Nyanyian Kesyukuran
12
1 Masanya akan tiba apabila kamu bernyanyi,
“TUHAN, aku bersyukur kepada-Mu,
kerana Engkau menghibur aku.
Dahulu Engkau murka terhadap aku,
tetapi kini sudah reda kemurkaan-Mu.
2 Allah ialah Penyelamatku;
aku percaya kepada-Nya dan aku tidak takut.
TUHAN memberikan kuasa dan kekuatan kepadaku;
Dialah Penyelamatku.
3 Sebagaimana air menggembirakan orang dahaga,
demikianlah umat Allah bersukacita kerana diselamatkan oleh Allah.”
4 Masanya akan tiba apabila kamu bernyanyi,
“Bersyukurlah kepada TUHAN, dan sembahlah Dia!
Khabarkanlah perbuatan-Nya kepada bangsa-bangsa.
Beritahulah mereka kebesaran-Nya.
5 Bernyanyilah bagi TUHAN kerana perbuatan-Nya yang besar.
Hendaklah seluruh bumi mendengar tentang perbuatan-Nya itu.
6 Hendaklah setiap penduduk Sion bersorak dan bernyanyi.
Allah yang suci,
Allah Israel itu agung,
Dia tinggal di tengah-tengah kamu.”