Dosa Yerusalem
5
Hai penduduk Yerusalem,
susurilah jalan-jalan di kota kamu!
Lihatlah di sekeliling kamu!
Lihatlah sendiri!
Carilah di pasar-pasar!
Adakah kamu menjumpai satu orang
yang berlaku jujur
dan yang berusaha supaya setia kepada Allah?
Jika ada, TUHAN akan mengampuni Yerusalem.
Walaupun kamu berkata bahawa kamu menyembah TUHAN,
kamu tidak bermaksud demikian.
Sesungguhnya TUHAN menuntut kesetiaan.
Dia memukul kamu, tetapi kamu tidak mengambil perhatian.
Dia meremukkan kamu, tetapi kamu tidak mahu menerima pengajaran.
Kamu degil dan tidak mahu bertaubat daripada dosa.
Kemudian aku berfikir,
“Mereka hanya rakyat jelata yang tidak tahu apa-apa.
Mereka bertindak bodoh;
mereka tidak tahu akan tuntutan Allah mereka,
dan kehendak TUHAN bagi mereka.
Aku akan pergi kepada para pembesar
dan bercakap dengan mereka.
Tentu mereka mengetahui tuntutan Allah mereka,
dan suruhan TUHAN mereka.”
Tetapi mereka semua menolak kekuasaan TUHAN
dan tidak mahu mentaati Dia.
Itulah sebabnya mereka akan dibunuh oleh singa dari hutan;
mereka akan dicabik-cabik oleh serigala dari gurun,
dan harimau bintang akan berkeliaran di kota-kota mereka.
Jika orang keluar, mereka akan dicabik-cabik,
kerana dosa mereka terlalu banyak;
mereka telah berkali-kali meninggalkan Allah.
TUHAN berfirman, “Mengapakah Aku harus mengampunkan dosa umat-Ku?
Mereka telah meninggalkan Aku
dan menyembah tuhan-tuhan yang palsu.
Aku memberi umat-Ku makanan sampai mereka kenyang,
tetapi mereka berzina
dan pergi ke rumah pelacur.
Mereka seperti kuda jantan yang gemuk dan kuat nafsu berahi;
masing-masing mengingini isteri orang lain.
Tidak patutkah Aku menghukum bangsa seperti itu
dan membalas perbuatan mereka itu?
10 Aku akan menghantar musuh untuk merosakkan ladang anggur umat-Ku,
tetapi bukan untuk memusnahkannya sama sekali.
Aku akan menyuruh musuh memangkas ranting pokok anggur,
kerana ranting-ranting itu bukan milik-Ku.
11 Penduduk Israel dan Yehuda telah betul-betul mengkhianati Aku.
Aku, TUHAN telah berfirman.”
TUHAN Menolak Israel
12 Umat TUHAN mengatakan perkara yang tidak benar tentang TUHAN. Mereka berkata, “Dia tidak akan berbuat apa-apa.d Kita tidak akan ditimpa bencana; kita tidak akan mengalami peperangan atau kebuluran.” 13-14 Mereka berkata bahawa nabi-nabi itu bercakap angin sahaja kerana mereka tidak mempunyai perkhabaran daripada TUHAN. TUHAN Allah Yang Maha Kuasa berfirman kepadaku, “Hai Yeremia, oleh sebab semua orang ini berkata begitu, Aku akan menjadikan firman-Ku seperti api di dalam mulutmu. Bangsa ini akan menjadi seperti kayu, dan api itu akan membakar mereka.”
15 Hai umat Israel, TUHAN sedang mendatangkan suatu bangsa dari negeri jauh untuk menyerang kamu. Bangsa itu sangat kuat dan sudah ada sejak dahulu kala. Kamu tidak memahami bahasa mereka. 16 Para pemanah mereka askar yang gagah berani; mereka membunuh tanpa belas kasihan. 17 Mereka akan menghabiskan hasil tanah dan makanan kamu; mereka akan membunuh anak-anak kamu, baik lelaki mahupun perempuan. Mereka akan menyembelih ternakan lembu dan domba kamu; mereka akan memusnahkan pokok anggur dan pokok ara kamu. Kota-kota berkubu yang kamu harapkan akan dihancurkan oleh tentera mereka.
18 TUHAN berfirman, “Tetapi pada masa itu pun Aku tidak akan memusnahkan umat-Ku sama sekali. 19 Apabila mereka bertanya sebabnya Aku melakukan semua itu, katakanlah hai Yeremia, bahawa sebagaimana mereka meninggalkan Aku di negeri mereka sendiri lalu mengabdikan diri kepada dewa-dewa bangsa lain, begitu juga mereka akan mengabdikan diri kepada bangsa asing di tanah yang bukan negeri mereka.”
Allah Memberikan Amaran kepada Umat-Nya
20 TUHAN berfirman, “Beritahulah keturunan Yakub yang tinggal di Yehuda: 21 Dengarlah, hai kamu orang bodoh dan tolol! Kamu mempunyai mata tetapi tidak melihat; mempunyai telinga tetapi tidak mendengar! + 22 Akulah TUHAN; mengapa kamu tidak takut akan Aku? Mengapa kamu tidak gementar di hadirat-Ku? Aku menjadikan pantai sebagai perbatasan laut yang tidak dapat dilampaui selama-lamanya. Laut dapat bergelora dan gelombang dapat mengamuk, tetapi tidak dapat melintasi perbatasan itu. + 23 Tetapi kamu degil dan suka melawan; kamu telah menyeleweng dan meninggalkan Aku. 24 Kamu tidak pernah ingat untuk menghormati Aku, padahal Akulah yang mengirim hujan pada musim luruh dan pada musim bunga. Aku juga yang memberi kamu musim menuai setiap tahun. 25 Tetapi dosa kamu telah menghalang semua perkara baik itu sehingga kamu tidak dapat menikmatinya.
26 Orang jahat tinggal di kalangan umat-Ku. Mereka seperti orang yang menunggui jerat yang dipasang untuk menangkap burung, kerana mereka memasang perangkap untuk menangkap manusia. 27 Mereka seperti pemburu burung yang mengisi sangkar dengan burung, kerana mereka mengisi rumah dengan barang-barang yang diperoleh dengan penipuan. Demikianlah mereka menjadi berkuasa dan kaya, 28 serta gemuk dan makmur. Kejahatan mereka tiada batasnya. Mereka tidak membela hak anak yatim piatu, dan tidak berlaku adil terhadap orang yang tertindas.
29 Tetapi Aku, TUHAN akan menghukum mereka kerana semua perkara itu; Aku akan membalas perbuatan bangsa ini. 30 Suatu perkara yang dahsyat dan ngeri telah berlaku di negeri ini: 31 semua yang dikatakan oleh nabi-nabi dusta belaka; imam-imam memerintah mengikut arahan para nabi itu, dan umat-Ku suka akan perkara itu. Tetapi apakah yang dilakukan mereka pada akhirnya?”
d 5:12 Dia tidak...apa-apa; atau Kami tidak mahu mempedulikan Dia. + 5:21 Yes 6.9-10; Yeh 12.2; Mrk 8.18 + 5:22 Ayb 38.8-11