7
1 TUHAN berfirman, “Setiap kali Aku hendak menyembuhkan umat-Ku Israel dan memulihkan kemakmuran mereka, Aku hanya melihat kekejaman dan kejahatan yang dilakukan mereka. Mereka saling menipu, memasuki rumah orang untuk mencuri, dan mereka merompak orang di jalan-jalan.
2 Tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka bahawa Aku akan mengingat segala perbuatan jahat itu. Mereka diliputi dosa sehingga Aku melihatnya dengan jelas.”
Komplot di dalam Istana
3 TUHAN berfirman, “Dengan tipu daya dan perbuatan jahat, rakyat cuba menyenangkan hati raja dan pegawai-pegawainya.
4 Mereka semua kejam dan tidak setia. Kebencian mereka seperti api di dalam ketuhar, yang tidak dikobarkan oleh si pembuat roti sebelum adunan siap untuk dibakar.
5 Pada hari pesta raja, mereka membuat raja serta pegawai-pegawainya minum wain sampai mabuk dan melakukan hal-hal yang bodoh.
6 Komplot mereka bagaikan api yang menyala-nyala di dalam ketuhar. Kemarahan mereka membara di dalam hati sepanjang malam, dan menjadi nyala api yang mengganas pada pagi hari.
7 Dalam kemarahan, mereka membunuh pemimpin-pemimpin mereka. Raja-raja mereka dibunuh seorang demi seorang, tetapi tiada seorang pun berdoa kepada-Ku untuk minta tolong.”
Israel dan Negeri-Negeri Jiran
8 TUHAN berfirman “Orang Israel seperti roti setengah masak. Mereka bergantung kepada bangsa-bangsa di sekeliling mereka.
9 Mereka tidak sedar bahawa perbuatan ini telah melemahkan mereka. Akhir riwayat mereka sudah dekat, tetapi mereka tidak mengetahuinya.
10 Kesombongan orang Israel kelihatan jelas dan menjadi bukti kesalahan mereka. Meskipun semuanya telah terjadi, mereka tidak kembali kepada-Ku, TUHAN, Allah mereka.
11 Orang Israel seperti burung merpati yang bodoh. Mula-mula mereka minta tolong kepada Mesir, kemudian kepada Asyur!
12 Tetapi semasa mereka lalu, Aku akan memasang jaring dan menangkap mereka seperti orang menangkap burung. Aku akan menghukum mereka kerana kejahatan yang dilakukan mereka.
13 Mereka telah meninggalkan Aku dan memberontak terhadap Aku. Kesusahan akan menimpa mereka. Mereka akan dibinasakan. Aku mahu menyelamatkan mereka, tetapi ibadat mereka kepada-Ku palsu belaka.
14 Mereka tidak berdoa kepada-Ku dengan ikhlas. Sebaliknya mereka menghempas diri ke tempat tidur dan meratap seperti yang dilakukan orang yang tidak mengenal Aku. Apabila mereka berdoa untuk minta gandum dan wain, mereka melukai diri seperti yang dilakukan oleh orang yang menyembah berhala. Mereka melawan Aku!
15 Meskipun Aku yang membesarkan dan menguatkan mereka, namun mereka berkomplot melawan Aku.
16 Mereka terus mengikut dewa yang tidak mempunyai apa-apa kuasa. Seperti busur yang bengkok, mereka tidak dapat diharap. Kerana pemimpin-pemimpin mereka bercakap dengan sombong, mereka akan dibunuh oleh pedang, dan orang Mesir akan mentertawakan mereka.”