Keturunan Raja Ahab Dibunuh
10
1 Tujuh puluh orang keturunan Raja Ahab tinggal di kota Samaria. Kemudian Raja Yehu menulis sepucuk surat dan mengirim salinannya kepada para penguasa kota itu, para pemimpin rakyat, dan wali-wali kepada keturunan Raja Ahab. Demikian kandungan surat itu:
2 “Kamu wali kepada keturunan raja, dan kamu mempunyai semua kereta kuda, kuda, senjata, serta kota-kota yang berkubu. Oleh itu, sebaik sahaja kamu menerima surat ini,
3 pilihlah yang paling layak di kalangan keturunan raja, dan lantiklah dia menjadi raja, lalu berjuanglah membela dia.”
4 Para penguasa Samaria ketakutan. Mereka berkata, “Bagaimanakah kita dapat menentang Raja Yehu, sedangkan Raja Yoram dan Raja Ahazia pun tidak dapat menentangnya?”
5 Oleh itu ketua pegawai istana dan ketua pegawai kota, bersama-sama para pemimpin rakyat dan para wali, mengirim jawapan ini kepada Raja Yehu. Kata mereka, “Kami hamba-hamba tuanku. Kami bersedia menjunjung titah tuanku. Kami tidak mahu melantik sesiapa pun menjadi raja. Lakukanlah apa sahaja yang baik pada pandangan tuanku.”
6 Raja Yehu menulis sepucuk surat lagi kepada mereka. Kandungannya demikian, “Jika kamu memihak beta, dan bersedia menjunjung titah beta, bawalah kepala semua keturunan Raja Ahab kepada beta di Yizreel pada waktu ini esok.”
Pada masa itu, tujuh puluh orang keturunan Raja Ahab diasuh dan dibesarkan oleh para pemimpin rakyat kota Samaria.
7 Apabila mereka menerima surat Raja Yehu, mereka membunuh semua keturunan Raja Ahab, yang sebanyak tujuh puluh orang. Mereka memasukkan kepala-kepala itu ke dalam beberapa buah bakul, lalu mengirimkan semuanya kepada Raja Yehu di Yizreel.
8 Apabila Raja Yehu diberitahu bahawa kepala-kepala itu sudah sampai, baginda memberikan perintah untuk menyusun kepala-kepala itu menjadi dua tumpukan di pintu gerbang, lalu dibiarkan di situ sehingga keesokan harinya.
9 Keesokan paginya, Raja Yehu pergi ke pintu gerbang dan bertitah kepada semua orang di situ, “Memang beta bertanggungjawab dalam pemberontakan terhadap Raja Yoram, dan betalah yang membunuh baginda. Kamu tidak bertanggungjawab terhadap hal itu. Tetapi siapakah yang membunuh semua orang ini?
10 Nyatalah bahawa semua yang difirmankan TUHAN tentang keturunan Raja Ahab akan berlaku. Sekarang TUHAN telah melaksanakan apa yang difirmankan-Nya melalui hamba-Nya Elia.”
11 Selepas itu Raja Yehu membunuh pula semua sanak keluarga Raja Ahab yang tinggal di Yizreel serta semua pegawai, sahabat karib, dan imamnya; tidak seorang pun dibiarkan hidup.
Kerabat Raja Ahazia Dibunuh
12 Raja Yehu meninggalkan Yizreel lalu pergi ke Samaria. Di tengah jalan, di suatu tempat yang bernama “Perkhemahan Gembala”,
13 baginda berjumpa dengan beberapa orang kerabat Raja Ahazia, raja Yehuda. Baginda bertanya kepada mereka, “Siapakah kamu?”
Mereka menjawab, “Kami kerabat Raja Ahazia. Kami sedang dalam perjalanan ke Yizreel untuk mengunjungi anak-anak Permaisuri Izebel, dan kerabat diraja yang lain.”
14 Raja Yehu memerintah anak buahnya, “Tangkaplah mereka!” Maka anak buahnya menangkap mereka, lalu Raja Yehu membunuh mereka dekat sebuah perigi. Semuanya ada kira-kira 42 orang, dan tidak seorang pun dibiarkan hidup.
Semua Kerabat Raja Ahab Dibunuh
15 Raja Yehu meneruskan lagi perjalanannya. Di tengah jalan, baginda ditemui Yonadab anak Rekhab. Sambil memberikan salam kepadanya, baginda bertitah, “Bukankah kita sehati? Mahukah engkau menyokong beta?”
“Hamba mahu,” jawab Yonadab. Raja Yehu bertitah, “Jika demikian, mari berjabat tangan.” Mereka berjabat tangan, dan Raja Yehu menolong Yonadab naik ke atas kereta kudanya.
16 Raja Yehu bertitah, “Ikutlah beta dan lihatlah sendiri betapa giatnya beta mengabdi kepada TUHAN.” Maka mereka bersama-sama pergi ke Samaria.
17 Apabila mereka sampai di sana, Raja Yehu membunuh semua kerabat Raja Ahab; tidak seorang pun dibiarkan hidup. Hal itu berlaku sesuai dengan firman TUHAN kepada Elia.
Pemuja Baal Dibunuh
18 Raja Yehu mengumpulkan segenap penduduk Samaria lalu bertitah, “Raja Ahab kurang giat mengabdi kepada Baal, tetapi beta akan mengabdi kepadanya dengan lebih giat.
19 Kumpulkanlah semua nabi Baal, semua orang yang menyembahnya dan semua imamnya. Tiada seorang pun dikecualikan. Beta akan mempersembahkan korban yang besar kepada Baal, dan sesiapa yang tidak hadir akan dihukum mati.” (Inilah muslihat Raja Yehu untuk membunuh semua orang yang menyembah Baal.)
20 Setelah itu Raja Yehu bertitah, “Isytiharkanlah satu hari perayaan untuk menyembah Baal!” Perisytiharan itu dilaksanakan,
21 dan Raja Yehu sendiri mengumumkan berita itu ke seluruh negeri Israel. Semua orang yang menyembah Baal datang pada hari itu; tiada seorang pun yang tidak datang. Mereka semua masuk ke kuil Baal dan memenuhi tempat itu dari hadapan sampai ke belakang.
22 Lalu Raja Yehu memerintah para imam yang mengurus jubah sembahyang supaya mengeluarkan jubah-jubah itu dan memberikannya kepada orang yang datang menyembah Baal.
23 Selepas itu Raja Yehu sendiri masuk ke dalam kuil bersama-sama Yonadab anak Rekhab. Baginda bertitah kepada semua orang di situ, “Pastikanlah bahawa hanya orang yang menyembah Baal hadir di sini, dan tidak ada orang yang beribadat kepada TUHAN, yang masuk ke tempat ini.”
24 Kemudian Raja Yehu dan Yonadab masuk dan mempersembahkan korban-korban dan korban yang dibakar kepada Baal. Di luar kuil, Raja Yehu telah menugaskan lapan puluh orang, dan telah memberikan perintah kepada mereka, “Bunuhlah semua orang ini! Sesiapa yang membiarkan mereka lari akan dihukum mati!”
25 Sebaik sahaja Raja Yehu selesai mempersembahkan korban, baginda bertitah kepada para pengawal dan askarnya, “Masuklah dan bunuhlah mereka semua. Jangan biarkan seorang pun lari!” Para pengawal dan pegawai itu masuk dengan pedang terhunus. Mereka membunuh semua orang dan mengheret mayat-mayat itu keluar. Selepas itu mereka masuk ke bahagian dalam kuil
26 dan membawa keluar tiang berhala yang ada di situ, lalu membakarnya.
27 Kemudian mereka merobohkan tiang berhala dan kuil, lalu mereka menjadikan kuil itu tandas sehingga hari ini.
28 Itulah caranya Raja Yehu menghapuskan penyembahan Baal di Israel.
29 Tetapi baginda juga mengikut dosa Raja Yerobeam yang menyebabkan Israel berdosa kerana menyembah lembu emas yang didirikannya di Betel dan di Dan.
30 TUHAN berfirman kepada Raja Yehu, “Engkau telah melaksanakan semua perintah-Ku kepadamu tentang keturunan Ahab. Oleh itu Aku berjanji bahawa keturunanmu, sampai kepada generasi keempat, akan menjadi raja di Israel.”
31 Tetapi Raja Yehu tidak taat kepada Hukum TUHAN, Allah Israel, dengan segenap hatinya. Sebaliknya, baginda mengikut perbuatan Raja Yerobeam, yang telah menyebabkan umat Israel berdosa.
Raja Yehu Mangkat
32 Pada masa itu TUHAN mula mengecilkan wilayah Israel. Raja Hazael, dari negeri Siria menakluki seluruh kawasan Israel
33 di sebelah timur Sungai Yordan sampai ke kota Aroer di sebelah selatan, di tepi Sungai Arnon. Wilayah itu meliputi kawasan Gilead dan Basan, tempat tinggal orang suku Gad, Ruben, dan Manasye Timur.
34 Segala perbuatan Raja Yehu, termasuk kepahlawanannya, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.
35 Raja Yehu mangkat dan dimakamkan di Samaria. Puteranya, Yehoahas menggantikan baginda sebagai raja.
36 Raja Yehu memerintah di Samaria sebagai raja Israel selama dua puluh lapan tahun.