30
Tetapi Rahel belum juga mendapat anak. Oleh itu dia iri hati terhadap kakaknya, lalu berkata kepada Yakub, “Berilah aku anak, jika tidak, aku akan mati.”
Yakub marah kepada Rahel dan berkata, “Aku ini bukan Allah. Dialah yang menyebabkan engkau tidak mendapat anak.”
Maka Rahel berkata, “Ini hambaku Bilha; tidurlah dengan dia supaya dia melahirkan anak untuk aku. Dengan demikian aku boleh menjadi ibu melalui dia.” Rahel memberikan Bilha kepada suaminya, lalu Yakub bersetubuh dengan hamba itu. Bilha mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. Rahel berkata, “Allah sudah mengadili bagi kepentinganku. Dia sudah mendengar doaku dan memberikan seorang anak lelaki kepadaku.” Maka dia menamakan anak itu Dan.k Bilha mengandung lagi dan melahirkan seorang anak lelaki. Rahel berkata, “Aku telah berjuang mati-matian melawan kakakku, dan aku sudah menang.” Maka dia menamakan anak itu Naftali.l Apabila Lea sedar bahawa dia tidak mendapat anak lagi, dia memberikan hambanya Zilpa kepada Yakub, untuk menjadi isterinya. 10 Kemudian Zilpa melahirkan seorang anak lelaki. 11 Lea berkata, “Aku beruntung.” Maka dia menamakan anak itu Gad.m 12 Zilpa melahirkan seorang anak lelaki lagi, 13 dan Lea berkata, “Alangkah berbahagianya aku! Sekarang semua wanita akan mengatakan aku berbahagia.” Maka dia menamakan anak itu Asyer.n
14 Pada musim menuai gandum, Ruben pergi ke ladang dan menjumpai sejenis tumbuhan ubato di sana. Dia membawa tumbuhan itu kepada Lea, ibunya. Rahel berkata kepada Lea, “Berilah aku sedikit tumbuhan ubat yang dijumpai anakmu itu.”
15 Lea menjawab, “Belum cukupkah engkau mengambil suamiku? Tumbuhan ubat yang dijumpai anakku pun engkau hendak ambil!”
Rahel berkata, “Jika engkau mahu memberi aku tumbuhan ubat yang dijumpai anakmu itu, engkau boleh tidur dengan Yakub pada malam ini.”
16 Apabila Yakub pulang ke rumah dari ladang pada petang itu, Lea menyambutnya sambil berkata, “Engkau mesti tidur bersama-samaku malam ini kerana aku sudah membayarnya dengan tumbuhan ubat yang dijumpai anakku.” Oleh itu Yakub bersetubuh dengan Lea pada malam itu.
17 Allah mengabulkan doa Lea, maka dia mengandung lalu melahirkan anak lelaki yang kelima. 18 Lea berkata, “Allah sudah memberikan pahala kepadaku kerana aku telah menyerahkan Zilpa kepada suamiku.” Maka dia menamakan anak itu Isakhar.p 19 Lea mengandung lagi dan melahirkan anak lelaki yang keenam. 20 Dia berkata, “Allah sudah mengurniakan hadiah yang indah sekali kepadaku. Sekarang suamiku akan menghargai aku kerana aku sudah melahirkan enam orang anak lelaki.” Maka dia menamakan anak itu Zebulon.q 21 Selepas itu Lea melahirkan seorang anak perempuan yang dinamakannya Dina.
22 Kemudian Allah ingat akan Rahel; Allah mengabulkan doanya dan membolehkan dia melahirkan anak. 23 Rahel mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. Rahel berkata, “Allah sudah menghapuskan keaibanku. 24 Semoga TUHAN memberikan seorang anak lelaki lagi kepadaku.” Maka dia menamakan anaknya itu Yusuf.r
Tawar-menawar antara Yakub dan Laban
25 Selepas Rahel melahirkan Yusuf, Yakub berkata kepada Laban, “Izinkanlah saya pulang ke negeri saya. 26 Berilah saya anak isteri yang saya dapat dengan bekerja bagi pak cik, lalu saya akan pulang. Pak cik tahu, saya sudah bekerja keras.”
27 Laban berkata kepadanya, “Dengar dulu. Melalui ramalan, aku tahu bahawa TUHAN sudah memberkati aku kerana kamu. 28 Katakan saja berapa yang kamu minta dan aku akan membayarnya.”
29 Yakub menjawab, “Pak cik sendiri tahu bahawa saya sudah bekerja keras, dan ternakan pak cik bertambah banyak di bawah jagaan saya. 30 Sebelum saya datang, harta milik pak cik tidak seberapa, tetapi sekarang pak cik sudah kaya. TUHAN sudah memberkati pak cik kerana saya.s Sekarang sudah masanya saya bekerja untuk keluarga saya sendiri.”
31 Laban berkata, “Jika demikian apa yang harus aku berikan kepadamu?”
Yakub menjawab, “Tidak usah pak cik berikan apa-apa. Saya akan tetap memelihara ternakan pak cik, asal pak cik setuju dengan cadangan saya ini. 32 Izinkan saya berjalan antara semua kawanan kambing dan domba pak cik pada hari ini, dan mengambil setiap anak domba yang hitam,t dan juga setiap kambing muda yang belang atau berbintik-bintik. Itu saja upah yang saya minta. 33 Pada masa yang akan datang pak cik akan tahu dengan mudah sama ada saya berlaku jujur atau tidak. Manakala pak cik datang untuk memeriksa ternakan yang menjadi upah saya, dan nampak bahawa ada kambing yang tidak berbintik-bintik atau belang, atau domba yang tidak hitam, pak cik akan tahu bahawa binatang itu telah saya curi.”
34 Laban menjawab, “Aku setuju! Kita akan melakukan apa yang kamu cadangkan itu!” 35 Tetapi pada hari itu Laban memisahkan semua kambing jantan yang loreng atau belang dan semua kambing betina yang belang, berbintik-bintik, atau yang bernoda putih. Dia juga memisahkan semua domba yang hitam. Kemudian dia menyuruh anak-anak lelakinya mengurus ternakan itu. 36 Anak-anak Laban itu pergi menjauhi Yakub dengan menggiring semua ternakan itu sejauh tiga hari perjalanan. Kawanan kambing dan domba yang tinggal dipelihara oleh Yakub.
37 Kemudian Yakub mengambil cabang-cabang hijau pokok hawar, pokok badam dan pokok berangan. Dia mengupas sebahagian kulit cabang-cabang itu sehingga menjadi belang. 38 Dia meletakkan cabang-cabang itu di hadapan kawanan kambing, di dalam tempat minuman, kerana ternakan itu suka mengawan ketika hendak minum. 39 Kambing yang mengawan di hadapan cabang-cabang itu akan melahirkan anak kambing yang loreng atau yang belang atau yang berbintik-bintik.
40 Kemudian Yakub memisahkan domba daripada kambing, lalu menghadapkan domba ke arah kambing yang loreng dan hitam kepunyaan Laban. Dengan cara itu dia mendapat kawanan ternakannya sendiri dan memisahkannya daripada kawanan ternakan Laban.
41 Apabila binatang yang kuat sedang mengawan, Yakub meletakkan cabang-cabang yang dikupasnya itu di hadapan binatang itu, di dalam tempat minuman. 42 Tetapi dia tidak meletakkan cabang-cabang itu di hadapan binatang yang lemah. Oleh itu semua binatang yang lemah menjadi kepunyaan Laban, dan semua binatang yang kuat menjadi kepunyaan Yakub. 43 Dengan demikian Yakub menjadi kaya raya. Dia mempunyai banyak kawanan kambing dan domba, unta, keldai, serta hamba-hamba.
k 30:6 Dan: Nama ini bunyinya seperti perkataan Ibrani yang bermakna “mengadili”. l 30:8 Naftali: Nama ini bunyinya seperti perkataan Ibrani yang bermakna “berjuang”. m 30:11 Gad: Dalam bahasa Ibrani, nama ini bermakna “untung”. n 30:13 Asyer: Dalam bahasa Ibrani, nama ini bermakna “bahagia”. o 30:14 sejenis tumbuhan ubat: “dodayim” dalam bahasa Ibrani. Tumbuhan ini dipercayai mempunyai khasiat yang dapat menyuburkan rahim. p 30:18 Isakhar: Nama ini bunyinya seperti perkataan Ibrani yang bermakna “orang gaji” dan “ada pahala”. q 30:20 Zebulon: Nama ini bunyinya seperti perkataan Ibrani yang bermakna “menghargai” dan “hadiah”. r 30:24 Yusuf: Nama ini bunyinya seperti perkataan Ibrani yang bermakna “dia memberi lagi” dan “dia melenyapkan”. s 30:30 kerana saya; atau ke mana sahaja saya pergi. t 30:32 Sebuah terjemahan kuno: setiap anak domba yang hitam. Naskhah Ibrani: setiap anak domba yang belang dan berbintik-bintik, serta setiap anak domba yang hitam.