NEHEMIA
Kata Pengantar
Kitab Nehemia dapat dibahagi menjadi tiga bahagian: (1) Kisah pembaikan tembok Yerusalem di bawah pimpinan Nehemia, yang dilantik menjadi gabenor Yehuda oleh raja Persia. Nehemia juga melaksanakan berbagai-bagai perubahan dalam bidang sosial dan agama. (2) Pembacaan Taurat Allah oleh Ezra, dan pengakuan dosa oleh umat Israel. (3) Kegiatan-kegiatan lain yang dilakukan oleh Nehemia sebagai gabenor Yehuda.
Bahagian yang menarik di dalam kitab ini adalah kisah yang menunjukkan bahawa Nehemia sangat bergantung kepada Allah, dan bahawa dia sering sekali berdoa kepada-Nya.
Kandungan
Nehemia balik ke Yerusalem 1.1—2.20
Tembok Yerusalem Diperbaiki 3.1—7.73
Taurat Dibacakan dan Perjanjian Dibaharui 8.1—10.39
Kegiatan-Kegiatan Lain yang Dilakukan Nehemia 11.1—13.31
1
1 Inilah laporan Nehemia anak Hakhalya tentang kegiatannya.
Nehemia Mengambil Berat tentang Yerusalem
Pada bulan Kislew, tahun kedua puluh pemerintahan Artahsasta sebagai raja Persia, aku, Nehemia, berada di Susan, ibu kota empayar.
2 Pada masa itu, saudaraku Hanani, tiba dari Yehuda bersama dengan beberapa orang lain. Aku bertanya kepada mereka tentang keadaan di Yerusalem dan tentang sesama orang Yahudi yang sudah balik dari pembuangan di Babilonia.
3 Mereka menceritakan bahawa orang bekas buangan yang sudah balik ke tanah air, kini hidup sengsara dan dihina oleh bangsa-bangsa asing yang tinggal di sekitar mereka. Lagipun tembok Yerusalem masih reruntuhan, dan pintu-pintu gerbangnya belum diperbaiki sejak dibakar pada masa lampau.
4 Apabila aku mendengar semua itu, aku duduk dan menangis.
Selama beberapa hari aku meratap dan tidak makan apa-apa. Aku berdoa kepada Allah,
5 “Ya TUHAN Allah penguasa di syurga! Engkau Allah yang agung, dan kami menghadap Engkau dengan penuh rasa takut. Engkau tetap setia memegang perjanjian-Mu dengan mereka yang mengasihi Engkau dan melakukan perintah-Mu.
6 Pandanglah aku, ya TUHAN, dan dengarlah doaku, sedang aku berdoa siang dan malam untuk hamba-hamba-Mu, umat Israel. Aku mengaku bahawa kami, umat Israel, sudah berdosa. Nenek moyangku dan aku sudah berdosa.
7 Kami sudah menderhaka terhadap-Mu, dan tidak melakukan perintah-Mu. Kami tidak mematuhi hukum yang Engkau berikan melalui Musa, hamba-Mu.
8 Ya TUHAN, ingatlah akan firman-Mu kepada Musa dahulu, ‘Jika kamu, umat Israel, tidak setia kepada-Ku, Aku akan mencerai-beraikan kamu ke bangsa-bangsa lain.
9 Tetapi jika kamu kembali kepada-Ku dan melakukan perintah-Ku, Aku akan membawa kamu balik ke tempat yang sudah Kupilih sebagai tempat Aku disembah, walaupun kamu sudah tercerai-cerai di seluruh muka bumi.’
10 Ya Tuhan, mereka ini hamba-Mu, umat-Mu sendiri. Engkau sudah menyelamatkan mereka dengan kuasa dan kekuatan-Mu yang besar.
11 Oleh itu, dengarkanlah doaku dan doa hamba-hamba-Mu yang lain, yang hendak menghormati Engkau. Berikanlah pertolongan-Mu supaya pada hari ini hamba-Mu berjaya mendapat belas kasihan daripada raja.”
Pada masa itu, aku pengurus minuman raja.