itu, kelompok demi kelompok, adalah 603,550 orang.
33 Sebagaimana yang diperintahkan TUHAN kepada Musa, suku Lewi tidak didaftarkan bersama dengan orang Israel lain.
34 Maka orang Israel melakukan semua yang diperintahkan TUHAN kepada Musa. Mereka berkhemah di bawah panji masing-masing, dan mereka berangkat bersama dengan puak masing-masing.