Perang Pembalasan terhadap Orang Midian
31
1 TUHAN berfirman kepada Musa,
2 “Balaslah kejahatan orang Midian terhadap umat Israel. Selepas itu engkau akan meninggal.”
3 Kemudian Musa berkata kepada umat Israel, “Bersedialah untuk berperang. Seranglah orang Midian dan balaslah kejahatan mereka terhadap TUHAN.
4 Tiap-tiap suku Israel harus menghantarkan seribu orang askar untuk maju berperang.”
5 Maka seribu orang dipilih daripada tiap-tiap suku Israel, sehingga orang yang bersedia untuk berperang berjumlah 12,000 orang.
6 Musa memerintahkan mereka pergi berperang di bawah arahan Pinehas anak Imam Eleazar. Pinehas membawa benda-benda dari Khemah TUHAN dan trompet-trompet untuk memberikan isyarat.
7 Orang Israel menyerang orang Midian, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN kepada Musa. Mereka membunuh semua orang lelaki Midian,
8 termasuk lima orang raja Midian: Ewi, Rekem, Zur, Hur, dan Reba. Mereka juga membunuh Bileam anak Beor.
9 Orang Israel menawan semua orang perempuan dan anak orang Midian, merampas ternakan lembu dan domba, serta segala kekayaan orang Midian.
10 Mereka juga membakar kota-kota serta perkhemahan-perkhemahan orang Midian.
11 Kemudian orang Israel mengambil segala barang rampasan itu, termasuk orang tawanan dan ternakan.
12 Mereka membawa semuanya kepada Musa, Eleazar, dan umat Israel yang sedang berkhemah di dataran Moab, di seberang Sungai Yordan, bertentangan dengan kota Yerikho.
Tentera Israel Kembali
13 Kemudian Musa, Imam Eleazar, dan semua pemimpin umat Israel pergi ke luar perkhemahan untuk menyambut tentera Israel.
14 Musa marah terhadap para ketua askar dan komandan pasukan yang baru kembali dari pertempuran.
15 Dia bertanya kepada mereka, “Mengapakah kamu tidak membunuh semua perempuan ini?
16 Ingatlah bahawa kaum perempuanlah yang mengikut nasihat Bileam, sehingga menyebabkan orang Israel tidak taat kepada TUHAN di Peor. Hal itulah yang mendatangkan wabak kepada umat TUHAN.
17 Sekarang bunuhlah semua kanak-kanak lelaki dan semua perempuan yang bukan dara lagi,
18 tetapi ambillah semua gadis dan perempuan yang masih dara bagi diri kamu sendiri.
19 Semua orang di kalangan kamu yang sudah membunuh orang, ataupun yang sudah menyentuh mayat mesti tinggal di luar perkhemahan selama tujuh hari. Pada hari ketiga dan hari ketujuh, kamu mesti melakukan upacara penyucian diri bersama-sama semua perempuan yang sudah kamu tawan itu.
20 Sucikanlah juga semua pakaian dan apa sahaja yang dibuat daripada kulit, bulu kambing, ataupun kayu.”
21 Imam Eleazar berkata kepada mereka yang baru pulang dari pertempuran, “Inilah peraturan-peraturan yang diberikan TUHAN kepada Musa.
22-23 Segala sesuatu yang tahan api, seperti emas, perak, gangsa, besi, timah putih, atau timah hitam, mesti disucikan dengan melalukannya dalam api. Semua benda lain yang tidak tahan api harus disucikan dengan air upacara penyucian.
24 Pada hari ketujuh, kamu harus membasuh pakaian kamu. Barulah kamu tidak najis, dan kamu boleh masuk ke dalam perkhemahan.”
Pembahagian Barang Jarahan
25 TUHAN berfirman kepada Musa,
26 “Engkau, Imam Eleazar, dan para pemimpin Israel yang lain, mesti menghitung semua barang jarahan, termasuk juga orang tawanan dan ternakan.
27 Bahagikanlah barang jarahan itu menjadi dua bahagian yang sama banyaknya. Sebahagian untuk askar-askar yang berperang dan sebahagian lagi untuk orang Israel yang lain.
28 Daripada bahagian yang diberikan kepada askar, ambillah seorang tawanan daripada tiap-tiap 500 orang tawanan, dan berilah mereka kepada Aku, TUHAN, sebagai sumbangan khas. Buatlah demikian juga dengan lembu, keldai, domba, dan kambing.
29 Berikanlah semuanya kepada Imam Eleazar sebagai sumbangan khas untuk Aku, TUHAN.
30 Daripada bahagian yang diberikan kepada umat Israel lain, ambillah seorang tawanan daripada tiap-tiap 50 orang tawanan. Demikian juga dengan lembu, keldai, domba, dan kambing. Berikanlah semuanya kepada orang Lewi yang mengurus Khemah-Ku.”
31 Musa dan Eleazar melaksanakan apa yang diperintahkan TUHAN.
32-35 Inilah yang dirampas askar-askar itu, selain jarahan yang disimpan oleh mereka sendiri: 675,000 ekor domba dan kambing, 72,000 ekor lembu, 61,000 ekor keldai, dan 32,000 orang anak dara.
36-40 Separuh daripada jumlah itu diberikan kepada askar-askar dengan perincian berikut: 337,500 ekor domba dan kambing, dan daripada jumlah itu yang diambil sebagai sumbangan khas untuk TUHAN adalah 675 ekor; 36,000 ekor lembu, dan daripada jumlah itu 72 ekor diambil sebagai sumbangan khas untuk TUHAN; 30,500 ekor keldai, dan daripada jumlah itu 61 ekor diambil sebagai sumbangan khas untuk TUHAN; 16,000 orang anak dara, dan daripada jumlah itu 32 orang diambil sebagai sumbangan khas untuk TUHAN.
41 Oleh itu Musa memberikan sumbangan khas itu kepada Eleazar sebagai persembahan untuk TUHAN, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN.
42-46 Bahagian untuk orang Israel lain sama banyaknya dengan bahagian untuk askar: 337,500 ekor domba dan kambing, 36,000 ekor lembu, 30,500 ekor keldai, dan 16,000 orang anak dara.
47 Daripada bahagian ini, Musa mengambil satu daripada tiap-tiap 50 orang tawanan dan ternakan, lalu memberikan semuanya kepada orang Lewi yang bertugas di Khemah TUHAN, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN.
48 Kemudian ketua-ketua yang memimpin pasukan tentera itu
49 menghadap Musa dan berkata, “Tuan, kami sudah menghitung semua askar yang di bawah perintah kami dan tiada seorang pun yang hilang.
50 Oleh itu kami membawa barang perhiasan emas, gelang tangan, gelang kaki, cincin, anting-anting, dan kalung yang kami masing-masing ambil. Sekarang kami menyerahkan semua ini kepada TUHAN sebagai persembahan kami, supaya Dia tetap melindungi kami.”
51 Musa dan Eleazar menerima emas itu, yang semuanya berupa perhiasan.
52 Persembahan para ketua askar itu hampir seberat 200 kilogram.
53 Askar-askar lain yang bukan ketua menyimpan barang-barang jarahan bagi diri masing-masing.
54 Setelah itu Musa dan Eleazar membawa emas itu ke dalam Khemah TUHAN, supaya TUHAN melindungi umat Israel.