Yeremia Berkhutbah di Rumah TUHAN
7
1-3 TUHAN menyuruh aku pergi ke Rumah TUHAN dan berdiri di pintu gerbang yang dilalui penduduk Yehuda ketika mereka datang untuk beribadat. Dia menyuruh aku mengumumkan firman TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, kepada mereka, “Ubahlah kelakuan dan cara hidup kamu, maka Aku akan membenarkan kamu tetap tinggal di sini. Jangan percaya kepada kata-kata dusta ini, ‘Kita aman, kerana ini Rumah TUHAN. Sungguh ini Rumah TUHAN! Memang ini Rumah TUHAN!’
Ubahlah cara hidup dan kelakuan kamu. Berlakulah adil terhadap satu sama lain. Jangan tindas bangsa asing, anak yatim piatu dan balu. Jangan bunuh orang yang tidak bersalah di negeri ini. Jangan sembah tuhan-tuhan lain, kerana perbuatan itu akan membinasakan kamu. Jika kamu mengubah cara hidup dan kelakuan kamu serta berhenti melakukan semua itu, Aku akan membenarkan kamu tetap tinggal di negeri ini yang telah Kuberikan kepada nenek moyang kamu sebagai tanah pusaka.
Kamu percaya kepada kata-kata dusta. Kamu mencuri, membunuh, berzina, memberi kesaksian dusta, mempersembahkan korban kepada Baal, dan menyembah dewa-dewa yang tidak pernah kamu kenal. 10 Selepas kamu lakukan semua itu, kamu datang menghadap Aku di Rumah-Ku sendiri, lalu berkata, ‘Kami aman!’ Kemudian kamu meneruskan perbuatan kamu yang keji itu. 11 Adakah kamu menyangka bahawa Rumah-Ku ini tempat persembunyian perompak? Aku telah nampak semua perbuatan kamu itu. + 12 Pergilah ke Silo,e kota yang mula-mula Kupilih sebagai tempat orang beribadat kepada-Ku. Lihatlah apa yang telah Kulakukan terhadap tempat itu kerana dosa umat-Ku Israel. 13 Kamu melakukan semua dosa itu; sekalipun Aku berfirman kepada kamu berkali-kali, kamu tidak mahu mendengar. Kamu tidak mahu menyahut ketika Aku memanggil kamu. 14 Oleh itu, apa yang Kulakukan terhadap Silo akan Kulakukan terhadap Rumah-Ku ini, tempat yang kamu harapkan. Tempat yang Kuberikan kepada nenek moyang kamu dan kepada kamu ini akan Kuperlakukan seperti Silo. + 15 Aku akan mengusir kamu dari hadirat-Ku seperti Aku mengusir sanak keluarga kamu, orang Israel. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
Umat yang Keras Kepala
16 TUHAN berfirman, “Hai Yeremia, jangan doakan umat ini. Jangan berseru minta tolong atau berdoa untuk mereka; jangan merayu kepada-Ku, kerana Aku tidak mahu mendengarkan engkau. 17 Engkau sendiri nampak perbuatan mereka di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan di Yerusalem! 18 Anak-anak mengumpulkan kayu api, orang lelaki menyalakan api, dan orang perempuan mencampur adunan untuk membuat kuih bagi dewi yang dinamakan mereka sebagai Ratu Syurga. Mereka juga mempersembahkan wain kepada tuhan-tuhan lain untuk menyakiti hati-Ku. + 19 Tetapi sesungguhnya, bukan Aku yang disakiti mereka, melainkan diri mereka sendiri sehingga mereka dipermalukan. 20 Oleh itu Aku, TUHAN Raja akan menimpakan kemurkaan-Ku yang menyala-nyala, terhadap Rumah TUHAN, terhadap manusia dan binatang, dan juga terhadap pokok serta hasil bumi. Kemurkaan-Ku akan menyala seperti api yang tidak dapat dipadamkan.
21 Hai umat-Ku, kamu tahu bahawa ada beberapa korban yang kamu bakar di atas mazbah harus dibakar sampai habis, dan ada juga korban lain yang boleh kamu makan. Tetapi Aku, TUHAN berfirman, lebih baik kamu makan semuanya! 22 Ketika Aku membawa nenek moyang kamu keluar dari Mesir, Aku tidak memberi mereka peraturan tentang korban untuk menyenangkan hati-Kuf atau tentang korban-korban lain untuk Aku. 23 Aku hanya memerintahkan mereka untuk mentaati Aku supaya Aku menjadi Allah mereka, dan mereka menjadi umat-Ku. Aku menyuruh mereka hidup menurut perintah-Ku supaya mereka bahagia. 24 Tetapi mereka tidak mahu mendengarkannya dan tidak mahu memperhatikannya. Malah mereka menuruti kehendak hati mereka yang keras dan jahat. Oleh itu mereka menjadi semakin jahat dan tidak menjadi lebih baik. 25 Sejak nenek moyang kamu keluar dari Mesir sampai hari ini, Aku sentiasa mengutus hamba-hamba-Ku, para nabi, kepada kamu. 26 Tetapi tiada sesiapa pun yang mendengarkan atau memperhatikan mereka. Malah kamu menjadi lebih degil dan lebih suka memberontak daripada nenek moyang kamu.
27 Oleh sebab itu, hai Yeremia, sekalipun engkau menyampaikan semua firman ini kepada umat-Ku, mereka tidak akan mendengarkan engkau. Walaupun engkau memanggil mereka, mereka tidak akan menyahut. 28 Engkau akan memberitahu mereka bahawa mereka ialah suatu bangsa yang tidak mahu mentaati Aku, TUHAN Allah mereka, dan mereka tidak mahu belajar daripada hukuman yang telah dijatuhkan kepada mereka. Kesetiaan mereka kepada-Ku sudah lenyap, malah tidak diceritakan lagi.”
Perbuatan Jahat di Lembah Hinom
29 TUHAN berfirman,
“Hai penduduk Yerusalem, merataplah;
potonglah dan buanglah rambut kamu.
Nyanyikanlah lagu perkabungan di atas puncak perbukitan,
kerana Aku, TUHAN sedang murka
dan telah menolak kamu semua.
30 Penduduk Yehuda telah melakukan kejahatan. Mereka telah meletakkan berhala-berhala mereka yang Kubenci itu di dalam Rumah TUHAN, sehingga menajiskannya. 31 Mereka telah mendirikan sebuah mazbah yang bernama Tofet di Lembah Hinom. Di atas mazbah itu mereka membakar anak-anak mereka, lelaki dan perempuan, sebagai korban. Padahal Aku tidak pernah menyuruh mereka melakukan perkara itu, bahkan tidak pernah hal seperti itu timbul di dalam fikiran-Ku. + 32 Oleh itu, akan tiba masanya tempat itu tidak lagi disebut Tofet atau Lembah Hinom, melainkan Lembah Pembantaian. Mereka akan menguburkan mayat di situ kerana tiada lagi tempat lain. 33 Mayat akan menjadi makanan burung dan binatang buas dan tiada lagi orang yang menghalaunya. 34 Negeri ini akan menjadi tandus. Suara kegembiraan dan kesukaan, serta keriangan pesta perkahwinan di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem akan Kuhentikan. +
+ 7:11 Mat 21.13; Mrk 11.17; Luk 19.46 e 7:12 Silo: Kota tempat Tabut Perjanjian TUHAN disimpan pada zaman Eli (lihat 1 Sam 1.3). Kemungkinan besar kota itu dimusnahkan oleh orang Filistin. + 7:14 Yos 18.1; Mzm 78.60; Yer 26.6 + 7:18 Yer 44.7-19 f 7:22 korban untuk menyenangkan hati-Ku; Harfiah: korban bakar (lihat Kamus). + 7:31 Im 18.21; 2 Raj 23.10; Yer 32.35 + 7:34 Yer 16.9, 25.10; Why 18.23