Lagu Ratapan bagi Tirus
27
TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, nyanyikanlah lagu ratapan bagi Tirus, kota di tepi pantai yang berniaga dengan penduduk segala pantai. Beritahukanlah firman TUHAN Raja:
Hai Tirus, dengan sombong kamu mengatakan,
‘Keindahanku sungguh sempurna.’
Bagimu lautan bagaikan rumah.
Pembinamu membuat kamu seperti kapal indah.
Dindingmu daripada kayu sipres dari Gunung Hermon,
tiangmu daripada kayu sedar dari Lebanon.
Dayung-dayungmu dibuat daripada pokok oak dari Basan.
Geladakmu dibuat daripada kayu pain dari Siprus,
dan hiasanmu tatahan gading.
Layar yang menjadi lambangmu dibuat daripada linen buatan Mesir, dengan aneka sulaman.
Kajangmu dibuat daripada kain halus, kain yang berwarna ungu dari Siprus.
Pendayungmu orang dari Sidon dan Arwad.
Anak buahmu sendiri pelaut-pelaut yang cekap.
Tukang kayu yang membina kapalmu itu tukang-tukang yang mahir dari Gebal.
Pelaut dari setiap kapal datang
ke kedai-kedaimu untuk berdagang.
10 Askar dari Persia, Lidia, dan Libia berkhidmat dalam angkatan perangmu. Mereka menggantung perisai dan topi besi mereka pada tembok-tembok kotamu. Mereka menjadikan kamu masyhur. 11 Askar dari Arwad mengawal tembokmu, dan orang dari Gamad mengawal menaramu. Mereka menggantung perisai mereka pada tembokmu, dan menyempurnakan keindahanmu.
12 Kamu berniaga di Sepanyol dan menerima perak, besi, timah putih, dan timah hitam sebagai tukaran bayaran baranganmu yang banyak itu. 13 Kamu berniaga di Yunani, Tubal, dan Mesekh, dan mendapat hamba dan barangan gangsa sebagai tukaran baranganmu. 14 Kamu juga menerima kereta kuda, kuda tunggangan, dan baghal dari Bet-Togarma sebagai tukaran baranganmu. 15 Orang Rodesm pun berniaga dengan kamu; penduduk di banyak kawasan pantai membeli baranganmu dan membayar dengan gading dan kayu hitam. 16 Orang Siria membeli baranganmu dan membayar dengan batu zamrud, kain ungu, kain bersulam, kain linen halus, batu karang, dan batu delima. 17 Yehuda dan Israel membeli baranganmu dan membayar dengan gandum,n madu, minyak zaitun, dan rempah-ratus. 18-19 Penduduk Damsyik membeli barang dagangan dan hasil-hasilmu dan membayar dengan wain dari Helbon, bulu domba dari Sahar,o besi tempa, dan rempah-rempah. 20 Penduduk Dedan membayar baranganmu dengan kain alas pelana. 21 Orang Arab dan para penguasa Kedar membayar baranganmu dengan kambing, domba jantan, dan anak domba. 22 Pedagang dari Syeba dan Raema membayar baranganmu dengan batu permata, emas, dan rempah yang terbaik. 23 Kota-kota Haran, Kane, Eden, pedagang-pedagang dari Syeba, kota-kota Asyur dan Kilmad, semuanya berniaga dengan kamu. 24 Mereka menjual pakaian mewah, kain ungu, kain sulam, permaidani yang berwarna-warni, dan tali-temali yang kuat. 25 Barang daganganmu dibawa dengan kapal-kapal yang paling besar.
Kamu bagaikan kapal di laut,
penuh dengan muatan berat.
26 Ketika pendayungmu membawa kamu belayar,
angin timur melanda kamu di tengah lautan.
27 Segala barang daganganmu,
semua pelaut dan anak buahmu,
tukang kayu dan kaum pedagangmu,
dan setiap askar dalam kapalmu,
semuanya hilang tenggelam
apabila kapalmu karam.
28 Jeritan pelaut yang tenggelam
terdengar sampai ke pantai.
29 Kini setiap kapal ditinggalkan,
setiap pelaut telah naik ke darat.
30 Mereka meratapi kamu dengan pilu,
mereka menaburkan debu pada kepala dan berguling dalam abu kerana duka.
31 Mereka mencukur rambut kerana kamu,
dan memakai kain guni tanda sedih.
Mereka meratap dengan hati pilu.
32 Mereka menyanyikan lagu ratapan bagimu,
‘Tirus, siapakah tandinganmu?
Tirus, di laut kini kamu membisu.
33 Apabila kaum pedagangmu belayar ke seberang laut,
kamu mencukupi keperluan setiap bangsa.
Raja-raja menjadi kaya
kerana baranganmu yang berharga.
34 Tetapi kini kamu sudah hancur,
dan tenggelam ke dasar lautan.
Baranganmu dan semua anak buahmu hilang bersama-sama kamu di lautan.’
35 Semua orang yang tinggal di sepanjang pantai terperanjat mendengar kesudahanmu. Bahkan raja-raja mereka pun sangat takut; kengerian nampak pada wajah mereka. 36 Kamu hilang dan lenyap selama-lamanya. Pedagang di seluruh dunia gerun kalau-kalau mereka juga mengalami kesudahanmu.” +
m 27:15 Sebuah terjemahan kuno: Rodes; Naskhah Ibrani: Dedan. n 27:17 Bahasa Ibrani mempunyai dua tambahan kata yang tidak jelas ertinya. o 27:18-19 Bahasa Ibrani mempunyai dua tambahan kata yang tidak jelas ertinya. + 27:36 Why 18.11-19