MIKHA
Kata Pengantar
Nabi Mikha yang hidup sezaman dengan Yesaya, berasal dari sebuah kota kecil di Yehuda, di kerajaan selatan. Mikha betul-betul yakin bahawa Yehuda akan menghadapi bencana yang dahsyat seperti yang dinubuatkan oleh Amos tentang kerajaan utara. Mikha menyatakan kepastian Allah untuk menghukum orang Yehuda juga, kerana mereka kejam dan tidak adil terhadap sesama mereka. Tetapi dalam perkhabaran Mikha, terdapat tanda-tanda yang jelas dan nyata tentang harapan bagi masa depan.
Bahagian-bahagian yang perlu diperhatikan di dalam kitab ini adalah: gambaran tentang kedamaian di seluruh dunia di bawah pimpinan Allah (4.1-4); nubuat tentang seorang raja agung yang akan muncul daripada keturunan Raja Daud, dan yang membawa kedamaian kepada orang Yehuda (5.2-4); dan juga ringkasan daripada semua yang hendak dikatakan oleh nabi-nabi Israel, iaitu, “Perkara yang dituntut oleh TUHAN daripada kita adalah supaya kita berlaku adil, selalu mengamalkan kasih, dan dengan rendah hati hidup bersatu dengan Allah kita.” (6.8).
Kandungan
Hukuman terhadap Israel dan Yehuda 1.1—3.12
Pemulihan dan Kedamaian 4.1—5.15
Amaran dan Harapan 6.1—7.20
1
1 Pada zaman pemerintahan Raja Yotam, Raja Ahas, dan Raja Hizkia sebagai raja-raja Yehuda, TUHAN memberikan perkhabaran ini kepada Mikha, yang berasal dari kota Moresyet. TUHAN menunjukkan perkara-perkara tentang Samaria dan Yerusalem kepada Mikha.
Ratapan bagi Samaria dan Yerusalem
2 Dengarlah, hai semua bangsa;
perhatikanlah, hai semua penduduk dunia!
TUHAN Raja menjadi saksi untuk menuduh kamu semua.
Dengarlah!
Dia berfirman dari kediaman-Nya yang suci di syurga.
3 TUHAN sedang keluar dari tempat-Nya yang suci;
Dia turun dan berjalan di puncak gunung-gunung di bumi.
4 Gunung-gunung lebur di bawah kaki-Nya
seperti lilin dalam api yang menyala;
tanah dari gunung menggeluncur ke lembah-lembah
seperti air di atas bukit mengalir ke bawah.
5 Segala perkara itu akan berlaku kerana umat Israel sudah berdosa dan memberontak terhadap Allah. Siapakah yang bertanggungjawab terhadap pemberontakan Israel? Samaria, ibu kotanya sendiri! Siapakah yang bertanggungjawab terhadap penyembahan berhala di Yehuda? Yerusalem!
6 Oleh itu TUHAN berfirman, “Aku akan menjadikan Samaria timbunan runtuhan di padang, dan tempat orang menanam pokok anggur. Aku akan membuang batu puing kota itu ke lembah, dan asas kota itu akan kelihatan.
7 Semua berhalanya akan dihancurkan, dan setiap benda yang sudah diberikan kepada pelacur di kuil akan dimusnahkan oleh api. Semua patung berhalanya akan menjadi tumpukan sampah. Samaria mendapat benda-benda itu sebagai hasil pemujaan kepada dewa kesuburan; sekarang musuhnya pula akan membawa benda-benda itu untuk diberikan kepada pelacur-pelacur di kuil lain.”
8 Kemudian Mikha berkata, “Oleh itu aku akan berkabung dan meratap. Untuk menunjukkan kesedihanku, aku akan berjalan tanpa pakaian dan tanpa kasut. Aku akan melolong seperti serigala dan meraung seperti burung unta.
9 Luka Samaria tidak dapat disembuhkan, dan Yehuda akan segera ditimpa penderitaan yang sama. Kemusnahan sudah tiba di pintu gerbang Yerusalem, tempat kediaman bangsaku.”
Musuh Hampir Tiba di Yerusalem
10 Jangan beritahu musuh di Gat tentang kekalahan kita. Jangan benarkan mereka melihat kamu menangis. Hai penduduk Bet-Le-Afra, bergulinglah dalam debu sebagai tanda putus asa.
11 Hai penduduk Safir, pergilah ke negeri pembuangan sambil bertelanjang dan berasa malu. Penduduk Zaanan tidak berani pergi ke luar kota. Apabila kamu mendengar penduduk Bet-Haezel meratap, kamu akan tahu bahawa tidak ada tempat perlindungan di situ.
12 Penduduk Marot cemas semasa menantikan pertolongan, kerana bencana yang didatangkan TUHAN sudah menghampiri Yerusalem.
13 Hai penduduk Lakhis, pasanglah kuda pada kereta kuda. Dengan meniru dosa orang di Israel, kamu menyebabkan orang di Yerusalem berdosa.
14 Sekarang hai penduduk Yehuda, ucapkanlah selamat tinggal kepada kota Moresyet-Gat. Raja-raja Israel tidak akan mendapat pertolongan dari kota Akhzib.
15 Hai penduduk Maresya, TUHAN akan menyerahkan kamu kepada musuh yang merebut kota kamu. Para pemimpin Israel yang kenamaan akan bersembunyi di dalam gua di Adulam.
16 Hai penduduk Yehuda, guntinglah rambut kamu sebagai tanda berkabung untuk anak-anak yang kamu kasihi. Cukurlah kepala kamu sampai botak sama sekali, kerana anak-anak kamu akan dibuang negeri.