7
1 Elisa berkata, “Dengarlah firman TUHAN! Pada waktu ini esok, di Samaria orang dapat membeli 3 kilogram gandum yang terbaik atau 6 kilogram barli dengan harga satu keping wang perak.”
2 Tetapi ajutan raja berkata kepada Elisa, “Mustahil! Walaupun TUHAN sendiri menurunkan hujan pada saat ini juga, hal itu mustahil!”
“Kamu akan menyaksikannya,” jawab Elisa, “tetapi kamu tidak akan makan makanan itu.”
Tentera Siria Melarikan Diri
3 Empat orang yang menghidap penyakit kulit yang mengerikan sedang berada di luar pintu kota Samaria. Mereka berkata kepada satu sama lain, “Apa gunanya kita menunggu ajal di sini?
4 Tidak ada faedahnya kita masuk ke dalam kota, kerana kita akan mati kelaparan di sana. Jika kita tinggal di sini, kita juga akan mati. Marilah kita pergi ke perkhemahan orang Siria; paling-paling mereka akan membunuh kita, tetapi siapa tahu mungkin mereka tidak akan mengapa-apakan kita.”
5 Oleh itu apabila hari mulai senja, mereka pergi ke perkhemahan orang Siria. Tetapi apabila mereka sampai di tempat itu, tiada seorang pun di sana.
6 Tuhan telah menyebabkan tentera Siria mendengar bunyi seolah-olah satu pasukan tentera besar yang datang menyerang mereka dengan kuda dan kereta kuda. Tentera Siria menyangka bahawa raja Israel telah mengupah raja orang Het dan raja orang Mesir dengan seluruh tentera mereka untuk menyerang tentera Siria.
7 Oleh yang demikian, pada petang itu tentera Siria lari menyelamatkan diri serta meninggalkan khemah, kuda, dan keldai mereka dengan begitu sahaja di perkhemahan.
8 Apabila empat orang itu sampai di pinggir perkhemahan, mereka masuk ke dalam salah satu khemah. Mereka makan dan minum apa yang ada di situ. Mereka mengambil perak, emas, dan pakaian yang dijumpai. Mereka menyembunyikan barang-barang itu, lalu masuk ke khemah yang lain pula; mereka melakukan hal yang sama.
9 Kemudian mereka berkata kepada satu sama lain, “Kita tidak seharusnya berbuat begini! Kita mempunyai berita baik, dan kita tidak boleh merahsiakannya. Jika kita menunggu sehingga esok pagi, tentu kita akan dihukum. Marilah kita pergi dengan segera dan melaporkannya kepada para pegawai raja!”
10 Oleh itu mereka meninggalkan perkhemahan orang Siria dan kembali ke Samaria. Mereka berseru kepada pengawal-pengawal di pintu kota, “Kami telah pergi ke perkhemahan orang Siria, tetapi kami tidak nampak atau dengar sesiapa pun. Kuda dan keldai mereka masih terikat pada tempatnya, dan perkhemahan itu ditinggalkan begitu sahaja.”
11 Para pengawal mengumumkan berita itu, sehingga orang menyampaikannya ke istana.
12 Hari masih malam, namun raja bangun dan bertitah kepada para pegawainya, “Biarlah beta terangkan kepada kamu apa maksud orang Siria itu! Mereka tahu kita sedang kelaparan. Oleh itu mereka meninggalkan perkhemahan dan bersembunyi di padang. Mereka berharap kita akan keluar mencari makanan, lalu mereka akan menangkap kita hidup-hidup dan merampas kota kita.”
13 Salah seorang pegawai raja berkata, “Walau bagaimanapun penduduk kota ini akan mati seperti mereka yang sudah mati. Lebih baik kita mengirim beberapa orang dengan lima ekor kuda yang masih ada, supaya kita tahu apa yang telah berlaku.”
14 Mereka memilih beberapa orang, lalu raja menyuruh mereka mengendarai dua kereta kuda. Mereka disuruh menyiasat apa yang telah berlaku kepada tentera Siria itu.
15 Mereka pergi sampai ke Sungai Yordan, dan di sepanjang jalan mereka nampak pakaian dan alat-alat yang ditinggalkan orang Siria ketika mereka melarikan diri. Kemudian para utusan itu kembali dan melaporkan hal itu kepada raja.
16 Selepas itu penduduk Samaria keluar dan menjarah perkhemahan orang Siria. Sebagaimana firman TUHAN, 3 kilogram gandum yang terbaik atau 6 kilogram barli dijual orang dengan harga satu keping wang perak sahaja.
17 Kebetulan pada waktu itu, ajutan raja ditugaskan menjaga pintu gerbang kota. Dia mati di situ kerana dipijak-pijak orang ramai. Demikianlah yang dinubuatkan Elisa ketika raja menemui dia.
18 Elisa telah memberitahu raja bahawa pada waktu itu esok harinya, 3 kilogram gandum yang terbaik atau 6 kilogram barli akan dijual di Samaria dengan harga satu keping wang perak.
19 Pada masa itu ajutan raja berkata, “Mustahil! Walaupun TUHAN sendiri menurunkan hujan pada saat ini juga, hal itu mustahil!” Elisa menjawab, “Kamu akan menyaksikannya, tetapi kamu tidak akan makan makanan itu.”
20 Itulah yang telah berlaku kepadanya - dia mati dipijak-pijak oleh penduduk kota di pintu gerbang.