Mesir Dikalahkan di Karkemis
46
1 TUHAN berfirman kepadaku tentang bangsa-bangsa,
2 bermula dengan Mesir. Demikianlah firman-Nya tentang tentera Raja Nekho dari Mesir, yang telah dikalahkan oleh Raja Nebukadnezar dari Babilonia, di Karkemis berhampiran Sungai Efrat pada tahun keempat pemerintahan Raja Yoyakim sebagai raja Yehuda,
3 “Para panglima tentera Mesir memekik,
‘Siapkanlah perisai kamu,
dan maralah untuk bertempur!
4 Pasanglah abah-abah pada kuda
dan tunggangilah kuda kamu!
Berbarislah dan pakailah topi besi!
Asahlah tombak kamu!
Pakailah baju zirah kamu!’”
5 TUHAN bertanya, “Tetapi apakah yang Aku nampak ini?
Mereka mundur ketakutan.
Tentera mereka dipukul mundur;
mereka lari secepat mungkin,
mereka tidak berani menoleh,
kerana sangat ketakutan.
6 Mereka yang berlari dengan pantas tidak dapat melepaskan diri;
askar-askar tidak dapat melarikan diri.
Mereka tersandung dan jatuh,
di utara, dekat Sungai Efrat.
7 Siapakah yang naik seperti air Sungai Nil,
seperti sungai yang membanjiri tebingnya?
8 Itulah negeri Mesir, yang naik seperti Sungai Nil,
seperti sungai yang membanjiri tebingnya.
Negeri Mesir berkata, ‘Aku akan naik dan menenggelamkan dunia;
aku akan memusnahkan kota-kota dan penduduk di sana.
9 Perintahlah kuda untuk pergi,
dan kereta-kereta kuda untuk bergerak laju!
Kirimlah askar-askar:
orang dari Etiopia dan Libia yang membawa perisai,
dan juga pemanah mahir dari Lidia.’”
10 Inilah hari TUHAN Raja Yang Maha Kuasa:
hari ini Dia akan membalas dendam;
hari ini Dia akan menghukum musuh-Nya.
Pedang-Nya akan makan mereka sehingga kenyang,
dan minum darah mereka sehingga puas.
Hari ini Yang Maha Kuasa menyembelih korban-korban-Nya,
di utara, dekat Sungai Efrat.
11 Hai penduduk Mesir, pergilah ke Gilead
dan dapatkanlah ubat!
Semua ubat kamu ternyata tidak berguna;
tiada satu pun dapat menyembuhkan kamu.
12 Bangsa-bangsa telah mendengar aib kamu;
semua orang telah mendengar tangisan kamu.
Askar yang satu tersandung pada askar yang lain,
lalu kedua-duanya jatuh ke tanah.
Kedatangan Raja Nebukadnezar
13 Ketika Raja Nebukadnezar dari Babilonia, datang menyerang Mesir, TUHAN berfirman kepadaku,
14 “Isytiharkanlah berita ini di kota-kota Mesir,
iaitu Migdol, Memfis, dan Tahpanhes,
‘Bersedialah membela diri kamu;
semua milik kamu akan musnah dalam peperangan!
15 Mengapakah Apis, dewa kamu yang kuat itu jatuh?
TUHAN telah memukul dewa itu!’
16 Askar-askar kamu tersandung dan jatuh!
Mereka berkata sesama sendiri,
‘Cepatlah! Marilah kita pulang kepada bangsa kita,
dan melarikan diri dari pedang pembinasa!’
17 Berilah raja Mesir nama yang baru:
‘Tukang Bising Yang Melepaskan Peluang.’
18 Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Akulah raja.
Akulah Allah yang hidup.
Sebagaimana Gunung Tabor lebih tinggi daripada gunung lain,
dan Gunung Karmel lebih tinggi daripada permukaan laut,
demikianlah kekuatan orang yang akan menyerang kamu.
19 Bersiaplah untuk ditawan, hai penduduk Mesir!
Memfis akan menjadi padang gurun,
runtuhan yang tidak didiami orang.
20 Mesir seperti seekor lembu yang gemuk,
tetapi didatangi oleh pikat dari utara.
21 Bahkan askar-askar upahannya pun
tidak berdaya seperti anak lembu.
Mereka tidak dapat bertahan untuk berperang;
mereka semua berpaling dan lari.
Hari hukuman bagi mereka telah tiba;
sudah sampai masa mereka dibinasakan.
22 Mesir melarikan diri sambil berdesis seperti ular,
sementara tentera musuh semakin dekat.
Musuh menyerang dengan kapak,
seperti orang menebang pokok,
23 seperti orang memusnahkan hutan tebal.
Bilangan mereka tidak terhitung,
askar mereka lebih banyak daripada belalang.
24 Penduduk Mesir dipermalukan,
mereka dikalahkan oleh bangsa dari utara.
Aku, TUHAN, telah berfirman.”
25 TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel berfirman, “Aku akan menghukum Amon, dewa kota Tebe bersama dengan Mesir dan dewa-dewa serta raja-rajanya. Aku akan mengambil raja Mesir dan semua yang berharap kepadanya,
26 lalu menyerahkan mereka kepada orang yang hendak membunuh mereka, iaitu Raja Nebukadnezar dari Babilonia dan tenteranya. Tetapi pada kemudian hari, orang akan tinggal lagi di Mesir, seperti pada masa lampau. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
TUHAN Akan Menyelamatkan Umat-Nya
27 “Jangan takut, hai umat-Ku,
jangan gentar, hai umat Israel.
Aku akan menyelamatkan kamu dari negeri yang jauh,
dari negeri tempat kamu ditawan.
Kamu akan pulang dan tinggal di negeri kamu dengan aman;
kamu akan hidup dengan tenteram;
tiada sesiapa pun akan menakutkan kamu.
28 Aku akan datang dan menyelamatkan kamu.
Aku akan memusnahkan semua negeri
tempat Aku mencerai-beraikan kamu,
tetapi Aku tidak akan membinasakan kamu.
Aku tidak akan melepaskan kamu daripada hukuman,
tetapi apabila Aku menghukum kamu,
Aku akan berlaku adil.
Aku, TUHAN, telah berfirman.”