Hukuman terhadap Babel
47
1 TUHAN berfirman,
“Hai Babel, turunlah dari takhtamu,
dan duduklah di atas debu.
Dahulu kamu seperti anak dara, kota yang tidak dijajah,
tetapi sekarang kamu tidak lagi menarik ataupun manis!
2 Gilinglah tepung dengan batu kisaran;
tanggalkanlah kain tudungmu,
angkatlah kainmu sampai nampak betismu
dan seberangilah sungai-sungai!
3 Orang akan nampak kamu bertelanjang,
dihina serta dipermalukan.
Aku akan membalas dendam,
dan tidak seorang pun Aku biarkan terlepas.”
4 Allah Israel, Allah yang suci, membebaskan kita,
nama-Nya TUHAN Yang Maha Kuasa.
5 TUHAN berfirman kepada Babel,
“Diamlah! Duduklah dalam kegelapan!
Kamu tidak lagi disebut
ratu bangsa-bangsa!
6 Aku murka terhadap umat-Ku,
Aku tidak menganggap mereka sebagai umat-Ku:
Aku menyerahkan mereka ke bawah kuasamu,
dan kamu tidak menunjukkan belas kasihan terhadap mereka;
bahkan orang tua-tua pun kamu perlakukan dengan kasar.
7 Kamu berfikir bahawa kamu akan menjadi ratu selama-lamanya,
kamu tidak cuba mengerti, ataupun memikirkan kesudahan semuanya.
8 Dengarlah, hai pencinta kesenangan,
kamu menyangka bahawa kamu aman dan selamat,
dan tiada sesiapa yang seperti kamu.
Kamu menyangka kamu tidak akan menjadi balu,
ataupun kehilangan anak-anakmu.
9 Tetapi dalam sesaat sahaja, dalam satu hari,
kedua-dua hal itu akan berlaku.
Sekalipun kamu menggunakan segala kuasa sihirmu,
kamu akan kehilangan suami serta anak-anakmu.
10 Kamu berasa aman dalam kejahatanmu;
kamu menyangka tidak seorang pun mengetahuinya.
Kebijaksanaan dan pengetahuanmu telah menyesatkan kamu.
Kamu menyangka bahawa tiada sesiapa yang seperti kamu.
11 Tetapi malapetaka akan menimpa kamu,
ilmu sihirmu tidak akan dapat mencegahnya.
Kebinasaan akan datang dengan tiba-tiba,
kebinasaan yang tidak kamu sangka.
12 Teruslah menggunakan segala sihirmu,
yang telah kamu gunakan sejak masa mudamu.
Mungkin jampi-jampahmu dapat menolong kamu,
dan menakut-nakutkan musuhmu.
13 Kamu tidak lagi berkuasa
sekalipun dengan banyak nasihat yang kamu terima.
Biarlah para ahli nujummu tampil untuk menyelamatkan kamu;
mereka mempelajari bintang-bintang,
meneliti penjuru-penjuru langit,
dan pada tiap-tiap bulan,
meramalkan apa yang akan berlaku kepadamu.
14 Mereka seperti jerami yang habis dibakar api;
mereka tidak dapat menyelamatkan diri sendiri!
Nyala api itu terlalu panas bagi mereka,
bukan api hangat untuk berdiang.
15 Itulah sahaja gunanya ahli nujum bagimu;
kamu minta nasihat daripada mereka sejak masa mudamu.
Mereka semua akan lari dan meninggalkan kamu,
tiada sesiapa pun yang tinggal untuk menyelamatkan kamu.”