Wanita-Wanita
6
1 Hai wanita yang paling jelita,
ke manakah kekasihmu pergi?
Katakanlah ke mana dia pergi,
supaya kami dapat menolong kamu mencari dia.
Wanita
2 Kekasihku telah pergi ke tamannya,
ke taman rempah-rempah
untuk menggembala ternakannya di taman,
sambil memetik bunga bakung.
3 Kekasihku kepunyaanku,
dan aku kepunyaannya;
dia sedang menggembala ternakannya di tengah-tengah bunga bakung.
Nyanyian Kelima
Lelaki
4 Hai sayangku, engkau secantik kota Yerusalem,
seindah kota Tirza.
Engkau sangat mempesonakan
seperti kota-kota yang besar itu.
5 Palingkanlah wajahmu daripadaku,
kerana pandanganmu membingungkan aku.
Rambutmu seperti kawanan kambing
yang menuruni bukit-bukit Gilead.
6 Gigimu putih seperti kawanan domba
yang baru dimandikan;
berpasangan seperti anak domba kembar,
tiada satu pun hilang.
7 Pipimu seperti belahan buah delima,
di balik tudungmu.
8 Biarpun ada enam puluh orang permaisuri,
dan lapan puluh orang gundik,
dan gadis yang tidak terbilang,
9 namun aku mengasihi seorang sahaja,
dan dia cantik seperti burung merpati;
anak tunggal kesayangan ibunya.
Semua gadis melihat dan memuji dia,
permaisuri dan gundik kagum akan dia.
10 Siapakah dia yang datang
seperti fajar merekah?
Dia seindah bulan purnama,
secerah sang suria.
11 Aku datang ke kebun badam
untuk melihat tanaman muda di lembah,
sama ada pokok anggur sudah bertunas,
dan sama ada pokok delima sudah berbunga.
12 Aku sangat merindukan cintamu,
seperti aku rindu menaiki kereta kuda bersama-sama para bangsawan.
Wanita-Wanita
13 Menarilah, menarilah
hai gadis Sulam.
Biarlah kami melihat engkau menari.
Wanita
Mengapa kamu ingin melihat aku
menari di tengah barisan penonton?