Allah Memanggil Yehezkiel Menjadi Nabi
2
Apabila aku melihat semuanya, aku jatuh tertelungkup di atas tanah. Lalu aku mendengar suara yang
1 berkata, “Hai manusia fana, berdirilah. Aku hendak berfirman kepadamu.”
2 Sewaktu aku mendengar suara itu, Roh Allah menguasai aku dan menegakkan aku. Aku mendengar suara itu berkata lagi,
3 “Hai manusia fana, Aku mengutus engkau kepada umat Israel. Mereka telah memberontak terhadap Aku seperti nenek moyang mereka dahulu. Sampai sekarang mereka masih memberontak.
4 Mereka degil dan tidak menghormati Aku. Oleh itu Aku mengutus engkau untuk menyampaikan apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada mereka.
5 Sama ada pemberontak itu mendengar engkau atau tidak, mereka akan tahu bahawa ada nabi di kalangan mereka.
6 Tetapi engkau, hai manusia fana, janganlah takut kepada mereka atau kepada apa-apa sahaja yang dikatakan mereka. Mereka akan mencabar dan menghina engkau. Engkau akan merasa seperti hidup di tengah-tengah kala jengking. Meskipun demikian, janganlah takut kepada pemberontak itu, atau kepada apa-apa sahaja yang dikatakan mereka.
7 Sampaikanlah firman-Ku kepada mereka, sama ada mereka mendengar ataupun tidak. Ingatlah, mereka semuanya pemberontak.
8 Hai manusia fana, dengarlah firman-Ku. Janganlah memberontak seperti mereka. Bukalah mulutmu dan makanlah apa yang Aku berikan ini.”
9 Kemudian aku melihat tangan yang terhulur ke arahku. Tangan itu memegang sebuah gulungan naskhah.
10 Lalu gulungan naskhah itu dibuka dan aku melihat tulisan pada kedua-dua belahnya - tulisan yang mengandungi ratapan, keluh-kesah, dan rintihan.