41
Doa Minta Penyembuhan
Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud.
Berbahagialah orang yang mengambil berat terhadap orang yang tidak berdaya;
TUHAN akan menolong mereka ketika mereka dalam kesusahan.
TUHAN akan melindungi dan memelihara mereka,
TUHAN akan membahagiakan mereka di negeri ini;
TUHAN tidak akan menyerahkan mereka kepada musuh.
TUHAN akan menolong mereka ketika mereka sakit
dan memulihkan kesihatan mereka.
Aku berkata, “Ya TUHAN, aku telah berdosa terhadap-Mu;
kasihanilah aku dan sembuhkanlah aku!”
Musuhku mengumpat aku.
Mereka mahu aku mati dan dilupakan.
Mereka yang mengunjungi aku tidak ikhlas;
mereka mengumpulkan segala berita yang buruk tentang aku,
lalu keluar dan menyebarkannya ke mana-mana.
Semua orang yang membenci aku berbisik-bisik tentang diriku,
mereka memikirkan yang paling buruk tentang aku.a
Mereka berkata, “Dia sakit teruk sekali
dan tidak akan bangun dari katilnya lagi.”
10 Bahkan sahabat karibku yang paling aku percayai,
orang yang makan bersama-samaku, telah menentang aku. +
11 Kasihanilah aku, ya TUHAN, dan pulihkanlah kesihatanku,
agar aku dapat membalas musuh-musuhku.
12 Maka tahulah aku bahawa Engkau berkenan kepadaku,
kerana musuhku tidak akan mengalahkan aku.
13 Engkau akan menolong aku, kerana ketulusanku;
Engkau membolehkan aku berada di hadirat-Mu selama-lamanya.
14 Marilah kita memuji TUHAN, Allah umat Israel;
pujilah Dia sekarang dan selama-lamanya.
Amin! Amin! +
a 41:8 memikirkan...aku; atau membuat rancangan jahat untuk mencelakakan aku. + 41:10 Mat 26.23; Mrk 14.18; Luk 22.21; Yoh 13.18 + 41:14 Mzm 106.48