22
1 Jika ada lembu atau domba yang sesat, yang dipunyai orang sebangsa kamu, dan kamu nampak binatang itu, jangan berpura-pura tidak tahu, tetapi bawalah binatang itu balik kepada pemiliknya.
2 Jika pemiliknya tinggal jauh, atau kamu tidak tahu siapa pemiliknya, bawalah binatang itu ke rumah kamu. Apabila pemilik binatang itu datang mencarinya, berikanlah binatang itu kepadanya.
3 Demikian juga yang harus dilakukan jika kamu menjumpai keldai, pakaian, atau apa sahaja milik orang sebangsa kamu.
4 Jika keldai atau lembu milik orang sebangsa kamu rebah di jalan, jangan berpura-pura tidak tahu. Tolonglah dia membangunkan binatang itu semula.
5 Orang perempuan tidak boleh memakai pakaian orang lelaki, dan orang lelaki tidak boleh memakai pakaian orang perempuan; TUHAN, Allah kamu membenci orang yang melakukan hal seperti itu.
6 Jika kamu nampak sarang burung di atas pokok atau di atas tanah, dan induk burung sedang mengerami telurnya ataupun bersama-sama anak-anaknya, jangan tangkap induk burung itu.
7 Kamu boleh mengambil anak-anak burung, tetapi kamu mesti melepaskan induk burung, supaya kamu panjang umur dan sejahtera.
8 Apabila kamu membina rumah baru, kamu mesti memasang pagar di sekeliling tepi bumbung rumah itu. Dengan demikian kamu tidak dipertanggungjawabkan jika seseorang jatuh dari atas bumbung itu lalu mati.
9 Jangan tanam benih lain di ladang anggur kamu kecuali pokok anggur. Jika kamu menanam benih lain, kamu tidak boleh mengambil hasil anggur ataupun hasil tanaman lain itu.
10 Jangan pasangkan seekor lembu dengan seekor keldai pada satu bajak.
11 Jangan pakai pakaian yang dibuat daripada bulu domba dan linen dalam satu tenunan.
12 Jahitlah rumbai-rumbai pada keempat-empat hujung pakaian kamu.”
Peraturan tentang Hubungan Jenis
13 “Andaikata ada seorang lelaki berkahwin dengan seorang gadis, kemudian lelaki itu tidak lagi menyukai gadis itu.
14 Oleh itu, lelaki itu membuat tuduhan palsu bahawa isterinya bukan dara pada masa mereka berkahwin.
15 Dalam hal itu ibu bapa wanita itu harus mengambil kain yang ada bekas darah sebagai bukti bahawa wanita itu dara pada masa perkahwinannya. Mereka harus menunjukkan kain itu kepada para pemimpin kota di tempat pengadilan.
16 Bapa wanita itu akan berkata, ‘Saya telah mengahwinkan anak saya kepada lelaki ini, tetapi sekarang dia tidak menyukainya lagi.
17 Dia telah mengajukan tuduhan palsu bahawa anak perempuan saya bukan dara pada masa mereka berkahwin. Tetapi lihatlah bekas darah pada kain ini; inilah bukti bahawa anak saya memang dara pada waktu itu.’
18 Kemudian para pemimpin kota itu harus memanggil lelaki itu dan memukul dia.
19 Mereka juga harus mendenda lelaki itu sebanyak seratus keping wang perak. Wang itu harus diberikan kepada bapa mentuanya, kerana lelaki itu telah memalukan seorang wanita Israel. Lagi pun, wanita itu akan tetap menjadi isteri lelaki itu dan tidak boleh diceraikan seumur hidupnya.
20 Tetapi jika tuduhan orang itu benar, dan tidak ada bukti bahawa wanita itu masih dara pada waktu dia berkahwin,
21 maka para pemimpin kota itu harus membawa wanita itu ke pintu rumah bapanya. Kemudian orang lelaki kota itu harus merejam dia sampai mati, kerana dia telah melakukan perbuatan yang memalukan di kalangan bangsa kita. Dia telah bersetubuh sebelum berkahwin, pada waktu dia masih tinggal di rumah bapanya. Dengan demikian, kamu akan membasmi kejahatan itu.
22 Jika seorang lelaki tertangkap basah ketika bersetubuh dengan isteri orang lain, kedua-dua mereka mesti dihukum mati. Dengan demikian, kamu akan membasmi kejahatan itu.
23 Andaikata di suatu kota ada seorang lelaki tertangkap basah ketika bersetubuh dengan seorang gadis yang sudah bertunang dengan orang lain,
24 kamu harus membawa mereka berdua ke luar kota dan merejam mereka sampai mati. Gadis itu mesti dihukum mati kerana dia tidak berteriak minta pertolongan walaupun dia berada di dalam kota, dan suaranya mudah didengar orang. Lelaki itu juga mesti dihukum mati kerana dia bersetubuh seorang gadis yang sudah bertunang. Dengan demikian kamu membasmi kejahatan itu.
25 Tetapi lain halnya jika di kawasan luar kota, seorang lelaki merogol seorang gadis yang sudah bertunang dengan orang lain. Dalam hal itu hanya lelaki itu yang harus dihukum mati.
26 Gadis itu tidak boleh dihukum, kerana dia tidak melakukan sesuatu yang menyebabkan dia dihukum mati. Hal ini sama dengan perkara seorang yang menyerang orang lain dan membunuhnya.
27 Gadis itu dirogol di kawasan luar kota, dan meskipun dia berteriak minta pertolongan, tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya.
28 Andaikata ada seorang lelaki tertangkap basah ketika merogol seorang gadis yang belum bertunang,
29 maka dalam hal itu lelaki itu mesti membayar mas kahwin sejumlah lima puluh keping wang perak, kepada bapa gadis itu. Gadis itu mesti menjadi isteri lelaki itu, kerana lelaki itu telah memaksa dia bersetubuh dengannya. Selama hidup lelaki itu, dia tidak boleh menceraikan isterinya itu.
30 Tidak seorang pun boleh mempermalukan bapanya dengan menyetubuhi salah seorang isteri bapanya.”