135
Lagu Pujian
1 Pujilah TUHAN!
Pujilah nama TUHAN, hai kamu hamba-hamba TUHAN
2 yang beribadat di Rumah TUHAN,
di tempat kediaman Allah kita.
3 Pujilah TUHAN kerana Dia baik;
pujilah nama-Nya kerana Dia murah hati.
4 Dia memilih Yakub bagi diri-Nya sendiri,
dan umat Israel sebagai milik-Nya sendiri.
5 Aku tahu bahawa TUHAN kita agung;
Dia lebih agung daripada semua dewa.
6 Dia melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya,
di langit mahupun di bumi,
di laut mahupun di samudera.
7 Dia mendatangkan awan ribut dari hujung bumi;
Dia menjadikan kilat untuk ribut,
dan Dia mengeluarkan angin dari tempat simpanan-Nya.
8 Di Mesir Dia membunuh semua anak sulung manusia
dan semua anak sulung binatang.
9 Di sana Dia melakukan banyak mukjizat dan hal yang menakjubkan
untuk menghukum raja Mesir dan semua pegawainya.
10 Dia memusnahkan banyak bangsa,
dan membunuh raja-raja yang berkuasa:
11 Sihon, raja Amori dan Og, raja Basan,
dan semua raja di Kanaan.
12 Dia menyerahkan negeri mereka kepada umat-Nya;
Dia memberikannya kepada umat-Nya, Israel.
13 Ya TUHAN, Engkau akan sentiasa diisytiharkan sebagai Allah;
semua keturunan akan mengingat Engkau.
14 TUHAN akan membela umat-Nya;
Dia akan mengasihani hamba-hamba-Nya.
15 Patung berhala bangsa-bangsa dibuat daripada perak dan emas,
dan dibentuk oleh tangan manusia.
16 Berhala mempunyai mulut tetapi tidak dapat bercakap,
mempunyai mata tetapi tidak dapat melihat,
17 mempunyai telinga tetapi tidak dapat mendengar;
berhala pun tidak dapat bernafas.
18 Biarlah semua orang yang membuat berhala
dan yang percaya kepadanya,
menjadi seperti berhala yang dibuat mereka.
19 Pujilah TUHAN, hai umat Israel;
pujilah Dia, hai imam-imam Allah!
20 Pujilah TUHAN, hai orang Lewi;
pujilah TUHAN, hai kamu semua yang menyembah Dia!
21 Pujilah TUHAN di Sion,
di rumah-Nya di Yerusalem.
Pujilah TUHAN!