30
Tetapi kini orang yang lebih muda daripada aku
mengejek aku.
Dahulu bapa mereka kupandang terlalu hina
untuk menjaga dombaku bersama dengan anjing gembala.
Bagiku mereka tidak berguna,
kerana sudah kehabisan tenaga.
Mereka miskin dan lapar sekali,
sehingga mereka makan akar kering di gurun yang sunyi.
Mereka mencabut belukar di gurun,
lalu makan daun dan akarnya.
Semua orang menghalau mereka dengan tengkingan,
seperti orang mengusir pencuri.
Mereka terpaksa tinggal di dalam gua,
lubang-lubang di tebing gunung menjadi rumah mereka.
Di hutan mereka meraung seperti binatang,
dan berhimpit-himpit di bawah belukar.
Mereka sekumpulan orang yang tidak berguna sama sekali!
Mereka telah dihalau dari negeri ini.
Tetapi kini mereka datang dan mentertawakan aku;
aku menjadi bahan tertawaan mereka.
10 Mereka membenci dan menghina aku,
bahkan mereka meludahi mukaku.
11 Oleh sebab Allah telah membuat aku lemah dan tidak berdaya,
aku dilawan mereka dengan segala keganasan.
12 Gerombolan itu menyerang aku dari depan;
dan kejatuhanku dirancang oleh mereka.
13 Mereka menyekat jalanku dan menjatuhkan aku;
dan tidak seorang pun menghalangir mereka.
14 Mereka memecahkan tembok pertahananku;
beramai-ramai mereka masuk dengan meluru.
15 Ketakutan meliputi aku;
kehormatanku hilang seperti hembusan angin
dan harapanku untuk menang, hilang seperti awan.
16 Kini hampir matilah aku;
penderitaan mencengkam aku.
17 Pada waktu malam semua tulangku sakit sekali,
dan kesakitan yang menusuk tidak kunjung berhenti.
18 Allah mencekau aku pada leher bajuku
dan merenyukkan pakaianku.
19 Dia menghempaskan aku ke dalam lumpur,
dan aku menjadi seperti kotoran.
20 Aku berseru kepada-Mu, ya Allah, tetapi Engkau tidak memberikan jawapan;
dan apabila aku berdoa, Engkau tidak memperhatikan.
21 Engkau bersikap kejam terhadapku;
Engkau menganiaya aku dengan segenap kekuatan-Mu.
22 Engkau membiarkan angin menerbangkan aku,
dan angin ribut mengumbang-ambingkan aku.
23 Aku tahu bahawa Engkau membawa aku ke alam kematian,
kepada kesudahan yang mesti dihadapi setiap orang.
24 Mengapakah Engkau menyerang orang yang malang,
yang tidak dapat berbuat apa-apa lagi kecuali mohon belas kasihan?
25 Tidakkah aku menangis bersama-sama orang dalam kesusahan,
dan mengasihani orang yang berkekurangan?
26 Aku mengharapkan kebahagiaan dan cahaya,
tetapi kesusahan dan kegelapan yang datang.
27 Aku dihancurkan oleh kegelisahan dan kesakitan;
hari demi hari aku menghadapi penderitaan.
28 Dalam kegelapan, tanpa cahaya aku berkeliaran;
aku berdiri di khalayak ramai dan minta pertolongan.
29 Suaraku sedih dan penuh hiba,
seperti lolong serigala atau bunyi burung unta.
30 Kulitku menjadi hitam;
tubuhku terbakar oleh demam.
31 Dahulu aku mendengar muzik gembira,
tetapi kini hanya ratapan tangis belaka.
r 30:13 Dapat bermakna: menghalangi; Naskhah Ibrani: menolong.