39
Pengakuan Orang yang Menderita
1 Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Untuk Yedutun.
2 Aku berkata, “Aku akan berhati-hati dengan perbuatanku,
dan tidak akan berdosa dengan lidahku.
Aku tidak akan berkata apa-apa
selama orang jahat berada di sisiku.”
3 Aku diam membatu, tidak berkata sepatah pun,
walaupun tentang perkara yang baik.
Tetapi penderitaanku bertambah berat,
4 dan hatiku penuh kecemasan.
Semakin aku berfikir, semakin susah hatiku;
lalu aku bertanya,
5 “Ya TUHAN, beritahulah aku masa kematianku
supaya aku tahu betapa singkatnya hidupku.”
6 Betapa pendeknya umurku Engkau tentukan!
Bagi Engkau, seumur hidupku tidak bererti apa-apa.
Sesungguhnya hidup setiap orang seperti hembusan nafas,
7 hidup mereka berlalu seperti bayangan.
Segala perbuatan mereka sia-sia;
mereka mengumpulkan harta,
tetapi tidak tahu siapa akan mewarisinya.
8 Apakah yang boleh aku harapkan, ya Tuhan?
Aku berharap kepada-Mu.
9 Selamatkanlah aku daripada segala dosaku,
dan jangan biarkan aku menjadi ejekan orang dungu.
10 Aku diam dan tidak membuka mulutku,
kerana inilah perbuatan-Mu.
11 Janganlah hukum aku lagi,
aku hampir mati kerana pukulan-Mu.
12 Engkau menghukum dosa manusia dengan teguran-Mu,
dan seperti gegat, Engkau memusnahkan kesukaan mereka.
Sesungguhnya hidup setiap orang seperti hembusan nafas sahaja.
13 Dengarlah doaku, ya TUHAN,
dan sambutlah rayuanku;
janganlah diam ketika aku menangis.
Aku menjadi tetamu-Mu hanya untuk sementara,
seperti nenek moyangku.
14 Janganlah ganggu aku supaya aku dapat sedikit kebahagiaan,
sebelum aku meninggal dan tiada lagi.