Ezra Mendapat Laporan tentang Perkahwinan Orang Yahudi dengan Orang Asing
9
Selepas semua itu dilaksanakan, beberapa orang pemimpin Israel datang kepada saya. Mereka memberitahukan bahawa rakyat Israel, termasuk para imam dan orang Lewi tidak memisahkan diri daripada bangsa-bangsa yang tinggal di sekitar mereka, iaitu bangsa Amon, Moab, Mesir, Kanaan, Het, Feris, Yebusi, dan Amori. Mereka juga melakukan perbuatan keji bangsa-bangsa itu. Orang lelaki Yahudi berkahwin dengan wanita asing sehingga umat yang khas bagi Allah tercemar. Para pemimpin dan pegawai merekalah yang mula-mula sekali melakukan perkara itu. Apabila saya mendengar hal itu, saya mengoyakkan pakaian kerana sangat berdukacita. Saya mencukur rambut dan janggut, lalu duduk dengan hati yang hancur luluh. Saya sangat sedih dan duduk di situ sehingga masa untuk mempersembahkan korban petang. Orang ramai datang berkumpul di sekeliling saya. Semua orang itu ketakutan kerana ancaman Allah Israel terhadap dosa yang telah dilakukan mereka yang pulang dari pembuangan.
Pada masa korban petang mula dipersembahkan, saya bangun dari tempat saya duduk bersedih hati dengan berpakaian koyak rabak, lalu saya berlutut dan mengangkat tangan kepada TUHAN, Allah saya. Saya berkata, “Ya Allahku, aku terlalu malu hendak mengangkat kepala di hadapan-Mu. Dosa kami bersusun-susun di atas kepala sehingga sampai di langit. Sejak zaman nenek moyang kami sehingga kini, kami umat-Mu telah berdosa kepada-Mu. Disebabkan dosa kami itu, para raja dan imam kami telah ditawan raja-raja bangsa asing. Kami dibunuh, dirompak dan dibawa sebagai tawanan ke negeri lain. Kami telah dihina habis-habisan, sehingga hari ini. Tetapi sekarang, untuk seketika, Engkau ya TUHAN, Allah kami, baru sahaja mengasihani kami dan membebaskan beberapa orang di kalangan kami daripada perhambaan, serta memberi kami kehidupan yang tenteram di tempat yang khas ini. Engkau telah memberi kami kehidupan yang baru. Engkau tidak meninggalkan kami pada masa kami masih dalam perhambaan. Engkau telah membuat raja Persia berkenan kepada kami dan mengizinkan kami hidup serta membina semula Rumah-Mu yang telah runtuh itu. Engkau memberi kami perlindungan di Yehuda dan di Yerusalem.
10 Tetapi sekarang, ya Allah, setelah semua kejadian itu, apakah yang dapat kami katakan? Sekali lagi kami telah melanggar perintah-Mu 11 yang diberikan kepada kami melalui hamba-Mu, para nabi. Mereka memberitahu kami bahawa tanah yang akan kami diami itu telah dicemar, kerana penduduknya telah mencemarkan seluruhnya dengan perbuatan yang kotor dan keji. 12 Nabi-nabi itu memberitahu kami bahawa kami tidak boleh berkahwin dengan penduduk tempatan ataupun menolong mereka menjadi makmur dan sejahtera. Jika kami taat, kami akan menjadi kuat dan menikmati hasil tanah itu serta mewariskannya kepada keturunan kami selama-lamanya. + 13 Sekarang Engkau telah menghukum kami kerana segala dosa dan pelanggaran kami terhadap hukum-Mu. Tetapi kami tahu ya Allah kami, bahawa hukuman-Mu itu jauh lebih ringan daripada yang setimpal dengan perbuatan kami; malahan Engkau telah menyelamatkan kami. 14 Oleh itu, bagaimana mungkin kami mengabaikan lagi perintah-Mu itu, lalu berkahwin dengan orang yang jahat itu? Jika kami melakukannya, tentu Engkau akan murka lalu membinasakan kami sama sekali, sehingga tiada seorang pun hidup. 15 Ya TUHAN, Allah Israel, Engkau sungguh adil. Walaupun demikian, Engkau telah membenarkan kami hidup. Kami mengakui dosa kami. Kami tidak layak menghadap hadirat-Mu.”
+ 9:12 Kel 34.11-16; Ul 7.1-5