Perkhabaran TUHAN bagi Umat Israel di Mesir
44
1 TUHAN berfirman kepadaku tentang semua orang Israel yang tinggal di Mesir, di kota Migdol, Tahpanhes, Memfis, dan bahagian selatan negeri itu.
2 Inilah firman TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, “Kamu sendiri telah menyaksikan kemusnahan yang Aku timpakan pada Yerusalem dan semua kota lain di Yehuda. Bahkan sampai sekarang pun kota-kota itu masih dalam keadaan runtuhan dan tidak berpenghuni.
3 Kemusnahan itu berlaku kerana penduduknya telah berbuat jahat dan membangkitkan kemurkaan-Ku. Mereka mempersembahkan korban kepada dewa-dewa, dan memuja dewa-dewa yang tidak pernah dipuja oleh mereka, kamu, atau nenek moyang kamu.
4 Aku terus-menerus mengutus hamba-Ku, para nabi kepada kamu; mereka melarang kamu melakukan kejahatan yang Aku benci.
5 Tetapi kamu tidak mahu mendengarkan atau memperhatikannya. Kamu tidak mahu meninggalkan perbuatan jahat; kamu tetap mempersembahkan korban kepada dewa-dewa.
6 Itulah sebabnya kemurkaan dan berang-Ku menimpa kota-kota Yehuda dan jalan-jalan di Yerusalem. Aku membakar semuanya sehingga menjadi runtuhan dan tempat yang mengerikan sampai sekarang.
7 Oleh itu sekarang Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, bertanya sebabnya kamu melakukan perkara yang jahat itu terhadap diri kamu sendiri. Adakah kamu hendak membinasakan kaum lelaki, wanita, anak-anak, dan bayi, sehingga tiada seorang pun daripada bangsa kamu yang tinggal?
8 Mengapakah kamu membangkitkan kemurkaan-Ku dengan menyembah berhala-berhala dan mempersembahkan korban kepada dewa-dewa di Mesir, tempat tinggal kamu sekarang? Adakah kamu melakukannya untuk membinasakan diri kamu sendiri, sehingga semua bangsa di bumi ini menghina kamu dan menggunakan nama kamu sebagai kutuk?
9 Adakah kamu lupa akan semua kejahatan yang dilakukan oleh nenek moyang kamu, oleh raja-raja Yehuda dan permaisuri mereka, dan juga oleh kamu sendiri dan isteri kamu, di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem?
10 Tetapi sehingga hari ini kamu masih belum merendahkan diri. Kamu tidak menghormati Aku atau hidup menurut semua hukum yang telah Kuberikan kepada kamu dan nenek moyang kamu.
11 Oleh itu Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, akan menentang kamu dan memusnahkan seluruh Yehuda.
12 Rakyat yang masih tinggal di Yehuda, dan yang nekad pergi ke Mesir dan tinggal di sana, pasti Aku binasakan. Mereka semua, baik besar mahupun kecil, akan mati di Mesir dalam peperangan atau kerana kelaparan. Keadaan mereka akan mengerikan. Orang akan menghina mereka dan menggunakan nama mereka sebagai kutuk.
13 Aku akan menghukum mereka yang tinggal di Mesir, sebagaimana Aku menghukum Yerusalem dengan peperangan, kelaparan, dan wabak.
14 Tiada seorang pun daripada orang Yehuda yang tinggal di Mesir akan terselamat atau hidup. Tiada seorang pun akan pulang ke Yehuda, tanah air yang dirindu-rindukan mereka sebagai tempat tinggal. Tiada yang akan pulang kecuali beberapa orang pelarian.”
15 Kemudian banyak sekali orang datang kepadaku, iaitu semua lelaki yang tahu bahawa isteri mereka mempersembahkan korban kepada dewa, dan semua wanita yang berdiri di situ, termasuk orang Israel yang tinggal di bahagian selatan Mesir. Mereka berkata kepadaku,
16 “Kami tidak mahu mendengar perkataan yang kamu ucapkan demi nama TUHAN.
17 Kami akan melakukan segala perkara yang telah kami katakan. Kami akan mempersembahkan korban kepada dewi kami, Ratu Syurga. Kami akan mempersembahkan wain kepadanya, sebagaimana kami, nenek moyang kami, raja kami, dan pemimpin-pemimpin kami biasa melakukannya di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem. Pada masa itu kami mempunyai banyak makanan; kami makmur dan tidak susah.
18 Tetapi sejak kami berhenti mempersembahkan korban kepada Ratu Syurga, dan berhenti mempersembahkan wain kepadanya, kami kekurangan segala-galanya, dan bangsa kami mati dalam peperangan dan kerana kelaparan.”
19 Kaum wanita di situ berkata, “Apabila kami membuat roti berbentuk Ratu Syurga, dan mempersembahkan korban serta wain kepadanya, suami kami menyetujui perbuatan kami.”
20 Kemudian aku berkata kepada semua orang lelaki dan wanita yang telah menjawab aku itu,
21 “Adakah kamu menyangka bahawa TUHAN tidak tahu, atau Dia lupa akan perbuatan kamu itu? Kamu dan nenek moyang kamu mempersembahkan korban kepada Ratu Syurga; hal itu juga dilakukan oleh raja-raja, para pemimpin, penduduk negeri ini, dan kamu sendiri di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem.
22 Sampai hari ini negeri kamu runtuh dan tiada sesiapa pun tinggal di situ. Keadaannya mengerikan. Tambahan pula orang menggunakan namanya sebagai kutuk. Semua perkara itu berlaku kerana TUHAN tidak sabar lagi terhadap kezaliman dan kejahatan kamu.
23 Bencana yang menimpa kamu pada masa ini datang kerana kamu mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan lain, dan kerana kamu berdosa terhadap TUHAN dengan tidak mentaati perintah-Nya.”
24-25 Aku memberitahu mereka semua, terutama kaum wanita, firman TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, kepada orang Yehuda yang tinggal di Mesir, “Kamu dan isteri-isteri kamu telah bersumpah kepada Ratu Syurga, bahawa kamu akan mempersembahkan korban dan wain kepadanya, dan kamu sudah pun menepati janji kamu. Baiklah, tepatilah janji kamu itu! Tunaikanlah nazar kamu itu!
26 Tetapi sekarang dengarlah apa yang Aku firmankan kepada kamu, hai semua orang Israel yang tinggal di Mesir: Aku, TUHAN bersumpah demi nama-Ku yang agung bahawa Aku tidak sekali-kali akan membenarkan kamu menggunakan nama-Ku apabila kamu bersumpah. Kamu tidak boleh berkata, ‘Aku bersumpah demi TUHAN Raja yang hidup!’
27 Aku akan memastikan agar kamu tidak berjaya; kamu pasti dibinasakan. Kamu semua akan mati, sama ada dalam peperangan atau kerana wabak, sehingga tiada seorang pun antara kamu terselamat.
28 Tetapi sebilangan kecil antara kamu yang tinggal di Mesir akan terselamat dan pulang ke Yehuda. Barulah mereka akan tahu perkataan siapa yang berlaku, firman-Ku atau perkataan mereka.
29 Aku, TUHAN, akan membuktikan bahawa Aku akan menghukum kamu di negeri ini, dan bahawa janji-Ku untuk membinasakan kamu itu akan ditepati.
30 Aku akan menyerahkan Raja Hofra dari Mesir kepada musuhnya yang hendak membunuh baginda, sebagaimana Aku telah menyerahkan Raja Zedekia dari Yehuda kepada Raja Nebukadnezar dari Babilonia, musuh yang hendak membunuh Raja Zedekia.”