Kejatuhan Kota Niniwe
2
Hai Niniwe, engkau sedang diserang!
Yang berkuasa menghancurkan kamu sudah datang!
Kawallah kubu-kubu pertahanan!
Awasilah jalan-jalan!
Bersiaplah untuk berperang.
( TUHAN akan segera memulihkan kemegahan Israel, sehingga seperti dahulu, sebelum musuh menjarahnya.)
Tentera musuh membawa perisai merah,
dan memakai pakaian seragam berwarna merah.
Musuh sudah bersedia untuk menyergap!
Bagaikan api, kereta kuda mereka berkilap!
Kudae mereka melompat-lompat!
Di jalan-jalan, kereta kuda meluru tidak tentu arah,
meluru ke sana sini di padang kota.
Kereta kuda bersinar seperti obor,
meluru secepat halilintar.
Pegawai tentera dikerah;
mereka tersandung ketika mara.
Penyerang bergerak cepat menuju tembok,
menyiapkan alat pemecah tembok.
Pintu-pintu air di tepi sungai terbuka;
maka gemparlah semua orang di istana.
Penyerang menangkap permaisuri,
dayang-dayangnya mengerang bagai burung merpati,
menebah dada kerana sedih hati.
Penduduk Niniwe berlari keluar dari kota
seperti air keluar dari empangan yang pecah.
Terdengar teriakan, “Berhenti, berhenti!”
tetapi tiada seorang pun yang mahu kembali.
Rampaslah perak!
Rampaslah emas!
Kota penuh dengan harta benda!
10 Niniwe sudah musnah, terbiar, dan lengang.
Kerana takut, semangat orang hilang;
lutut gementar, kehabisan tenaga;
semua orang pucat muka.
11 Di manakah kota itu sekarang?
Kota yang seperti gua tempat singa bersarang;
tempat anak-anak singa diberikan makanan,
tempat tujuan singa jantan dan singa betina,
tempat yang aman bagi anak-anak singa.
12 Singa menerkam mangsanya,
lalu mencabik dagingnya
untuk makanan singa betina dan anaknya.
Singa memenuhi guanya
dengan cabikan daging mangsanya.
13 TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Aku musuhmu. Aku akan membakar kereta kudamu sampai musnah. Askar-askarmu akan dibunuh dalam pertempuran, dan Aku akan mengambil segala sesuatu yang sudah kamu rampas daripada orang lain. Tuntutan para utusanmu tidak akan terdengar lagi.”
e 2:3 Kemungkinan besar ertinya: kuda. Naskhah Ibrani: pokok sipres.